Wakaf Sumber Pembangunan Ummah | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Wakaf Sumber Pembangunan Ummah

Wakaf Sumber Pembangunan Ummah

Wakaf Sumber Pembangunan Ummah

Pengenalan

Wakafa merupakan asal usul kepada kata wakaf yang digunakan pada hari ini. Wakaf secara maknawi bermaksud berhenti atau tertahan yang secara langsung memperkaitkan wakaf sebagai amalan memberikan harta yang dimiliki untuk manfaat kepada orang lain. Wakaf diletakkan sebagai sebuah ibadah yang tinggi ganjarannya di sisi Allah S.W.T. Menerusi ibadah berwakaf seseorang hamba dapat menyucikan harta mereka dan seterusnya mendekatkan diri kepada rahmat yang maha Esa.

Setiap rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada hambanya mempunyai hak orang lain yang perlu untuk dikongsikan. Istilah wakaf secara umumnya, difahami secara terhad dan sempit oleh masyarakat kita dewasa ini. Umat Islam acap kali memperkaitkan ibadah wakaf dengan bentuk penyerahan sebidang tanah untuk tanah perkuburan atau membina masjid semata-mata.

Situasi ini menatijahkan masyarakat muslim khususnya tidak melihat wakaf sebagai ruang terbaik untuk mereka beribadah. Peri pentingnya wakaf dalam Islam amat jelas sehingga ibadah ini diangkat sebagai salah satu bentuk amalan yang akan memberikan pahala kepaada pewakaf meskipun mereka telah meninggal dunia.

Ganjaran pahala itu akan berterusan sehingga hari kiamat kelak selagi harta yang diwakafkan dapat dimanfaatkan untuk kemashlahatan ummah. Tingginya nilai wakaf ini dapat dibuktikan melalui sabda Rasululllah S.A.W sebagaimana berikut:

“ Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah , ilmu yang dimanfaatkannya dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya.

( Hadis Riwayat Muslim )

Para fuqaha' berpandangan bahawa mekanisme wakaf mempunyai dua tujuan utama  iaitu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan pewakaf akan menerima ganjaran pahala yang berkekalan dan berterusan hingga ke hari akhirat.

Kedermawanan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W telah menjadi perintis dalam memulakan amalan berwakaf. Baginda telah mewakafkan tanah bagi membina rumah Allah yakni masjid Quba’ tatkala Rasulullah bersama para sahabat berhijrah ke Madinah. Pembinaan masjid Nabawi di Madinah juga telah berjaya dibina atas sumber wakaf. Oleh itu, jelaslah malan berwakaf amat subur dan disemarakkan oleh baginda dan para sahabat sehingga tradisi berwakaf amat kuat dalam kalangan masyarakat Arab. Hasil amalan berwakaf dapat dilihat menerusi lipatan sejarah yang membuktikan 3/4 keluasan tanah Arab merupakan tanah yang diwakafkan.

Kejayaan terbesar amalan wakaf ini dapat dibuktikan dengan kegemilangan model wakaf Al-Azhar di negara Mesir. Pengurusan dana sumber wakaf ini telah dikelolakan oleh Kementerian Wakaf-Al Azhar yang cukup terkenal dengan kehebatan mereka dalam menguruskan wakaf sebagai paksi pembangunan Ummah. Hasil wakaf telah dapat memberi manfaat kepada pelbagai aspek kehidupan seperti pembinaan institusi pendidikan, hospital, masjid dan universiti.

Berbicara berkenaan Universiti Al-Azhar sudah pasti masyarakat seluruh dunia mengetahui latar belakang universiti bereputasi ini yang dibina melalui dana wakaf sepenuhnya. Oleh yang demikian, pemartabatan amalan berwakaf perlu terus dilestarikan kerana wakaf mampu menjadi sumber utama dalam meluaskan syiar Islam ke seantero dunia.

Sebagai khalifah di muka bumi ini Allah telah memberikan amanah kepada manusia untuk sentiasa membantu dalam membangunkan kehidupan dan seterusnya menyermpurnakan perintah Allah. Suri teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W selama ini berperanan sebagai tonggak yang penting. Sesungguhnya, ketinggian nilai seseorang manusia itu dibezakan oleh ketakwaan kepada Allah S.W.T. Dalam merealisasikan impian setiap manusia untuk menjadi mukmin dan hamba yang bertakwa, maka mendermakan harta yang dikurniakan Allah menjadi ibadah yang amat dianjurkan dalam Islam. Perkara ini dapat dijelaskan dengan Firman Allah S.W.T. yang mafhumnya:

“ Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi, dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”

 (Surah Ali Imran: 92)

Al-Rafi’i  telah mentafsirkan maksud kebajikan di dalam ayat di atas adalah wakaf, iaitu satu-satunya ibadah yang dapat dikategorikan sebagai sedekah jariah. Hal ini kerana, kebajikan yang diperolehi oleh pewakaf adalah ganjaran pahala yang berterusan walaupun pewakafnya telah meninggal dunia dan selagi mana harta yang diwakafkan tersebut terus kekal dan dimanfaatkan.

