Modul Pendidikan Zakat Buat Generasi Baharu Di Selangor | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Modul Pendidikan Zakat Buat Generasi Baharu di Selangor

Modul Pendidikan Zakat Buat Generasi Baharu di Selangor

Selangor perlu sentiasa bersiap dengan perubahan. Status negeri termaju menuntut agar perubahan didepani secara proaktif dan bukannya reaktif. Ini menjadi premis kepada perlunya sebuah anjakan dalam pendidikan zakat di negeri ini.

Sebelum itu, suatu masa dahulu, ya kira-kira 10 tahun sudah, saya pernah membelek-belek buku teks pendidikan Islam anak saya. Buku itu digunakan di Sekolah Rendah Agama atau Sekolah KAFA di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Hati saya terdetik halus. Pada pandangan saya, subjek zakat rasanya kurang mendapat perhatian. Ia berada di penghujung buku. Bermakna, ia antara yang paling akhir akan diajarkan kepada anak- anak. Saya bermonolog: ‘Zakat ini rukun Islam ketiga, sepatutnya ia diajarkan di awal silibus.’ Selepas solat pastinya.

Selain itu, pendedahan zakat juga bermula dengan Zakat Fitrah. Saya tidak menolak ia penting; namun dalam hierarki zakat, kedudukan zakat harta itu lebih utama. Di dalam al-Quran, ayat-ayat yang menyebut tentang zakat adalah merujuk kepada zakat harta. Bukannya zakat fitrah.

Kerisauan ini berasas. Pendidikan zakat hakikatnya perlu diperkasakan. Kegagalan berbuat demikian, menyebabkan zakat menjadi ibadah yang ‘terpinggir’ berbanding ibadah lain yang turut disenaraikan di dalam rukun Islam.

Akuilah, terpinggirnya pendidikan zakat telah pun terbukti selama ini, apabila subjek fiqh zakat menjadi bidang pengajian yang paling langka di masjid dan surau. Susah untuk melihat tajuk ‘fiqh zakat’ dimasukkan ke dalam jadual pengajian tetap di masjid dan surau. Malah, tidak semua ustaz juga berani mengajar subjek zakat.

Alasannya, zakat adalah ilmu yang fleksibel dan berubah seiring zaman. Fatwanya paling kerap dikemaskini dari semasa ke semasa. Malah, zakat adalah ibadah yang menggabungkan aspek nas dan praktikalitinya melibatkan prinsip perakaunan dan kemahiran numerasi atau matematik.

Ada formulanya dan ada jalan kerja yang wajib dipatuhi. Salah aplikasi, salah memasukkan angka, jawapannya pasti salah. Maka, menguasai zakat bukan sekadar membaca buku teks, atau berguru tanpa latihan. Zakat perlukan kombinasi antara teori dan amali.

Namun begitu, tidaklah bermakna orang awam wajib menguasai zakat sebagaimana para amil yang memang berada di dalam industri zakat. Tidak perlu sehingga mereka pandai mengira zakat perniagaan dengan nilaian aset beratus ribu dan berjuta ringgit.

Juga tidak perlu bagi orang awam untuk menguasai zakat sehingga ke aspek usul fiqhnya. Misalnya, kenapa zakat itu kadarnya 2.5 peratus dan kenapa wajib mematuhi haul dan nisab. Ataupun perbahasan terminologi yang lebih dalam mengenai maksud nafkah, infak dan zakat pada kaca mata syarak. Juga perbahasan fiqh tentang agihannya yang lapan.

Namun memadailah jika orang awam mengetahui dan memahami zakat dari perspektif yang lebih adil. Misalnya, zakat itu rukun Islam ketiga, bukannya keempat. Zakat adalah ibadah bersifat.

kemasyarakatan dan bukannya individu. Zakat adalah ibadah di bawah kawalan pemerintah dan bukannya dilaksanakan sesuka hati. Zakat itu ada fatwa dan peraturan yang wajib ditaati.

Hakikatnya, kesan lebih serius telah pun menimpa umat Islam, apabila majoriti orang dewasa muslim tidak begitu memahami zakat. Ramai yang merasakan cukup sekadar menunaikan zakat fitrah, ataupun puas sekadar memberikan sedekah. Malah, tidak sedikit pula yang tidak menunaikan zakat lantaran kejahilan.

Akuilah juga, memang ramai dalam kalangan muslim dewasa yang tidak tahu pun berapa jumlah rukun zakat, sedangkan mereka hafal rukun solat yang tiga belas perkara itu. Ramai umat Islam dewasa tidak tahu, bahawa zakat wajib bagi anak-anak kecil yang belum baligh. Malah zakat wajib bagi orang yang gila atau sudah hilang akal.

Kenapa? Ya, kerana mereka masih terikat dengan syarat wajib ibadah lain seperti solat, puasa dan haji yang menetapkan syarat akil (berakal) dan baligh. Malah, ramai juga yang berkeras mahu melafazkan akad zakat; sedangkan status akad zakat hanyalah harus. Tanpanya zakat tetap sah.

Masa berjalan terus. Lembaga Zakat Selangor (LZS) pun terus mencari jalan, agar perkara ini dapat diperbaharui dan tidak tinggal beku begitu sahaja. Di peringkat LZS sendiri, sejak tahun 2017 seiring dengan penubuhan Divisyen Penyelidikan dan Pusat Kecemerlangan (kini bertransformasi menjadi Divisyen Syariah dan Dakwah), LZS sudah pun bersedia dengan menyiapkan sebuah buku silibus lengkap pendidikan fiqh zakat.

Silibus itu disiapkan dengan menggunakan tenaga pakar dalaman LZS yang sekian lama bergelumang dengan teori dan amali zakat. Malah silibus itu disiapkan dengan rujukan yang banyak. Pendeknya, LZS sudah bersedia untuk bila-bila masa menjadikannya sebuah rujukan bagi pihak mana pun.

Akhirnya, sekitar tahun 2019, inisiatif LZS nampak mulai membuahkan hasil. Perbincangan demi perbincangan serius dengan JAIS membuahkan bibit-bibit kejayaannya. Akhirnya JAIS bersetuju membentuk satu kumpulan tenaga pakar dan berpengalaman, yang diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Dr. Hj. Anhar bin Hj. Opir, Mufti Negeri Selangor bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Projek ini akhirnya telah berjaya menghasilkan sebuah set buku pendidikan zakat yang dinamakan Modul Pendidikan Zakat Selangor. Buku ini merupakan silibus yang lebih komprehensif bagi pendidikan fiqh zakat di Selangor. Ia kelak akan dijadikan teks wajib bagi pendidikan zakat di seluruh sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah kelolaan JAIS.

Alhamdulillah. Ia adalah suatu anjakan besar dalam mendepani keperluan pendidikan zakat bagi generasi muda di negeri termaju ini. Mudah-mudahan dengan inisiatif kerdil ini, ia mampu menatijahkan kebaikan yang lebih besar dalam pelaksanaan zakat di Selangor Darul Ehsan untuk tahun-tahun yang mendatang. Demi ummah yang lebih mapan dan lestari dalam kemakmuran pastinya, amin.

Wallahua’lam

 

RUJUK: https://mais.gov.my/e-edisi/modul-pendidikan-zakat-buat-generasi-baharu-di-selangor/

Tarikh Input: 31/12/2023 | Kemaskini: 31/12/2023 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEdDAw~