Amalan Filantropi Islam Kepada Pembangunan Ummah | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Amalan Filantropi Islam kepada Pembangunan Ummah

Amalan Filantropi Islam kepada Pembangunan Ummah

Sebagai salah sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam, amalan kedermawanan telah menjadi perkara biasa dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Malahan, impak positif penglibatan dalam amalan ini telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadith.

Sepertimana Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 261 maksudnya:

“Perumpamaan (derma) orang yang membelanjakan harta benda mereka di jalan Allah, adalah sama seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang Dia mahu dan Allah Maha   Luas Kurnia-Nya, lagi Maha mengetahui.” 

Berdasarkan ayat di atas, dapat disimpulkan  bahawa  perbuatan filantropi seperti memberi dan menderma akan  mendatangkan  kesan  yang  berlipat  kali  ganda  kepada  orang  yang  memberi  dan  menerima. Sehubungan itu, amalan kedermawanan yang melibatkan individu perlu diberikan penekanan kerana berdasarkan Model Amal (Charity Model) oleh Mohanty menunjukkan pelaksanaannya membawa kesejahteraan kepada masyarakat. Model ini dibangunkan berdasarkan fungsi kesejahteraan sosial yang menyatakan bahawa amalan kedermawanan yang dilaksanakan tidak akan mengurangkan jumlah kekayaan seseorang malahan akan memberi impak positif kepada yang terlibat. Kesan pelaksanaan kerja amal akan membantu mengisi jurang peranan dan bebanan kerajaan bagi menangani masalah sosial dan bencana alam.

Di peringkat antarabangsa pula, pemberian amal yang melibatkan filantropi telah menjadi sumber kewangan utama di negara-negara maju misalnya kajian yang dijalankan terhadap enam buah negara pada tahun 2012 telah mencatatkan kutipan sumbangan sebanyak USD 12.49 bilion, 46 peratus daripada keseluruhan sumbangan (Lilly Family School of Philanthropy, 2013).  Hasil sumbangan tersebut telah disalurkan kepada yayasan untuk tujuan dan kegunaan awam, institusi pengajian tinggi, badan kesenian dan kebudayaan, kemanusiaan, keagamaan dan kesihatan.  

Di samping itu, amalan filantropi dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berorientasikan etnik dengan menyasarkan pengumpulan dana untuk tujuan pemulihan budaya dan agama serta menangani cabaran sosio-ekonomi yang wujud.  Penglibatan masyarakat dilihat dapat membantu menangani kemaslahatannya yang wujud akibat pandemik COVID-19. Konsep dan amalan filantropi telah dipraktikkan sejak ribuan tahun dahulu untuk membantu kehidupan manusia tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan.

Rujukan: Mohd Soffian Lee, Umi & Abdul Aziz, Abdul Rashid & Isa, Asma. (2020). Kefahaman dan Tingkah Laku Masyarakat Terhadap Amalan Filantropi Islam Semasa Pandemik COVID-19. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH). 5. 1-15. 10.47405/mjssh.v5i12.591.

Tarikh Input: 14/07/2022 | Kemaskini: 14/07/2022 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
WXFbKAs~