Kini, mekanisme wakaf telah berkembang luas dengan amalan wakaf tunai yang merupakan bentuk wakaf paling kompehensif dan membantu umat Islam menyuburkan budaya berwakaf. Dr. Murat Cizakca, seorang cendekiawan Islam moden yang terkenal, di dalam bukunya yang bertajuk “A History of Philantrophic Foundations: the Islamic World From The Seventh Century to the Present”,menyatakan bahawa wakaf tunai telah dipraktikkan sejak awal abad kedua Hijriyah di mana Imam az-Zuhri (wafat 124H), iaitu salah seorang ulama terkemuka dan peletak dasar tadwin al-hadith, memfatwakan bahawa wakaf dinar dan dirham dibolehkan untuk pembangunan prasarana dakwah, sosial dan pendidikan umat Islam.

Menurut Dr. Cizakca lagi, mulai penghujung abad ke-15 hingga abad ke-18, wakaf tunai berkembang dengan pesat di Turki semasa zaman pemerintahan Uthmaniyyah di mana amalan wakaf tunai telah berjaya meringankan perbelanjaan kerajaan dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, perbandaran dan sebagainya kepada masyarakat. Penerimaan dan penglibatan masyarakat di dalam wakaf tunai membantu empayar Uthmaniyyah berkembang kerana dana wakaf tunai telah digunakan sebagai pelengkap (complimentary) kepada usaha-usaha pembangunan oleh kerajaan.

Hebatnya ibadah wakaf dalam membangunkan syiar Islam dari zaman Rasulullah sehingga detik ini telah mencerminkan manfaat amalan wakaf yang diperintahkan Allah kepada semua hamba-Nya. Sejajar dengan itu, kejayaan Universiti Al-Azhar yang dibangunkan melalui sumber wakaf perlu untuk terus dicontohi khususnya di Malaysia. Pembangunan dana wakaf di negara ini telah berjaya dipacu dengan pengwujudan pelbagai badan pengurusan wakaf yang berkaliber dan sistematik. Di negeri Selangor terutamanya telah diwujudkan Perbadanan Wakaf Selangor yang menunjangi pengurusan sumber wakaf demi kemaslahatan masyarakat Islam dan umum di negeri ini.

Sehubungan itu, bagi menyebarluaskan sistem wakaf, maka cawangan pengurusan wakaf telah dibentuk di pelbagai organisasi penting dan salah satunya di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Universiti Putra Malaysia misalnya menjadi pusat penting dalam membantu visi murni PWS menyuburkan amalan berwakaf. Oleh itu, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) telah dilantik sebagai pengerak kemajuan wakaf di IPT.

Sepanjang penubuhan pusat pengurusan wakaf di universiti ini telah banyak projek dan program yang dijana oleh dana wakaf dibangunkan. Kecintaan terhadap ibadah berwakaf dalam kalangan warga kampus dan masyarakat setempat terus digembleng dengan pelbagai strategi baik dan sistematik yang telah disusun rapi. Keistimewaan wakaf sememang tidak dapat dinafikan kerana amalan ini berbentuk penyerahan harta kekal dan hanya manfaat daripada harta wakaf yang digunakan dalam membangunkan ummah. Gerak kerja WAZAN dalam membangunkan wakaf telah dirangkumkan dengan pembentukan sebuah dana khas UPM yang dinamakan sebagai “Dana Wakaf Ilmu UPM”.

Dana Wakaf Ilmu

Usaha menyuburkan amalan berwakaf di kampus ini telah dipacu dengan pengwujudan dana wakaf ilmu UPM yang merupakan satu kemudahan untuk berbakti kepada universiti. Naib canselor sebagai al-mutawalli (Pentadbir Wakaf) mempengerusikan dana ini dalam menjaga kepentingan aktiviti keilmuan di UPM. Terdapat tiga objektif utama yang digariskan dalam dana wakaf ilmu antaranya menjadi penganjur utama kepada pengimarahan ilmu berpaksikan sumber dana wakaf dan infaq. Selain itu, menyuburkan peluang kepada semua masyarakat untuk melakukan kebajikan.

Seterusnya, sebagai pemudahcara untuk menguruskan amalan kebajikan dan dakwah. Oleh itu, demi memsatikan pengurusan dana wakaf ilmu dijayakan dengan sebaik mungkin, WAZAN telah membentuk empat skim wakaf yang penting. Sejajar dengan itu, menerusi dana wakaf ini, WAZAN berusaha mendidik warga kampus dan masyarakat setempat untuk terus berusaha menjadikan harta mereka sebagai asbab mendapatkan rahmat dan keberkatan Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“ Bandingan ( pahala ) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( KurniaNya ) lagi Maha Mengetahui”.

