Wakaf Langkah Jana Pendapatan Umat Islam | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Wakaf Langkah Jana Pendapatan Umat Islam

Wakaf Langkah Jana Pendapatan Umat Islam

Seakan terlekat dalam minda masyarakat apabila membicarakan tentang wakaf, ia hanya melibatkan penyerahan secara mutlak hak milik tanah untuk dijadikan masjid dan tanah perkuburan. Sebaliknya pelbagai agenda besar lain boleh  dimajukan oleh ummah sekiranya ruang lingkup berwakaf dibuka sepenuhnya terutama dalam membantu golongan asnaf atau masyarakat Islam yang kurang bernasib baik.

Meskipun wakaf itu bermaksud terhenti, namun ia tidak bermakna harta yang diinfaqkan itu terhenti begitu sahaja dan tidak boleh digunakan sebaiknya pada jalan Allah. Seharusnya amalan wakaf itu boleh digunakan bagi meningkatkan pendapatan ummah atau setidak-tidaknya bermanfaat untuk ditadbir oleh pihak mengendalikan harta tersebut.

Sebenarnya, hasil daripada aset yang diwakafkan boleh digunakan untuk tujuan sokongan dana dalam peperangan, pendidikan serta dalam bidang kesihatan seperti mana dilaksanakan oleh para sahabat nabi SAW. Begitu juga dalam menjana pendapatan ummah dan disumbangkan kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan sewajarnya bagi meneruskan kehidupan seharian.

 

Jangan Hadkan Potensi Wakaf

Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Razali Othman berkata, masyarakat jangan menjerat minda dengan maksud wakaf yang sempit iaitu sekadar tanah kubur, pembinaan masjid atau surau sahaja.

Sedangkan pelbagai manfaat lain boleh dicetuskan menerusi amalan berwakaf dan memberi sumbangan besar kepada umat Islam menjadi sebuah umat yang berjaya. Tafsiran wakaf oleh Imam Abu Zahrah adalah “apa-apa sumbangan yang boleh digunakan untuk kepentingan orang ramai”. Apabila sesuatu tindakan wakaf dipersetujui oleh pemberi, maka pemilikan sepenuhnya terhadap harta yang diinfaqkan tersebut menjadi milik Allah SWT.

“Aset yang diwakafkan sememangnya tidak boleh ditukar milik kerana ia sudah menjadi milik Allah, namun hasil daripada aset itu boleh digunakan. Sebagai contoh, hasil tanah yang diwakafkan boleh digunakan menjana pendapatan ummah dan membantu golongan tidak bernasib baik,” katanya.

Wakaf berupaya mewujudkan sebuah komuniti Islam yang bertanggungjawab dan membentuk suasana harmoni dalam kalangan masyarakat apabila budaya bantu membantu menjadi subur.

Begitu indah amalan wakaf apabila dilaksanakan, malah pelbagai kekurangan dalam masyarakat dapat diatasi menerusi hasil wakaf yang diinfaqkan. Golongan berwakaf akan gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab membantu golongan tidak bernasib baik, manakala golongan menerima manfaat daripada amalan itu pula berasa mendapat pembelaan daripada saudara Islam lain.

Tarikh Input: 28/09/2018 | Kemaskini: 02/11/2018 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEaRAT~