UCAPAN DEKAN FAKULTI PERUBATAN VETERINAR: KEBAJIKAN HAIWAN | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » UCAPAN DEKAN FAKULTI PERUBATAN VETERINAR: KEBAJIKAN HAIWAN

UCAPAN DEKAN FAKULTI PERUBATAN VETERINAR: KEBAJIKAN HAIWAN

Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh saya ucapkan kepada hadirin dan hadirat sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada pengerusi majlis, pengarah WAZAN Dr Razali Othman, Timbalan Dekan Hospital Veterinar Universiti Prof Dr Jalila Abu, pengerusi webinar Dr Norhariani Mohd Nor, penceramah Dr Wan Nor Fitri Wan Jaafar dan moderatornya, Dr Zulkhairi Azizi Zainal Abidin. Saya ucapkan tahniah kerana atas kerja keras kesemua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung telah dapat menjayakan webinar kebajikan haiwan 2021.

Tabung Kebajikan Haiwan ialah satu inisiatif yang dimulakan oleh Fakulti Perubatan Veterinar sejak 2019. Pada tahun ini, fakulti perubatan veterinar dengan kerjasama WAZAN telah mengambil pendekatan mengadakan webinar kebajikan haiwan sebagai langkah menerapkan nilai kebajikan haiwan. Ini penting agar nilai tersebut boleh dibudayakan dalam masyarakat, dan ini juga merupakan langkah yang selari dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015. Walaupun pada masa ini kita ada mendengar melalui media-massa mengenai penyiksaan yang dilakukan terhadap kucing dan anjing baik dipelihara di rumah atau di jalanan, alhamdulillah, melalui penguatkuasaan di bawah akta berkenaan, pelaku telah mendapat hukuman yang setimpal.

Sehubungan dengan itu, sebagai masyarakat yang mementingkan nilai-nilai murni, amatlah penting untuk kita turut sama-sama meningkatkan tahap kebajikan haiwan. Haiwan juga perlukan makanan, tempat tinggal, kasih sayang, amalan penternakan baik, rawatan dan pemuliharaan supaya dapat mempamer tingkahlaku semulajadi dan tidak menanggung derita, sakit atau tekanan. Namun berlaku tiga kali ganda peningkatan pembuangan haiwan di jalanan sepanjang perintah kawalan pergerakan. Pihak Hospital Veterinar Universiti secara khususnya telah terlibat secara langsung dalam program pengkasian haiwan jalanan melalui aktiviti kelab pelajar Prokasih, dan memberikan rawatan kepada haiwan-haiwan jalanan dan liar yang memerlukan. Hampir dalam kebanyakan kes, kos rawatan adalah terlalu tinggi kerana teknologi yang digunakan pada haiwan adalah sama seperti digunakan kepada manusia. Jika manusia mempunyai penyakit kanser, patah tulang kerana kemalangan dan dijangkiti penyakit berjangkit, keadaan yang sama turut boleh dialami oleh haiwan. Bayangkan, jika kos rawatan manusia yang boleh mencecah angka beribu ringgit tentu sekali perkara yang sama turut berlaku pada haiwan. Ini tidak termasuk kos memulihara hidupan liar yang semakin pupus dan kos untuk membangunkan teknologi contohnya ubatan, probiotik dan vaksin haiwan bagi mengelakkan kematian pada haiwan, mengurangkan kesan ekonomi pada penternak-penternak kita yang mana 80% daripada mereka adalah penternak kecil dan sederhana, dan mengurangkan risiko jangkitan penyakit zoonotik kepada orang awam. Adalah menjadi hasrat UPM untuk turut menyumbang dalam kebajikan haiwan kerana mempunyai kepakaran yang diperlukan. Jika masyarakat turut berpadu masa, tenaga dan wang ringgit, hasrat untuk meningkatkan tahap kebajikan haiwan dapat direalisasikan bersama-sama.

Pada tahun 2019 kita pernah digemparkan dengan kepupusan badak sumatera di Malaysia. Justeru, webinar dimulakan pada hari ini dengan isu hidupan liar seperti harimau belang Malaya yang akan pupus jika tiada usaha pemuliharaan segera. Kemudian pada bulan Oktober, kami akan mengenengahkan isu haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing. Pada bulan November pula mengenai peranan masyarakat dalam membantu helang yang tercedera dan, seterusnya pada bulan Disember mengenai peranan terapi berkuda dalam membantu orang kelainan upaya. Inshaallah ada 12 siri webinar kesemuanya berkaitan kebajikan haiwan. Semoga dengan adanya webinar ini, lebih ramai akan memahami mengenai kepentingan menjaga kebajikan haiwan dan tampil memberikan sumbangan bagi melindungi haiwan dari penderitaan, ancaman dan tekanan, serta mengelakkan kepupusan hidupan liar. Semoga usaha kita diberkati oleh Allah SWT. Tanpa melengahkan masa, saya sudahi ucapan saya dengan wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahatullahiwabarakatuh.

Tarikh Input: 28/10/2021 | Kemaskini: 28/10/2021 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
WXFbLAK~