(Surah Al-Baqarah Ayat 261 )

 

Skim Wakaf Umum

Skim ini merupakan skim bersifat wakaf Am yang bertujuan untuk mewujudkan infrastruktur jangka panjang yang lestari. Manfaat wakaf ini di dalam bentuk aset kekal atau pulangan simpanan dan pelaburan sebagai sebahagian aktiviti penjanaan hasil.

Terdapat pelbagai manfaat yang telah dapat diberikan kepada pembangunan di Universiti Putra Malaysia khususnya meningkatkan kualiti pendidikan mahasiswa. Salah satu program di bawah dana wakaf ini ialah pembangunan pendidikan. Dermasiswa asasi dan dermasiswa penyelidikan merupakan projek berasaskan pendidikan yang bersumberkan skim dana wakaf umum.

Skim Wakaf Fasiliti

Manfaat skim ini dikhususkan kepada pembangunan fasiliti dan insfrastruktur di UPM. Skim ini membantu proses penyediaan kelengkapan untuk di tempatkan di mana-mana premis Universiti. Antara kejayaan terbesar skim wakaf fasiliti dapat dilihat dengan jelas menerusi pembangunan kelengkapan fasiliti Masjid UPM. Pemasangan sebanyak empat kipas gergasi dan pemasangan karpet baru masjid UPM telah selesai dipasang sempena bulan Ramadhan tahun ini. Oleh yang demikian, WAZAN amat beharap pelbagai projek wakaf yang seterusnya akan dapat direalisasikan. Sekali gus, skim wakaf fasiliti akan terus membantu aktiviti keilmuan, dakwah dan khidmat komuniti di kampus hijau ini.

Gambar 1: Karpet Baharu dan Kipas Gergasi di Masjid Universiti

Skim Wakaf Kenderaan Khas

Keperluan pengangkutan yang baik dan efisien telah memebrikan anjakan paradigma kepada WAZAN dalam usaha mewujudkan skim wakaf kenderaan khas di UPM. Skim wakaf ini berteraskan kepada penjanaan manfaat wakaf bagi memnuhi keperluan kenderaan bagi membantu universiti dan para pelajar. Oleh yang demikian, antara kejayaan yang telah dicapai ialah penyediaan van khas bagi pelajar kelainan upaya (OKU) yang membantu pelajar ini menjalankan aktiviti di dalam kampus seperti ke kelas dan pulang ke kolej kediaman. Selain itu, tahun 2019 menyaksikan WAZAN berjaya mengumpul manfaat dana wakaf sebanyak RM 250,000.00 untuk menyediakan sebuah kereta ambulans baharu untuk kegunaan Pusat Kesihatan Universiti (PKU). Di samping itu, van jenazah dan bas untuk keperluan dan kemudahan pelajar juga telah dapat direalisasikan.

Gambar 2: Penyerahan  Ambulans Baharu kepada Pusat Kesihatan Universiti (PKU)

Skim Wakaf Kitab

Aktiviti keilmuan terus disuburkan di Universiti Putra Malaysia melalui pengwujudan skim wakaf kitab. Wakaf ini berorientasikan kepada usaha memenuhi keperluan pembelian dan penerbitan pelbagai bahan ilmiah untuk diedarkan di masjid UPM, surau di Pusat Tangungjawab, Fakulti dan kolej kediaman. Penyediaan Al-Quran dan buku-buku agama bagi bacaan para pelajar dan warga kampus telah berjaya diedarkan. Antara contoh wakaf penerbitan yang telah dilaksanakan ialah wakaf buku Kenali Rasul Kita Muhammad S.A.W hasil huraian Ahmad Adnan Fadzil terbitan Telaga Biru sdn.bhd dan jualan serta wakaf buku Solat Waktu Kritikal hasil susunan Dr. Haji Ahmad Nasir bin Mohd Yusoff dari Fakulti Ekologi Manusia bersama Johan Ismail dari Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, UPM Kampus Bintulu.

 

Kesimpulan

Konklusinya, hikmah ibadah wakaf dalam Islam telah dapat memberikan pelbagai kebaikan dan faedah kepada pembangunan ummah secara holistik. Pengajaran penting yang dapat diperolehi oleh setiap pewakaf ialah wakaf sebagai langkah dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wakaf berperanan sebagai sedekah jariah yang amat digalakkan dalam Islam yang menjadi saham ganjaran pahala yang bertErusan di akhirat kelak. Maka, setiap usaha WAZAN dalam melestraikan ibadah berwakaf dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di kampus UPM akan mengukuhkan perpaduan dan ekonomi Ummah. Secara langsung, melalui wakaf sumber pembiayaan pembangunan umat Islam akan terus dipacu. Keistimewaan dana wakaf juga dimanfaatkan dalam membantu masyarakat bukan Islam agar kebaikan manfaat ini diberikan secara meyeluruh dan baik.

Disediakan Oleh:

Ibrahim bin Latola

Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM.

Tarikh Input: 31/05/2019 | Kemaskini: 31/05/2019 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXETNA5~