SOALAN LAZIM | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» SOALAN LAZIM

SOALAN LAZIM

Wakaf
1
Apakah faedah wakaf?

Wakaf adalah satu bentuk transaksi harta yang dapat memberi faedah dan manfaat bukan saja kepada diri pewakaf, malah penerimanya, masyarakat Islam keseluruhan dan pihak pemerintah sendiri turut mendapat kebaikannya. Dalam hubungan ini, pewakaf memperoleh pahala ‘sedekah jariah’, penerimanya dan masyarakat dapat menikmati manfaat harta yang diwakafkan selain ia meringankan bebanan kewangan kerajaan dalam menyediakan bantuan serta kemudahan untuk masyarakat.

2
Apakah pandangan syariah tentang wakaf?

Hukum wakaf adalah sunat menurut Jumhur Fuqaha’. Wakaf adalah satu amalan yang sangat dituntut dan ia merupakan salah satu sedekah jariah, yang pahalanya besar daripada Allah SWT. Wakaf merupakan tuntutan al-Quran, Sunnah dan amalan para sahabat. Falsafah wakaf:

  • Untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT;
  • Untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT;
  • Menghapuskan sifat bakhil;
  • Mendapatkan harta berterusan;
  • Memberi kebaikan kepada ummah;
  • Pembangunan/kegunaan anak yatim, orang miskin dan sebagainya; dan
  • Menjamin harta itu berkekalan dalam kebajikan.
  • 3
    Apa pandangan ulama tentang Wakaf Tunai?

    Hukum Wakaf Tunai adalah DIBOLEHKAN (harus). (Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali Ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu - Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan di dalam Islam).

    4
    Wakaf tunai untuk apa?

    Untuk memajukan sosio-ekonomi ummah amnya dan juga dapat mengeratkan ukwah wujudnya sifat berwakaf dan saling membantu sesama Islam.

    5
    Bagaimana wakaf boleh menyumbang kepada sosio-ekonomi ?

  • Menyediakan peluang pekerjaan
  • Menambah pendapatan orang ramai
  • Membangunkan harta dan asset umat islam
  • Mewujudkan barang dan perkhidmatan baru kepada masyarakat
  • Memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan
  • Menaiktaraf kehidupan masyarakat
  • 6
    Apakah cabaran dalam mengimarahkan wakaf ?

  • Kurang kefahaman dan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai ibadah wakaf
  • Pewakafan yang tidak didaftarkan secara sempurna mengikut prosedur
  • Keadaan fizikal tanah yang tidak sesuai
  • Pencerobohan ke atas tanah wakaf
  • Dana pembangunan wakaf tidak mencukupi
  • 7
    Apakah syarat-syarat harta wakaf ?

  • Harta itu mestilah terdiri daripada sesuatu benda yang dapat diambil manfaatnya.
  • Harta yang diwakafkan kepada penerima wakaf wujud pada waktu itu.
  • Harta yang diwakafkan itu dapat memberi faedah yang berpanjangan.
  • Diwakafkan untuk tujuan yang baik sahaja dan tidak menyalahi hukum syarak.
  • Harta yang diwakafkan ditentukan jenis, bentuk, tempat, luas dan jumlahnya.
  • Harta yang telah dilunaskan segala pembayaran dan tuntutan keatasnya dan menjadi pemilikan penuh pewakaf.
  • 8
    Apakah perbezaan diantara Wakaf dan Sedekah?

    Wakaf adalah amalan menyerahkan harta yang boleh dinikmati manfaat atau faedahnya untuk kegunaan bersama dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di mana harta yang diwakafkan hendaklah berbentuk kekal sifatnya, harta yang diwakafkan tidak boleh dijual, diwarisi, diambil semula dan diwasiatkan kerana telah menjadi milik Allah S.W.T buat selamalamanya. Ganjaran pahala pewakaf akan mengalir dan berkekalan selagi mana harta yang diwakaf masih boleh diambil manfaatnya. Para fuqaha’ berpendapat bahawa wakaf adalah satu-satunya bentuk sedekah yang berbentuk jariah (berkekalan) kerana konsep wakaf adalah berkekalan sifatnya. Sedekah ialah amalan memberikan apa-apa jua bentuk harta benda kepada golongan fakir, miskin, anak yatim atau orang yang berhajat dengan ikhlas kerana Allah S.W.T dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah S.W.T. Sedekah boleh dilakukan dalam apa-apa jua bentuk pemberian seperti makanan, pakaian, barangan, wang dan harta yang kekal. “Dan yang dikatakan berbuat baik ialah orang yang memberikan harta yang dicintai kepada saudaranya yang miskin, anak-anak yatim, orang miskin, ibnu sabil dan orang yang berhajat”. (Surah Al-Baqarah (2) : 177)

    9
    Apakah perbezaan diantara Wakaf dan Zakat?

    Hukum membayar Zakat adalah wajib manakala hukum amalan Wakaf adalah harus di dalam syariat Islam. Zakat adalah satu kewajipan mengeluarkan harta tertentu untuk diberikan kepada asnaf-asnaf yang telah ditetapkan dengan kadar tertentu yang merupakan salah satu rukun yang terdapat di dalam Rukun Islam. Kelebihan kewajipan membayar zakat adalah dapat mensucikan diri daripada sifat bakhil dan tamak dengan cara membelanjakan harta yang ada ke jalan yang diredhai Allah S.W.T. Amalan zakat dapat menyuburkan harta pembayarnya disamping dapat memastikan juga harta tersebut bersih daripada hak orang lain. Dalil suruhan membayar zakat adalah seperti berikut: "Dan dirikanlah kamu akan solat serta zakat dan taatlah kamu kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah An-Nur (24): 56)

    10
    Bagaimana seseorang ingin mewakafkan hartanya dijalan Allah S.W.T?

    Apabila seseorang ingin mewakafkan harta miliknya ke jalan Allah S.W.T. hanya perlu menyediakan beberapa perkara seperti berikut:

  • Pemohon perlu mengisi borang lafaz wakaf am/ khas di Pejabat Agama Daerah masingmasing dengan di sertakan salinan kad pengenalan, surat hakmilik tanah yang asal,resit cukai tanah dan pelan kawasan yang akan di wakafkan.
  • Setelah semua maklumat telah lengkap diisi, pemohon hendaklah melafazkan ikrar wakaf dihadapan Khadi/ Pegawai Agama Daerah masing-masing.
  • Pemohon juga perlu mengisi dan menandatangani borang 14A / 12B bagi permohonan pindahmilik tanah di hadapan pentadbir tanah Daerah yang berkenaan.
  • Kemudian pihak Pegawai Agama Daerah akan menyerahkan permohonan tersebut kepada Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah untuk dibuat permohonan wakaf tanah dan menjadi hakmilik Majlis Agama Islam Negeri Kedah.
  • 11
    Kemanakah dana wakaf akan disalurkan?

    Dana wakaf akan dikumpulkan di dalam satu tabung khas dan akan disalurkan untuk tujuan pendidikan, kesihatan dan pelaburan.

    12
    Bolehkah aset wakaf dilaburkan?

    Dibenarkan dilaburkan samada melalui pelaburan secara langsung, atau perkongsian bersama antara pelbagai pewakaf dalam satu portfolio, atau melalui kaedah penerbitan saham wakaf, sebagai galakan untuk aktiviti wakaf dan merealisasikan perkongsian bersama tersebut. Pelaburan mestilah pada sektor yang dibenarkan syarak, dan juga sesuai dengan jenis dan sifat aset wakaf tersebut, demi untuk mencapai maslahat wakaf, menjaga nilai asal aset wakaf, dan juga kemaslahatan penerima manfaat wakaf. (Akademi Fiqh Islam OIC (Majma’ Al-Fiqh Al-Islami) pada persidangannya yang ke-5 di Muscat, Oman, pada 6-11 Mac 2004)

    13
    Bolehkah memberi wakaf kepada orang bukan Islam?

    Para ulama’ as-Syafie mengharuskan wakaf kepada golongan bukan Islam ataupun zimmi, selama mana ia tidak bertujuan untuk melakukan maksiat. Ini kerana dibolehkan sedekah kepada golongan ini, maka begitu juga diharuskan wakaf kepada mereka. Jika didapati ada kemungkinan penerima wakaf akan melakukan maksiat dengan harta tersebut, maka wakaf tersebut tidak sah kerana maksiat tersebut akan menghilangkan hikmah dan tujuan wakaf.

    14
    Siapa yang layak menerima manfaat wakaf?

    Orang yang layak menerima manfaat harta wakaf adalah orang Islam, merdeka dan golongan zimmi*. Pentadbir wakaf perlulah mereka yang mampu menjadikan manfaat wakaf sebagai satu cara taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah S.W.T dan untuk kepentingan Islam sahaja.

  • *zimmi: orang bukan Islam yang tinggal di dalam wilayah pentadbiran umat Islam, Mereka mengikut peraturannya, membayar cukai, dan tidak memusuhi Islam.
  • 15
    Apakah syarat orang yang ingin berwakaf?

    Syarat-syarat bagi orang yang ingin berwakaf ialah:-

  • Baligh;
  • Berakal (sempurna akal fikiran) dan waras pemikirannya;
  • Harta yang hendak diwakafkan hendaklah dimiliki penuh oleh Pewakaf;
  • Berwakaf atas kerelaan sendiri tanpa ada paksaan dari sesiapa;
  • 16
    Apakah rukun wakaf?

    Rukun wakaf terbahagi kepada empat iaitu:-

  • Pewakaf (waqif);
  • Harta yang diwakafkan (mawquf);
  • Penerima manfaat wakaf (mawquf ‘alaih); dan
  • Peryataan wakaf (sighah).
  • 17
    Jika saya menjumpai sejumlah wang tunai, bolehkah saya mewakafkan wang tunai tersebut?

    Tidak boleh, kerana bukan sempurna milik.

    18
    Bolehkah menerima wakaf daripada orang bukan Islam?

    Dibenarkan. Para ulama’ as-Syafie berpendapat: Wakaf seorang bukan Islam sah walaupun untuk masjid walaupun ia bukan berniat taqarrub*. Mereka akan diberi ganjaran atas sedekahnya di dunia, namun di akhirat tiada habuannya untuk mendapat pahala. Sabda Rasulullah s.a.w: “Allah tidak akan mengabaikan kebaikan seorang mukmin, dia akan diberi ganjaran di dunia dan di akhirat. Orang bukan Islam pula akan menerima ganjaran kebaikan yang mereka lakukan kerana Allah semasa di dunia sahaja. Adapun di akhirat kelak, tiada apa-apa habuan dan ganjaran kebaikan untuknya”. (Riwayat Muslim)

  • *taqarrub: usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah.

  • Zakat
    19
    Saya terlupa membayar zakat pada tahun lalu. Apakah yang perlu dilakukan?

    Zakat yang tidak ditunaikan pada tahun lalu kewajipanya maka wajib diqada’ semula setelah menyedarinya.

    20
    Wajibkah para pelajar yang menerima biasiswa, membayar zakat sepertimana zakat pendapatan yang dibayar oleh orang yang bekerja?

    Wang biasiswa tidak diwajibkan zakat keatasnya kerana melibatkan wang perbelanjaan seharian untuk urusan pembelajaran. Tambahan pula ia sentiasa berkurangan dari semasa ke semasa dan tidak cukup haul dan tidak cukup setahun yang telah ditetapkan oleh syarak untuk melayakkanya mengeluarkan zakat.

    21
    Adakah bantuan daripada zakat ini perlu dibayar semula?

    Tidak, semua bantuan yang diberikan bukan berbentuk pinjaman dan tidak perlu dibayar semula.

    22
    Bolehkah membayar zakat terus kepada asnaf tidak melalui amil?

    Boleh dan hukumnya adalah sah, akan tetapi kita sekarang hidup bukan seperti zaman dahulu dimana iman orang islam sangat kuat apabila cukup haul dan nisab terus keluar mencari asnaf. Pemerintah juga telah mengarahkan untuk memungut zakat dari golongan kaya dan diberi kepada golongan yang memerlukan untuk kemaslahatan umum dan menyusun semula cara pengeluaran zakat.

    23
    Adakah wang simpanan di Tabung Haji perlu dikeluarkan zakat oleh pemiliknya?

    Wang yang disimpan di Tabung Haji telah dibayar zakatnya oleh pihak Lembaga Tabung Haji bagi pihak pendeposit. Ini merupakan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-17 yang bersidang pada 3 Mei 1979 telah membincangkan Pembayaran Zakat oleh Tabung Haji.

    24
    Bagaimanakah pengagihan zakat ini dilakukan?

    Agihan zakat hendaklah dilaksanakan mengikut keutamaan iaitu asnaf fakir, miskin, amil dan muallaf. Berasaskan prinsip ini, sekiranya peruntukan untuk keempat-empat asnaf ini tidak mencukupi, maka pindahan peruntukanndari asnaf yang lain hendaklah dilakukan dengan mengutamakan kempat-empat asnaf ini. Pengagihan zakat hendaklah dilaksanakan berdasarkan keutamaan dan keperluan asnaf.

    25
    Bolehkah untuk memberi zakat kepada orang bukan Islam?

    Boleh. Hukumnya adalah harus jika asal tujuannya adalah untuk berdakwah dan menarik mereka kepada islam. Ini menunjukkan Islam adalah praktikal dan tepat untuk dilaksanakan.

    26
    Bagaimanakah cara untuk mengenal pasti had al-Kifayah zakat?

    Keperluan asasi yang diambil kira dalam penentuan had al-Kifayah adalah seperti :

  • Perlindungan
  • Makanan dan minuman
  • Pakaian
  • Perubatan
  • Pendidikan
  • Pengangkutan
  •  Didalam sesebuah keluarga had kifayah adalah berbeza mengikut individu, jumlah anggota rumah juga mempengaruhi kadar had kifayah. Dimana semakin besar keluarga semakin meningkatlah kadar had alKifayah tersebut.

    27
    Bagaimanakah cara pengiraan zakat pendapatan?

    Terdapat dua garis panduan mengira zakat pendapatan sama ada:

  • 2.5% atas jumlah pendapatan kasar setahun (jika pendapatan tersebut melebihi nisab) atau
  • Membayar zakat setelah menolak perbelanjaan asas yang dibenarkan (berdasarkan kaedah penolakan Had Kifayah dan penolakan yang dibenarkan). Ini adalah kiraan lebih tepat.
  • 28
    Bolehkah zakat dibayar jika sumber pendapatan wang tersebut adalah dari sumber haram? Apakah contoh sumber haram tersebut?

    Tidak wajib zakat kerana tidak memenuhi syarat wajib zakat.

  • Menurut ulama, harta yang di perolehi dari sumber yang haram adalah haram. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Allah tidak menerima sebarang sedekah dari sumber yang haram.”
  • (Riwayat Imam Muslim)
  • Contoh sumber haram tersebut adalah seperti wang rasuah, riba, wang judi dan seumpamanya.
  • 29
    Bolehkah zakat dibayar jika sumber pendapatan wang tersebut adalah dari sumber yang syubhah?

    Tidak wajib zakat kerana wang syubhah lebih hampir kepada sumber haram dan yang meragukan.

    30
    Mengapakah keperluan asas seperti rumah, kereta, bil-bil dan tanggungan lain tidak diambil kira dalam taksiran zakat pendapatan?

    Penentuan had kifayah yang dibenarkan telahpun mengambil kira keperluan asasi seperti makanan, pakaian, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan alat keperluan/sokongan pekerjaan.

    31
    Saya memiliki rumah sewa di sekitar Shah Alam. Adakah saya wajib mengeluarkan zakat hasil daripada kutipan sewa, sedangkan pada masa yang sama saya juga perlu membayar hutang rumah kepada bank semasa pembelian  rumah tersebut?

    Hanya lebihan daripada baki sewa akan dimasukkan dalam kiraan pendapatan lain. Contohnya:

  • Contoh Pengiraan:
  • Kutipan sewa rumah sebulan: RM 1,000
  • Bayaran ansuran bank sebulan: RM 800
  • Baki daripada sewaan: RM 200
  • Hanya nilai dari baki sewaan iaitu RM 200 selama setahun iaitu RM 2400 sahaja yang perlu dimasukkan di dalam pengiraan zakat harta mustaghallat dan setelah ditolak kos-kos lain seperti baik pulih rumah dan sebagainya.

    32
    Jika saya dan isteri kedua-duanya menanggung anak-anak bagaimana cara penolakan untuk perbelanjaan mereka? Bolehkah dibahagikan kepada dua?

    Jika Encik dan isteri bersama-sama menanggung anak, cara penolakan terbaik haddul kifayah ialah dengan cara dibahagikan secara sama rata taksiran kiraan haddul kifayah tersebut.

    33
    Apakah perbezaan di antara zakat pendapatan dan zakat wang simpanan?

    Zakat pendapatan dilihat puncanya dari gaji, hasil kerja bebas, hasil sewaan dan pemberian yang diperolehi pada tahun semasa sahaja. Para Mufassirin seperti Imam As-Suyuti berpendapat, perkataan “ مَا كَسَبْتُمْ “adalah mubhamah dan memberi makna yang umum merangkumi apa juga jenis pekerjaan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang. Oleh itu, segala harta yang diperolehi daripada apa jua bentuk usaha dan pekerjaan adalah dikira harta yang wajib dikeluarkan zakat. Adapun zakat wang simpanan dilihat puncanya dari wang yang telah sedia ada pada tahun sebelumnya. Zakat wang simpanan dikenakan pada baki hujung haul yang mencecah nisab semasa, sementara zakat pendapatan dikenakan kepada jumlah yang berbaki selepas dibuat penolakan untuk had kifayah dan sekiranya bakinya melebihi atau menyamai nisab.

    34
    Saya wajib membayar zakat pendapatan tetapi pada akhir tahun wang telah habis digunakan. Adakah saya masih wajib membayar zakat pendapatan?

    Ya, wajib dibayar zakat tersebut secara ansuran sehingga selesai dan ia dianggap sebagai hutang yang perlu disegerakan.


    Derma dan Hadiah
    35
    Apakah yang dimaksudkan dengan sedekah?

    Sedekah ialah amalan memberikan apa-apa jua bentuk harta benda kepada golongan fakir, miskin, anak yatim atau orang yang berhajat dengan ikhlas kerana Allah S.W.T dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah S.W.T. Sedekah boleh dilakukan dalam apa-apa jua bentuk pemberian seperti makanan, pakaian, barangan, wang dan harta yang kekal.

  • “Dan yang dikatakan berbuat baik ialah orang yang memberikan harta yang dicintai kepada saudaranya yang miskin, anak-anak yatim, orang miskin, ibnu sabil dan orang yang berhajat”. 
  • (Surah Al-Baqarah (2) : 177)

    36
    Bolehkah bersedekah kepada ahli keluarga sendiri?

    Kita dibolehkan bersedekah kepada ahli keluarga sendiri sama ada adik beradik, ibu atau ayah. 

  • Dalil hadis rasullah saw : "orang itu berdosa sekiranya mengabaikan org yang harus diberikan nafkah"
  • (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

    37
    Kalau sedekah itu berupa wang di gunakan untuk membayar makan kawan-kawan bagaimana?

    Hukumnya harus andai kita sedekah dalam bentuk wang untuk membayar makan kawan-kawan. ini juga di anggap sedekah dan kita akan mendapat 2 pahala (pahala sedekah dan silaturahim).

    38
    Bolehkah fidyah dibayar terus kepada anak yatim?

    Boleh sekiranya anak yatim tergolong dalam kategori fakir dan miskin.

    39
    Adakah wajib bagi seorang anak mengqada puasa bagi seorang ibu atau ayahnya yang sakit tua dan nyanyuk?

    Tidak perlu mengqadakan puasa bagi ibu atau ayah yang uzur, namun boleh membayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkannya.

    40
    Bagaimanakah cara membayar fidyah bagi orang tua yang tidak berupaya berpuasa dan bilakah masanya fidyah itu perlu dibayar?

    Sekiranya tidak mampu berterusan, hendaklah membayar fidyah sebaik sahaja selepas Ramadhan berlalu. Jika sekiranya tidak berupaya ketika itu sahaja, kemudian selepas itu dia mampu melakukannya, hendaklah qadha puasa tersebut dan sekiranya melangkaui tahun hendaklah qadha dan membayar fidyah.

    41
    Setelah qadha puasa, adakah waris si mati perlu juga untuk membayar fidyah?

    Setelah selesai mengqadha puasa si mati, ini bermakna waris sudah tidak perlu untuk membayar fidyah puasa lagi untuknya.

    42
    Apakah maksud wasiat?

    Wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya untuk diuruskan selepas berlaku kematiannya. Tetapi wasiat yang dibuat secara lisan adalah terdedah kepada fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh dipertikaikan di kalangan ahli waris.

    43
    Apakah maksud hibah?

    Hibah ialah anugerah, pemberian atau hadiah yang melibatkan suatu akad yang mengandungi pemberiaan hak milik oleh pemberi harta kepada seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan tanpa mengaharapkan balasan atau tukaran.

    44
    Apakah maksud faraid?

    Faraid dari segi bahasa bermaksud ketetapan. Menurut istilah syarak pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah atau layak (seperti anak, suami, isteri, ibu, bapa dan lain-lain). Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris sama ada berbentuk agama (seperti zakat, nazar dan lain-lain) atau hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak. Ada tiga golongan ahli waris yang melayakkan mereka menerima harta pusaka, pertama, melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan juga wala’ (hubungan kekeluargaan). Isteri termasuk dalam golongan waris yang layak menerima pusaka melalui hubungan perkahwinan.

    45
    Adakah wasiat itu penting?

    Ya, sangat penting kerana :

  • Mempercepatkan proses surat kuasa pusaka.
  • Mengelakkan persengketaan waris.
  • Melindungi kebajikan masa depan anak – anak.
  • Isteri mendapat hak yang sewajarnya.
  • Memastikan harta di agihkan mengikut hasrat.
  • Tanpa perlu menghadapi kerenah birokrasi.
  • 46
    Apa jenis harta yang boleh diwasiatkan?

    Harta terbahagi kepada 2 jenis, iaitu harta tak alih dan harta alih.  

  • Harta tak alih seperti : 
  • Tanah
  • Rumah
  • Sawah
  • Bangunan
  • atau semua yang melekat pada tanah
  •  
  • Harta alih, adalah harta selain daripada harta tak alih seperti:
  • Duit (saving / current) dalam bank
  • Tabung Haji
  • KSWP
  • ASB
  • Unit amanah
  • Shares
  • Kereta / motor
  • Barang kemas
  • 47
    Siapakah yang paling kritikal untuk buat hibah?

    Mereka yang tidak mempunyai hubungan yang baik diantara mereka dan mereka tidak mempunyai anak lelaki. Ini kerana secara umumnya anak lelaki adalah hijab kepada adik beradik si mati.

    48
    Apakah hibah yang ditawarkan oleh MAIS?

    Terdapat 3 jenis iaitu :

  • Hibah Biasa
  • Hibah Amanah
  • Hibah Bersyarat atau Hibah Tunai

    49
    Apakah perbezaan hibah diatas?

      Hibah Biasa :

  • Hibah ini terus dilaksanakan semasa penghibah masih hidup. Harta tersebut mestilah bebas hutang ia milik mutlak penghibah. Bagi harta hibah ini ia tidak termasuk duit tunai dan hanya terdiri daripada rumah, kereta dan seumpamanya.
  •     Hibah Amanah :
  • Hibah ini melantik MAIS sebagai pemegang amanah bagi harta tersebut. Contohnhya penerima hibah adalah anak OKU atau kanak – kanak. Maka penghibah melantik MAIS bagi menjaga harta tersebut sehingga anak berumur 18 tahun.
  •     Hibah Bersyarat :
  • Bagi harta yang dihibahkan selepas mati, harta tersebut mesti dilindungi insurans/takaful sepenuhnya. Jika tidak hibah selepas mati tidak boleh dilaksanakan seperti rumah. Hibah ini diberikan kepada penerima hibah selepas kematian penghibah, sebab itu ia dinamakan hibah bersyarat. Syaratnya penghibah mati. Harta Hibah Bersyarat ini terdiri daripada 2 jenis iaitu cash dan harta tidak alih seperti rumah. Hibah Bersyarat atau hibah tunai ini terdiri daripada beberapa komponen iaitu simpanan dan hibah khairat. Nilai hibah khairat ditentukan oleh penghibah itu sendiri ia tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka. Hibah ini tidah termasuk dalam pembahagian harta pusaka.
  • 50
    Siapakah waris faraid saya?

    Saya terangkan cara yang mudah dahulu. Waris faraid terdiri daripada pasangan, anak – anak dan mak ayah kita.

    51
    Selain daripada mereka diatas, siapakah waris faraid saya?

    Waris faraid terdiri daripada 3 kategori utama iaitu :

  • Waris utama
  • Waris ganti
  • Waris kedua
  • Waris Utama terdiri daripada :
  • Isteri
  • Bapa
  • Ibu
  • Anak lelaki
  • Anak perempuan
  •   Waris Ganti ini, jika waris utama tiada maka akan digantikan dengan waris ganti seperti :
  • bapa kepada bapa (datuk)
  • Ibu kepada bapa (nenek)
  • Ibu kepada ibu (nenek)
  • Anak lelaki kepada anak lelaki (cucu)
  • Anak perempuan daripada anak lelaki (cucu)
  •   Waris Kedua pula, adalah waris yang layak menerima pusaka jika tiada waris utama dan waris ganti. Mereka yang layak adalah :
  • Saudara lelaki seibu sebapa
  • Saudara lelaki sebapa
  • Saudara lelaki seibu
  • Saudara perempuan seibu sebapa
  • Saudara perempuan sebapa
  • Saudara prempuan seibu
  • Anak lelaki kepada Saudara seibu sebapa lelaki (anak saudara)
  • Anak lelaki kepada Saudara sebapa lelaki (anak saudara)
  • Saudara seibu sebapa lelaki kepada bapa (ayah saudara)
  • Saudara sebapa lelaki kepada bapa (ayah saudara)
  • Anak lelaki kepada saudara seibu sebapa lelaki kepada bapa (sepupu)
  • Anak lelaki kepada saudara sebapa kepada bapa (sepupu)
  • 52
    Kenapa banyak giler masalah timbul selepas mati walaupon faraid dah termaktub dalam Al Quran?

    Sebab banyak masalah timbul daripada hati manusia yang inginkan harta melebihi daripada tanggungjawab yang Allah berikan. Antara lain sebabnya adalah :

  • Waris tidak tahu proses tuntutan harta pusaka
  • Kos proses tuntutan harta pusaka mahal
  • Waris tidak tahu hukum faraid
  • Proses tuntutan harta pusaka memakan masa yang panjang
  • Membuat wasiat yang bercanggah dengan syarak.
  • Kemaskini:: 04/10/2018 [nuruliman]

    PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
    Universiti Putra Malaysia
    43400 UPM Serdang
    Selangor Darul Ehsan
    +603 9769 8993/6156
    +603 9769 2048
    B1566633226