Apabila Seseorang Terlupa Untuk Membayar Zakat Fitrah, Apa Tindakan Yang Perlu Diambil Dan Bagaimana Penyelesaiannya? | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Apabila seseorang terlupa untuk membayar zakat fitrah, apa tindakan yang perlu diambil dan bagaimana penyelesaiannya?

Apabila seseorang terlupa untuk membayar zakat fitrah, apa tindakan yang perlu diambil dan bagaimana penyelesaiannya?

Dalam kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada  bulan Syawal, perkara wajib yang perlu ditunaikan oleh umat islam adalah pembayaran zakat fitrah. Secara khususnya, ketua keluarga adalah individu yang perlu menunaikan zakat fitrah mengikut waktu bayar zakat fitrah yang disarankan iaitu pada waktu afdal dan waktu harus. 

Namun, andai kata seseorang terlepas pandang ataupun terlupa sehingga tibanya waktu haram dan terlepas waktu afdal untuk bayar zakat fitrah, apa yang perlu dilakukan? Jadi, mari kita lihat sedikit info jika ia boleh membantu atau dijadikan ilmu tambahan buat anda. 

Seseorang perlu faham, terdapat 5 waktu untuk mengeluarkan zakat fitrah iaitu:

 

  • Waktu Harus: Apabila memasuki bulan Ramadhan walaupun belum tiba lagi waktu wajib zakat fitrah;
  • Waktu Wajib: Saat matahari terbenam di akhir Ramadan, wajib bagi seseorang untuk membayar zakat fitrah. Namun, terdapat pengecualian bagi individu yang telah meninggal sebelum waktu tersebut atau bayi yang dilahirkan selepas waktu tersebut;
  • Waktu Afdal: Sunat membayar zakat fitrah sesudah subuh hari Raya sehingga Imam berdiri untuk mengimamkan sembahyang Raya;
  • Waktu Makruh: Menangguhkan pengeluaran zakat fitrah sehingga setelah sembahyang Raya didirikan dan matahari terbenam pada 1 Syawal adalah dibenarkan, KECUALI jika ditangguhkan untuk menunggu fuqara'/masakin yang berdekatan atau lebih layak menerima zakat tersebut; dan
  • Waktu Haram: Setelah terbenam matahari pada 1 Syawal, seseorang wajib membayar zakat fitrah, kecuali dalam situasi di mana individu tersebut kehilangan atau tertahan harta mereka pada waktu yang ditetapkan, sehingga waktu yang diperbolehkan berlalu atau tidak menemukan penerima zakat (amil atau asnaf) sehingga setelah masuk waktu yang diharamkan.

 

Bagi mereka yang terlepas hingga masuk ke waktu makruh dan waktu haram dalam mengeluarkan zakat fitrah, tetaplah menjadi kewajiban bagi mereka untuk segera mengeluarkannya. Dan bagi yang terlepas hingga masuk ke waktu haram, hendaklah dia membuat niat untuk mengganti zakat fitrah yang telah dikeluarkan, disertai dengan taubat kerana menangguhkan pembayarannya. Jika tidak, dia akan terus berada dalam dosa selagi zakat fitrah itu tidak diganti.

Oleh itu, bayaran zakat fitrah pada waktu makruh dan haram perlu dirujuk kepada amil tempat masing-masing termasuklah dengan mengunjungi  Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat & Endowmen, (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bertindak sebagai penolong amil kepada Lembaga Zakat Selangor. 

Sumber: X @H_Bakkaniy

Rujukan: Taqrirāt Al Sadidah fi Masāil Mufidah, Habib Hasan Al Kaff hadizahullah.

Pautan Lain: Kaunter Zakat UPM

Tarikh Input: 25/04/2024 | Kemaskini: 25/04/2024 | nuriqra

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXFFPAR~