ASAL USUL KEWUJUDAN WAKAF: SATU PERDEBATAN DALAM KALANGAN ILMUAN | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » ASAL USUL KEWUJUDAN WAKAF: SATU PERDEBATAN DALAM KALANGAN ILMUAN

ASAL USUL KEWUJUDAN WAKAF: SATU PERDEBATAN DALAM KALANGAN ILMUAN

ASAL USUL KEWUJUDAN WAKAF:
SATU PERDEBATAN DALAM KALANGAN ILMUAN

 

PENDAHULUAN


Wakaf secara maknawi telah wujud dalam kalangan masyarakat di dunia ini sebelum kehadiran Islam lagi. Masyarakat di Mesopotamia, German, Greek, Byzantin dan Rom
misalnya, telahpun mengamalkan sumbangan yang bertujuan kebajikan yang menyerupai amalan wakaf.

Masyarakat di bawah sistem perundangan di sekitar wilayah Near Eastern (Rujuk peta I) telah membenarkan pelbagai bentuk sumbangan bagi tujuan kebajikan yang melibatkan pemindahan harta daripada A ke B bagi faedah C. Sistem perundangan ini juga mengamalkaan prinsip pengasingan pokok atau asal harta tersebut dan hasilnya. Asal harta tersebut pula yang tidak boleh dipindah milikan dalam apa keadaaan sekalipun dan hanya digunakan bagi tujuan kebajikan. Terdapat bukti yang menujukkan bahawa banyak kata nama berkaitan amalan pemberian sumbangan yang bertujuan kebajikan wujud dalam masyarakat Islam sebelum karya-karya berkaitan wakaf ditulis oleh sarjana Islam lagi. Malah, penggunaan terma “waqf” yang terawal hanya ditemui dalam kitab al-Kharaj yang ditulis oleh Yahya b. Adam bertarikh 203 H atau 818 M. Profesor Amy Singer (2002:24), dalam kajiannya ke atas asal-usul wakaf telah mencapai kesimpulan yang sama, iaitu wilayah dan masyarakat Islam mula berkembang di sesuatu kawasan yang jelas sekali penuh dengan tradisi dan amalan sumbangan harta berteraskan kebajikan.

Persamaan dari aspek amalan dan struktur perundangan antara institusi-institusi dalam tamadun di atas dan wakaf telah menyebabkan timbulnya dakwaan bahawa amalan dan pewujudan wakaf dipengaruhi oleh tamadun-tamadun berkenaan. Dakwaan ini disokong oleh Heffening yang membuat spekulasi bahawa pengaruh luar mungkinmembantu dalam pewujudan wakaf. Dakwaan ini, walau bagaimanapun telah ditolak oleh Profesor Henry Cattan (1955:205) yang menegaskan bahawa tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa sistem agihan manfaat untuk kepentingan pelbagai golongan masyarakat wujud sebelum Islam. Menurutnya lagi, keistimewaan dan keunikan wakaf terletak pada konsep pengasingan hak milik daripada manfaatnya. Ia adalah merupakan konsep pertama pernah disumbangkan oleh perundangan Islam yang berbeza dengan konsep “wakaf” yang wujudsebelum datangnya Islam. Menurut konsep ini, wakaf sebagai satu entiti atau “makhluk” baru, walaupun bukan manusia, tetapi tetap mempunyai hak dan tanggungjawab seperti seorang manusia biasa.

Pandangan ini disokong kuat oleh Profesor Daniel Crecelius (1995:249) yang dengan tegas menyatakan bahawa umat Islam digalakkan untuk menyerahkan harta mereka secara sukarela untuk kepentingan ummah. Mereka tahu mengenai tanggungjawab tersebut dan wakaf sendiri adalah merupakan satu keistimewaan bagi orang-orang Islam. Sementara itu, Imam Shafii pula menyatakan bahawa wakaf, baik dalam bentuk rumah atau tanah tidak pernah wujud di bumi Arab sebelum Islam. Hujah Imam Shafii ini dibuat bersandarkan kepada nas al-Quran, surah al-Najm ayat 3 dan 4, dan surah al-Hasr, ayat 7. Tegasnya lagi, amalan dan perundangan wakaf sebenarnya wujud secara perlahan-lahan melalui tradisi kenabian yang kemudiannya diperkukuhkan melalui ijmak ulamak.

Berdasarkan senario di atas, persoalan yang cukup menarik dan perlu dirungkai di sini, ialah apakah sebenarnya wakaf? Bagaimana wakaf mampu menjadi sebahagian daripada sistem kehidupan masyarakat, khususnya sebagai sumber pembiayaan dana dalam pelbagai sektor seperti prasarana asas, pendidikan dan kesihatan? Apakah benar wakaf diambil daripada tamadun bukan Islam? Oleh itu, tiga artikel akan ditulis bagi menjawab persoalan rumit di atas. Artikel I, menumpukan perbahasan mengenai pensyariatan wakaf dalam pandangan tassawur Islam. Kupasan daripada ayat-ayat al-Qur’an, al-Hadith dan ijmak ulama menjadi rujukan utama dalam artikel ini. Artikel II, akan membahaskan pewujudan wakaf daripada pandangan para orientalis Barat. Pandangan ini jelas menyatakan bahawa amalan berwakaf wujud hasil daripada inspirasi dan pengaruh daripada sistem perundangan di Byzantine dan Rom, iaitu institusi res sacrae, piae causae dan fidei commissum. Sementara artikel dalam Bahagian III pula akan membahaskan asal usul dan prinsip trust di bawah sistem perundangan Inggeris dan hubungannya dengan sistem perundangan wakaf. Penggunaan alat perundangan pelupusan hak milik harta dan manfaat dalam perundangan trust yang mirip kepada perundangan wakaf telah menimbulkan andaian bahawa amalan berwakaf wujud hasil daripada inspirasi dan pengaruh sistem perundangan trust. Dalam artikel akhir ini juga akan membuktikan bahawa asal usul amalan dan pewujudan wakaf sebenarnya adalah berasaskan tasawwur Islam bertunjangkan kepada al-Qur’an, al-Sunnah Rasulullah SAW, Ijma ulama’, dan bukan berasaskan kepada perundangan dalam tamaduntamadun yang didakwa oleh para sarjana Orientalis Barat.

 

TAKRIFAN DAN KONSEP WAKAF


Dilihat dari aspek budaya, wakaf lebih dikenali sebagai rumah kecil yang dibina sebagai tempat berehat, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu dan Indonesia. Jika
ditinjau dalam bahasa Melayu, perkataan “wakaf” memberikan erti sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam (Kamus Dewan, 2007). Dalam pada itu,
A Concise Encyclopedia of Islam (2002:212) pula menakrifkan wakaf sebagai dana keagamaan yang dibuat secara berkekalan dan harta asal wakaf tersebut tidak boleh digunakan untuk tujuan selain yang ditetapkan oleh pewakaf. Namun begitu, perkataan wakaf sebenarnya berasal daripada terma “waqf” atau “waqafa” (kata jamak) dalam bahasa Arab yang bermaksud “menahan”, “menegah” atau “berhenti”. Wakaf membawa maksud “pembekuan” hak milik bagi faedah tertentu apabila dikaitkan dengan harta seperti tanah atau bangunan. Berhenti pula bermaksud menyerahkan hak milik secara keseluruhannya kepada pemilik asal, iaitu Allah SWT. Berhenti pula bermaksud menyerahkan hak milik secara keseluruhannya kepada pemilik asal, iaitu Allah SWT. Dalam kalangan pengikut mazhab Maliki di Maghribi, Algeria dan Tunisia, wakaf disebut hubus (bentuk jamak daripada habis) dan dalam bentuk lain. Wakaf juga dikenali dengan nama hubs (kata jamak daripada ahbas). Orang Perancis juga telah menerima hobous sebagai istilah sah dalam bahasa rasmi mereka. Dalam kajiannya terhadap sistem wakaf di Turki, Profesor Bahaeddin Yediyildiz (1996:1) mengambarkan amalan mewakafkan harta untuk tujuan kebaikan dalam situasi yang sangat menarik; “sistem wakaf secara keseluruhannya memberi tumpuan kepada kebahagian umat manusia sejagat. Pewakaf gembira kerana dapat membantu mereka yang memerlukan bantuan yang didorong oleh keinsafan bagi mendapatkan keredhaan
Allah SWT. Sementara penerima wakaf pula bersyukur kerana keperluan asasnya dapat dipenuhi. Akhirnya, kegembiraan, kebahagiaan dan kesyukuran dipenuhi secara kolektif dalam kehidupan masyarakat tanpa menimbulkan sebarang konflik antara satu sama lain. Kesempurnaan yang dibawa oleh institusi wakaf ini seiring dengan konsep masyarakat yang sempurna yang diketengahkan oleh ahli falsafah agong al-Farabi dalam bukunya
al-Madina al-fadhila atau The Virtuous City”.


PENSYARIATAN WAKAF


Para ilmuan membahaskan wakaf dalam konsep yang berkisar kepada pemeliharaan al-mal atau harta yang dikira salah satu perkara darurriyah. Pemeliharaan harta secara
kolektifnya membawa maksud perlunya umat Islam bangun menunaikan amanah fardhu kifayah untuk memelihara, menjaga dan mengurus alam dalam konteks pembangunan
ekonomi dan kewangan selaras dengan keperluan syariah. Atas dasar inilah, tujuan disyariatkan berwakaf ialah untuk melakukan kebaikan (
qurba) dan mendekatkan diri dengan Allah SWT (taqqarub). Dalam hal ini, harta merupakan aset yang perlu dipelihara sesuai dengan matlamatnya untuk membantu umat manusia bagi mendapatkan keredhaan Allah SWT. Pensyariatan atau tujuan seseorang itu digalakkan untuk melakukan amalan wakaf dapat dilihat daripada perspektif al-Qur’an dan al-Hadith. Namun begitu, nas daripada al Qur’an dan al-Hadith yang membincangkan wakaf begitu terbatas dan bersifat umum. Justeru, tidak hairanlah jika wujud perbezaan pendapat dalam kalangan ahli fiqh ketika membahaskannya yang tidak terlepas daripada pengalaman dan pengaruh masyarakat setempat. Teras pewujudan wakaf ini ditunjukkan seperti dalam Rajah I, dan seterusnya dibahaskan secara terperinci di bawah.

 

 PENSYARIATAN WAKAF MENURUT PERSPEKTIF AL-QUR’AN


Al-Qur’an menyediakan asas kukuh yang mendorong kepada amalan berwakaf melalui ayat-ayat yang berkaitan dengan konsep sedekah (alms). Banyak kisah dilaporkan yang boleh dijadikan bukti kukuh bahawa inspirasi daripada ayat-ayat al-Qur’an telah membawa kepada amalan berwakaf. Perintah Allah SWT untuk menerima taubat dan bersedekah melalui ayat al-Qur’an dalam surah at-Taubah, 9:104 misalnya, menurut Osman Nuri Topbas (2009) telah menjadi dorongan yang kuat kepada para sahabat Rasululullah SAW untuk bersedekah dan berwakaf dengan penuh rasa tanggungjawab serta keikhlasan kepada Allah SWT. Dalam surah al-Imran pula, Allah SWT telah berfirman yang maksudnya, “kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi” (al-Imran, 3:92). Menurut Syed Qutb (1982) bahawa orang-orang Islam semasa turunnya ayat ini memahamkannya sebagai suatu ibadat dan galakkan bagi mendapatkan ganjaran yang lebih baik daripada Allah SWT dengan mengorbankan harta yang disayanginya. Justeru, para sahabat Rasululullah SAW dan umat Islam berlumba-lumba untuk membuat kebajikan dengan mendermakan tanah-tanah dan kebun-kebun pertanian yang sangat mereka sayangi sebagai wakaf bagi mendapatkan keredaan Allah SWT. Abu Talha, salah seorang sahabat  Rasululullah SAW, sebaik sahaja mendengar ayat tersebut telah mencari Rasululullah SAW untuk menyerahkan harta yang paling disayanginya iaitu kebun kurma Bairaha. Perbuatan Abu Talha yang telah mewakafkan kebun kurmanya di Bairaha untuk kaum kerabat dan sanak saudaranya telah menjadi dasar kepada amalan wakaf keluarga. Amalan wakaf keluarga tersebut telah berkembang dan terus diterima sebagai sebahagian daripada kaedah berwakaf sehingga hari ini.


Penelitian yang dilakukan oleh Razali Othman (2011) dan Suhrawardi Lubis (2012) telah mengukuhkan lagi hujah penyelidik-penyelidik tersebut. Menurut Razali Othman
(2011), ayat-ayat al-Quran yang membawa maksud “mereka yang percaya dan membuat amal kebajikan” (
alladhina amanu wa’amilu ‘l-salihat) disebutkan sebanyak 37 kali jelas membuktikan bahawa umat Islam digalakkan untuk melakukan amal kebajikan bagi meraihganjaran di dunia dan di akhirat. Ayat-ayat tersebut membawa maksud umum yang merangkumi segala bentuk kebaikan atau sumbangan bertujuan untuk kebajikan. Walaupun ayat-ayat al-Quran tersebut tidak menyebut secara langsung mengenai wakaf, namunluahannya sudah memadai untuk dijadikan sebagai dasar umum mengenai amalan wakaf. Pandangan ini dijelaskan oleh al-Maturidi, Abu al-Thana’ Mahmud b. Zayd al-Lamishi alHanafi yang menyatakan bahawa prinsip asas Islam menganggap bahawa luahan bolehdijadikan sebagai dasar umum dan bukan yang bersifat khusus. Jadi, wakaf dijustifikasikan sebagai satu bentuk sedekah yang istimewa kerana sifatnya yang kekal dan tidak boleh dipindah milik.

Suhrawardi Lubis (2012) pula dengan bersandarkan ayat al-Qur’an surah al-Hajj 22:77, ali-Imran 3:92 dan al-Baqarah 2:261-262 memposisikan pensyariatan wakaf kepadamelakukan kebaikan (al-khayr), kebajikan (al-bir), “nafkah” dan sedekah. Menurut beliau lagi, keempat-empat kategori tersebut dilakukan dengan matlamat untuk menafkahkan harta di jalan Allah SWT bagi kepentingan maslahah umat Islam. Amalan tersebut dilakukan hanyauntuk mendapatkan pahala ketika hidup dan sesudah mati. Razali Othman (2014) turut membahaskan wakaf dalam konteks pemeliharaan harta.Dengan bersandarkan ayat-ayat al-Qur’an, beliau menegaskan bahawa terdapat lima prinsip yang harus dipatuhi sebagai panduan kepada manusia dalam meneroka, memiliki, dan menggunakan harta. Pertama, semua harta yang ada di atas muka bumi ini adalah hak milik mutlak Allah SWT. Kedua, Allah SWT telah memberikan hak kepada manusia sebagai khalifah Allah SWT untuk meneroka, mencari, memiliki dan memakmurkan harta. Ketiga, Allah SWT hanya membenarkan umat manusia mencari dan memiliki harta yang baik dari sumber yang halal.

Keempat, Allah SWT telah mengingatkan manusia untuk menggunakanharta yang dimiliki dengan menunaikan tanggungjawab kepada mereka yang memerlukannya melalui zakat dan seterusnya yang kelima, Allah SWT mengalakkan umat manusia membelanjakan lebihan harta mereka dengan memperbanyakkan amalan sedekah sukarelaseperti berwakaf. Atas dasar inilah, Islam membuka ruang yang seluasnya kepada individu yang memiliki harta mendekati dan mensyukuri nikmat Allah SWT dengan membantu golongan tertentu. Jadi, pemilik harta yang menahan harta tersebut ingin supaya harta miliknya itu tetap dapat diambil manfaatnya oleh orang lain dan mendapat keredaan Allah SWT.


Bersandarkan pandangan tersebut, Islam menyarankan supaya setiap individu mencari harta dengan jalan yang betul dengan cara tolong menolong. Harta tersebut pula hendaklah diperolehi melalui sumber-sumber yang halal dan dibelanjakan dengan cara terbaik bagi mencapai maksud
qurba dan taqarrub. Saranan ini dibuat bagi menjamin supaya harta tersebut beredar secara meluas dalam pelbagai bidang kehidupan, memberi galakan kepada muamalah kehartaan dan mengelakkan berlakunya kesukaran yang boleh melemahkan kegiatan ekonomi. Dengan sebab inilah, Islam mencela sifat kedekut, bakhil, membazir, boros, mementingkan diri sendiri, tidak mengeluarkan zakat, memiliki dan membelanjakan harta dengan cara yang haram seperti yang dijelaskan dalam dua ayat al-Qur’an seperti berikut.“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnyaSyaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu” (al-Baqarah, 2:168). “Dialah yang menjadikan bumi bagimu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata penjurunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah kamu dibangkitkan hidup semula” (al-Mulk, 67:15).

Bersandarkan ayat al-Qur’an, surah al-Baqarah, 2:177, 2:261, 2:272, 2:274 dan al-Isra, 17:26, Islam mewajibkan penyaluran zakat. Islam turut menggalakkan umatnya membelanjakan lebihan harta kekayaan mereka dengan berlumba-lumba mengejar kebaikan melalui derma atau sedekah. Tanggung jawab ini adalah berasaskan kepada premis bahawa Allah SWT sebagai Pencipta dan Pemilik mutlak harta kekayaan seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” (al-Maidah, 5:17). “Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak mengujimu pada apa yang dikurniakan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (al-An’am, 6:165). Oleh itu, apa jua yang manusia perolehi daripada usahanya adalah atas sifat kasih Allah SWT seperti yang dijelaskan dalam firmanNya yang bermaksud:“Siapakah yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah SWT sebagai pinjaman yang baik supaya Allah SWT melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya. Dan Allah SWT menyempitkan dan meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNya kamu semua dikembalikan” (al-Baqarah, 2:245).

Sementara mereka yang mempunyai kelebihan harta atau dana dianjurkan untuk mengembangkannya dengan cara membuat pelaburan yang bersifat produktif. Bersandarkan kaedah fiqh iaitu,” tiada untung tanpa risiko”, pelaburan harta boleh dibuat misalnya menerusi kaedah musharakah dan mudharabah. Allah SWT mengecam mereka yang membiarkan, dan tidak memanfaatkan hartanya. Bukti ini dapat dilihat daripada dalil alQur’an seperti berikut; “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita dan ahliahli agama memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (atTaubah, 9:34). Setiap individu juga perlu memerhatikan halal dan haram pelaburan tersebut. Riba, gharar dan perjudian adalah tidak dibenarkan oleh syarak. Bagi mereka yang mensyukuri nikmat, Allah SWT akan menambahkan lagi seperti firman-Nya yang bermaksud; “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Ibrahim, 14:7)


Dalam hal ini, Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi mereka yang sanggup membelanjakan harta benda ke jalan-Nya. Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah (perbelanjaan derma) ialah seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui”. (al-Baqarah, 2:261) Dalam membelanjakan harta dan kekayaan, Allah SWT juga mengingatkan manusia supaya sentiasa berlaku jujur dan amanah.

Setiap tanggungjawab manusia terhadap harta akan ditanya di akhirat kelak seperti yang diingatkan-Nya dalam ayat berikut “Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil”. (al-Ahzab, 33:72). Allah SWT melarang sekeras-kerasnya dan menjanjikan seksaan yang pedih kepadamereka yang tidak berlaku jujur dan bersifat amanah dengan menyimpan kekayaan seperti yang diceritakanNya dalam kisah kebakhilan dan kealpaan Qarun, dan kisah keengganan Tsa’labah bin Hathib Al Anshari menunaikan zakat. Antara perbelanjaan secara sukarela yang digalakkan oleh Islam termasuklah amalan berwakaf. Amalan berwakaf ini memberi peluang yang luas kepada individu yang memiliki harta untuk mendekati dan mensyukuri nikmat Allah SWT dengan membantu golongan yang memerlukan bantuan. Selain itu, wakaf juga berperanan dalam menyusun dan membangunkan kekuatan ummah serta kesejahteraan masyarakat dengan menekankan kepada prinsip keadilan dan muafakat (al-adl wal ihsan).

 

KEWUJUDAN WAKAF DARIPADA PERSPEKTIF AL-SUNNAH


Dilihat daripada perspektif al-Hadith pula, terdapat bukti menunjukkan bahawaRasululullah SAW bukan sahaja sangat menggalakkan amalan berwakaf, tetapi Baginda
Rasululullah SAW sendiri mengamalkannya sehingga menjadi ikutan dan contoh di kalangan para sahabat dan kaum muslimin. Pembinaan Masjid Quba dan Masjid Nabawi yang berasaskan kepada ketakwaan kepada Allah SWT semasa Rasululullah SAW berhijrah ke Madinah, membuktikan betapa pentingnya fungsi wakaf dalam kehidupan masyarakat Islam. Malah, wakaf agama yang pertama dalam sejarah perundangan Islam ialah yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW dengan mewakafkan masjid Quba’ semasa baginda berhijrah ke Madinah. Masjid yang berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu dan pusat kegiatan sosioekonomi yang dibina di atas sebidang tanah wakaf telah memberikan sumbangan yang besar sebagaimana tercatat dalam sejarah perkembangan Islam di Madinah. Rasullullah SAW juga telah menyerahkan semua harta rampasan perang yang diperuntukkan kepadanya sebagai harta wakaf.

 

Selain itu, petikan dua buah hadis di bawah ini turut membuktikan bagaimana Rasululullah SAW sangat menggalakkan umat Islam untuk berwakaf. Dari Abu Hurairah ra
bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud; “Jika anak Adam telah meninggal, maka putuslah semua amalnya kecuali tiga; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan keduanya” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadith ini dituturkan di dalam bab wakaf kerana para ulama mengertikan sedekah jariah adalah sebagai wakaf. Wakaf ini merupakan salah satu amal yang sangat dituntut sekali dalam agama Islam kerana ianya termasuk amal sholeh yang pahalanya tak akan putus-putus diberikan Allah selama harta yang diwakafkan itu masih digunakan orang seperti yang dijelaskan di dalam hadith di atas. Menariknya, Murat Cizakca (1998) melihat ketiga-tiga elemen dalam hadith tersebut dalam satu kombinasi penting berkaitan wakaf.

Tegasnya, umat Islam memerlukan institusi wakaf yang mampu melaksanakan ketiga-tiga amalan tersebut iaitu dana, ilmu dan anak yang soleh secara berterusan. Para sahabat meneruskan amalan berwakaf seperti wakaf oleh Umar ra yang sangat masyhur dan telah menjadi locus classicus di kalangan ulama’dan sarjana apabila membincangkan wakaf. Peristiwa ini disaksikan sendiri oleh anak-anak Saidina Umar ra termasuk anak perempuannya iaitu Hafshah. “Umar mendapat sebidang tanah di Khaibar. Dia mengadap kepada Nabi Muhammad saw untuk meminta musyawarah tentang tanah itu. Katanya, “Ya Rasulullah, aku mendapat tanah di Khaibar yang belumku dapatkan harta yang lebih berharga menurut pandanganku.” Sabda Rasulullah SAW, “Jika kamu suka tahankanlah asal harta itu dan sedekahkan hasilnya. Lalu, Saidina Umar ra menjadikan harta yang diperolehinya itu sebagai harta sedekah yang tidak boleh dijual, dibeli dan diwarisi. Saidina Umar ra menyedekahkannya kepada orangorang fakir, kerabat, budak, sabilillah, Ibnu Sabil dan tamu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).


Hadith ini juga menunjukkan bagaimana Rasullulullah SAW telah mengajar umat Islam untuk menjana, memindahkan dan membelanjakan harta mereka seperti mana yang dijelaskan oleh Syed Othman Alhabshi (1986). Menurut beliau, Saidina Umar ra ingin melawan keinginan mencintai harta yang berlebih-lebihan itu dengan mencari jalan lebih baik yang dapat mendekatkan dirinya dengan Allah SWT. Maka, Rasululullah SAW telah menyarankan supaya Saidina Umar ra menahankan tanah yang dimilikinya di Khaibar itu dan hasilnya dijadikan sedekah yang berkekalan untuk manfaat umat manusia.

Tegas Syed Othman Alhabshi (1986) lagi, tindakan Saidina Umar ra telah menunjukkan satu teori ekonomi yang sangat penting yang selari dengan ajaran al-Qur’an. Menurut beliau, wakaf mempunyai dua pendekatan ekonomi yang dapat meningkatkan nilai pelaburan jangka panjang. Pertama, kemampuan harta melalui pelaburan. Kedua, cara menggunakan harta, iaitu menggunakan hasilnya dan bukan harta itu sendiri. Konsep pemisahan antara hak pemilikan dan penggunaan inilah merupakan faedah yang hanya boleh dinikmati daripada harta wakaf berbentuk kekal. Ini kerana harta wakaf tidak bergantung kepada entiti pemilik yang bersifat sementara. Malah, Profesor Henry Cattan (1995) menegaskan bahawa bahawa konsep kekekalan wakaf merupakan konsep yang pertama disumbangkan oleh perundangan Islam yang berbeza 10 dengan konsep wakaf atau endowment yang wujud sebelum datangnya Islam. Kedua-dua sifat
harta tersebut telah membuktikan bahawa amalan berwakaf bukan sahaja merupakan ibadat yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan pahala yang besar, tetapi dalam masa yang sama, wakaf juga memainkan peranan sebagai mekanisme pelaburan bagi menghasilkan sumber pembiayaan dalam jangka masa panjang. Buktinya, Saidina Umar ra telah mewakafkan sebidang tanah di Palestin semasa hidupnya lebih daripada 1000 yang lalu. Tanah tersebut masih kekal dan manfaatnya masih dinikmati sehingga hari ini oleh cucu cicitnya. Selepas peristiwa tersebut, Imam Shafie menyebut bahawa seramai 80 orang sahabat Rasulullah SAW daripada kaum Ansar telah berwakaf, termasuklah Saidina Ali ra yang telah mewakafkan rumah dan tanahnya di Mesir. Sementara itu, Saidina Umar ra, Saidina Abu Bakar ra, Saad, Arqun, dan Zubair telah mewakafkan rumah masing-masing di Mekah dan di Madinah kepada Badan Amanah. Perbuatan Saidina Umar ra ini telah menjadi asas kepada pewujudan amalan wakaf am. Wakaf telah menjadi amalan yang direbut-rebut dalam kalangan sahabat Rasululullah SAW dan juga kaum muslimin seperti yang diceritakan oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya mengenai kisah Abu Talha dan kebun kurmanya di Bairaha seperti yang telah dibincangkan di atas.


PENSYARIATAN WAKAF MENURUT PERSPEKTIF IJMA ULAMA


Al-Qur’an dan al-Hadith telah menyediakan asas serta menjadi inspirasi dalam kalangan umat Islam yang membawa kepada pensyariatan wakaf. Seiring dengan kepentingan wakaf daripada sudut maqasidnya, para ulama menerusi kaedah ijtihad kemudiannya telah melengkapkan hukum dan pelaksanaan institusi wakaf sesuai sesuai dengan perkembangan serta perubahan masa. Konsep wakaf telah diperkemaskan lagi oleh para ulama’ yang merangkumi empat rukun wakaf, pengurusan wakaf di bawah seliaan mutawalli, penerima manfaat, dan hukum berdasarkan kepentingan wakaf dalam pembangunan sosioekonomi ummah. Kepentingan wakaf daripada kaca mata golongan ulama ini misalnya jelas tercatat dalam kitab Tanbihul Ghafilin oleh Abullaits Assamarqandi.

Antara lain beliau menghuraikan aktiviti yang memberi manfaat dan pahala yang berpanjangan seperti berikut: “Yazid Arraqqasyi meriwayatkan dari Anas r.a. berkata: ‘Tujuh macam yang dapat diterima pahala sampai sesudah matinya: 1. Siapa yang membangun masjid maka ia tetap mendapat pahalanya selama ada orang sembahyang di dalamnya. 2. Siapa mengalirkan air sungai, selama ada yang minum daripadanya. 3. Siapa yang menulis mushaf ia mendapat pahala selama ada orang yang membacanya. 4. Orang yang menggali sumur (perigi) selama masih ada orang mempergunakan airnya. 5. Siapa yang menanam tanaman selama dimakan oleh manusia atau burung. 6. Siapa yang mengajar ilmu yang berguna, selama dikerjakan oleh orang yang mempelajari. 7. Orang yang meninggalkan anak salih mendoakan dan membaca istighfar baginya; yakni jika mendapat anak lalu diajari ilmu dan alQur’an, maka ayahnya akan mendapat pahalanya selama anak itu melakukan ajaran-ajarannya, tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri; sebaliknya jika dibiasakan berbuat lacur fasik maka ia mendapat dosanya tanpa mengurangi dosa orang yang berbuat sendiri”. 11 Sementara Jabir ra pula menyebut; “Tiada seorangpun daripada sahabat Nabi SAW yang berkemampuan melainkan memberi wakaf. Ini telah menjadi ijma’, maka sesungguhnya orang yang mampu mewakafkan harta dari kalangan mereka telahpun melakukannya, dan masyhurlah yang demikian itu, kerana itu tiada seorangpun yang membantahnya, maka jadilah yang demikian itu ijma’.


KESIMPULAN


Secara keseluruhannya, perbahasan sebelum ini jelas membuktikan bahawa idea untuk melakukan amalan berwakaf dicetuskan oleh al-Qur’an dan al-Hadith. Sementara, para
ulama telah melengkapkan sistem perundangan wakaf tersebut menerusi kaedah ijtihad selari dengan perkembangan masa dan tempat seperti yang digambarkan dalam Rajah 1 di atas. Amalan berwakaf juga membolehkan peranan manusia sebagai Khalifah Allah SWT di atas muka bumi, iaitu berbuat baik (
qubra) dengan makhluk serta bertaqarrub dengan Allah SWT dipenuhi. Tegasnya, wakaf merupakan cabang yang terpenting dalam hukum Islam kerana terjalin di dalamnya kehidupan ibadah dan sosial ekonomi kaum muslimin. Asas dan teras pewujudannya adalah bersandarkan al-Qur’an, al-Hadith dan Ijma ulama’. Sekaligus menafikan dakwaan orientalis Barat yang mendakwa institusi wakaf diambil bertunjangkan teori pengaruh luar.


Disediakan oleh:
DR. RAZALI BIN OTHMAN
Pengarah
Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Emai:
razaliupm@upm.edu.my

 

Tarikh Input: 26/03/2019 | Kemaskini: 26/03/2019 | nuruliman

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 8993/6156
+603 9769 2048
C1568666842