ZAKAT DAN KEWAJIBAN | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » ZAKAT DAN KEWAJIBAN

ZAKAT DAN KEWAJIBAN

Zakat adalah rukun Islam ketiga. Kedudukannya di tempat ketiga ini dan sering digandingkan oleh Allah SWT dengan arahan mendirikan solat, telah dengan sendirinya menggambarkan status hukum dan kepentingan zakat.

 

Di samping itu, zakat mula difardukan kepada umat Islam pada tahun kedua selepas hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Ia termasuk dalam ayat-ayat atau surah Madaniyah, iaitu wahyu Allah SWT yang banyak menekan aspek hukum dan syariat Islam berbanding aspek aqidah. Banyak dalil naqli (dalil Al-Quran dan Al-Hadis) yang menyatakan kewajipan zakat, di antaranya firman Allah di dalam surah An-Nur, ayat 56:

 

“Dan dirikan oleh kamu akan solat serta berikanlah zakat”

 

Nabi Muhammad SAW juga pernah menyatakan kepada Muaz bin Jabal yang diutus ke Yaman sebagai gabenor akan kepentingan zakat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain:

 

“Engkau hendaklah menerangkan kepada mereka bahawa Allah SWT mewajibkan sedekah (zakat), yang dikenakan terhadap kekayaan orang kaya di kalangan mereka.”

 

Zakat dari aspek istilahiah atau kehendak syariat Islam ialah, harta-harta yang tertentu yang dikeluarkan dengan syarat-syarat tertentu dan diagihkan pula kepada asnaf-asnaf tertentu. Seterusnya, apakah harta-harta-tertentu itu? Apa pula syarat-syarat yang tertentu dan siapakah pula asnaf-asnaf tertentu itu?

 

Harta-harta tertentu itu ialah seperti apa yang telah sabit di dalam nas naqli seperti emas, perak, hasil pertanian, penternakan, harta rikaz (yang tertanam di dalam perut bumi) dan juga harta-harta berkembang yang lain seperti zakat pendapatan atau gaji seperti royalti, pencen, bonus, zakat saham, zakat wang simpanan termasuklah di Skim Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga zakat perniagaan.

 

Siapakah golongan tertentu yang berhak menerima zakat atau asnaf-asnaf tertentu itu? Golongan ini sebenarnya terdiri dari lapan jenis golongan yang secara spesifik telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, firman-Nya di dalam surah At-Taubah, ayat 60:

 

“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang muallaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk tujuan di jalan Allah (fisabilillah), orang musafir yang (keputusan belanja) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang sedemikian itu) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah SWT dan (ingatlah) Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Tarikh Input: 28/10/2021 | Kemaskini: 28/10/2021 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
WXFbMAF~