WAKAF MANQUL ATASI KEKANGAN PDPR KELUARGA MISKIN | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » WAKAF MANQUL ATASI KEKANGAN PDPR KELUARGA MISKIN

WAKAF MANQUL ATASI KEKANGAN PDPR KELUARGA MISKIN

WAKAF MANQUL ATASI KEKANGAN PDPR KELUARGA MISKIN

 

 

Masyarakat Malaysia boleh membantu keluarga berpendapatan rendah yang berdepan dengan masalah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan melakukan Wakaf Manqul (Wakaf Harta Alih).

 

Wakaf Manqul membabitkan harta yang boleh dipindah alih seperti al-Quran, wang, baju, kenderaan dan sebagainya, namun dalam tempoh pandemik COVID-19, aset seperti komputer riba, tablet atau telefon bimbit juga boleh diwakafkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf Malaysia, Prof Madya Dr Amir Shaharuddin, berkata Wakaf Manqul boleh dipraktikan oleh rakyat Malaysia untuk membantu ibu bapa serta pelajar yang berdepan kekangan dalam PdPR dalam tempoh pandemik COVID-19.

 

Katanya mereka yang mewakafkan aset sedemikian bukan sahaja meringankan urusan ramai malah akan mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah.

"Wakaf Manqul sudah diamalkan sejak sekian lama, sebagai contoh pada zaman Khalifah Uthmaniah lagi malah, ramai yang tidak tahu Universiti Al-Azhar ditubuhkan dengan sistem waqaf ini.

 

"Namun di Malaysia, pemahaman mengenai Wakaf Manqul tidak meluas kerana ramai yang beranggapan wakaf hanya pada masjid, tanah kubur dan al-Quran sahaja.

 

"Namun dalam situasi pandemik hari ini yang mana ramai saudara dan keluarga yang berdepan dengan masalah untuk menguruskan pembelajaran anak di rumah. Mereka tidak mampu untuk menyediakan komputer riba mahupun telefon bimbit untuk memudahkan pengajian, jadi salah satu cara yang boleh membantu adalah melalui Wakaf Manqul," katanya kepada BH, hari ini.

Dr Amir menjelaskan, konsep mewakafkan harta seperti komputer riba, tablet atau telefon bimbit tidak memberikan hak pemilikan kepada keluarga itu sebaliknya ia perlu dipulangkan selepas masalah itu dapat diatasi dan memberi peluang untuk pihak lain pula memanfaatkannya.

 

"Harta yang diwakafkan ini tidak menjadi milik orang yang menerima sebaliknya milik semua masyarakat yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

 

"Ia juga memberi peluang untuk orang yang mewakafkan harta itu untuk mendapatkan pahala secara berterusan selagi mana harta itu boleh digunakan," katanya.

 

Katanya, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak sekolah boleh dilantik sebagai pemegang amanah untuk menguruskan harta wakaf berkenaan.

 

Kata Dr Amir, Yayasan Waqaf juga sedang menggerakkan Wakaf Manqul dalam tempoh COVID-19 dan menyasarkan sebanyak 500 keluarga untuk dibantu dalam tempoh terdekat.

 

"Yayasan sebelum ini banyak mengadakan program Wakaf Manqul di hospital seperti pembelian alat-alat bantuan dan katil dan harapan kami program ini akan turut membantu keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai kekangan pembelajaran di rumah.

 

"Kami menyasarkan sekurang-kurangnya dana wakaf RM500,000 untuk membeli bantuan pembelajaran seperti tablet ini dan orang ramai boleh menyertai Wakaf Tunai Pendidikan di laman web Yayasan Waqaf Malaysia untuk menyumbang," katanya.

 

Sumber : Berita Harian (BH) Online - Januari 27, 2021 @ 4:38pm

Dunting oleh: Mohd Azrol Hafizi Azman

Tarikh Input: 29/01/2021 | Kemaskini: 29/01/2021 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEYLAZ~