SEDARLAH PEMILIK KEKAYAAN, ZAKAT ITU BUKAN KEKUASAAN KITA | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » SEDARLAH PEMILIK KEKAYAAN, ZAKAT ITU BUKAN KEKUASAAN KITA

SEDARLAH PEMILIK KEKAYAAN, ZAKAT ITU BUKAN KEKUASAAN KITA

1) Seringkali terjadi pemilik harta yang mahu mengeluarkan zakat dari hartanya, merasakan dia mempunyai kuasa 100% dalam menentukan siapakah yang akan menerima hartanya.

2) Buktinya, dia mencari sendiri mereka yang dirasakan layak bagi menerima zakatnya. Maka, terjadilah kes zakat diserahkan kepada NGO, zakat diserahkan ke luar negeri, zakat diserahkan melampaui batas sempadan negara, zakat diserahkan kepada adik-beradik, zakat diserahkan kepada masjid dan sebagainya lagi.

3) Semua ini tidak akan terjadi jika pemilik kekayaan memahami bahawa zakat itu bukan harta yang perlu diuruskan olehnya. Apa yang wajib dilakukan oleh pemilik kakayaan itu ialah, memastikan zakat itu dikeluarkan dan diserahkan kepada pengurus zakat.

4) Siapakah pengurus zakat? Itulah namanya amil zakat. Jawatan yang disebut dengan jelas di dalam al-Quran (at-Taubah ayat 60) dan jawatan yang diwujudkan oleh nabi dan disebut dengan jelas di dalam banyak hadis.

5) Antaranya, daripada Abu Musa Al-Asy’ari, dari Nabi Muhammad SAW beliau bersabda:
الْخَازِنُ الْمُسْلِمُ الأَمِينُ الَّذِى يُنْفِذُ – وَرُبَّمَا قَالَ يُعْطِى – مَا أُمِرَ بِهِ
كَامِلاً مُوَفَّرًا طَيِّبٌ بِهِ نَفْسُهُ ، فَيَدْفَعُهُ إِلَى الَّذِى أُمِرَ لَهُ بِهِ ، أَحَدُ الْمُتَصَدِّقَيْنِ
Ertinya: “Penjaga harta umat Islam (amil zakat) yang diberi amanat (oleh pemilik harta) ketika memberi sesuai yang diperintahkan untuknya (zakat) secara sempurna dan berniat baik, lalu dia (penjaga harta atau amil zakat) menyerahkan harta tersebut pada orang yang dia ditunjuk menyerahkannya (asnaf), maka keduanya (pemilik harta dan amil yang amanah tadi) termasuk dalam (kumpulan) orang yang bersedekah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

6) Malangnya ramai pemilik kekayaan beranggapan tidak perlu mematuhi sunnah ini dan menganggap zakat itu masih hak mereka untuk diagihkan ke mana-mana yang mereka suka.

7) Akibatnya, terjadilah banyak kes zakat tersalah agih, zakat tidak sampai kepada asnaf yang benar, zakat disalurkan melampau batas sempadan asal dan sebagainya.

8) Sedarlah, jika zakat itu milik si pemilik kekayaan maka apalah guna nabi melantik para amil zakat untuk mengutipnya, lalu dibawa pulang kepada nabi untuk diagihkan. Lebih baik nabi memerintahkan pemilik kekayaan untuk mencari sendiri kaum fakir miskin, muallaf dan sebagainya lalu diagihkan langsung kepada mereka.

9) Sebab itu saya sering berpesan, andai solat ada tatacara perlaksanaannya, andai puasa pun ada rukunnya, andai haji ada syarat wajib dan sah batalnya, maka apakah zakat boleh dilakukan semena-menanya (sewenang-wenang) tanpa perlu mematuhi segala rukun, syarat dan menjaga sah dan batalnya.

Wallahua’alam.

Tarikh Input: 19/09/2022 | Kemaskini: 19/09/2022 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
WXFbKA7~