UTAMA KEPERLUAN DIRI SEBELUM INFAK HARTA | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » UTAMA KEPERLUAN DIRI SEBELUM INFAK HARTA

UTAMA KEPERLUAN DIRI SEBELUM INFAK HARTA

UTAMA KEPERLUAN DIRI SEBELUM INFAK HARTA
 
Oleh: Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources
 
FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah?)
Katakanlah: Apa juga harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah) apa juga yang kamu buat daripada kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)." (Surah al-Baqarah, ayat 215)
 
Allah SWT memang mengetahui bahawa manusia amat menyayangi diri sendiri. Oleh itu, Allah SWT menyuruh supaya mereka memenuhi keperluan diri terlebih dahulu sebelum Allah SWT memerintah menginfakkan harta mereka untuk orang lain.
 
Di samping itu, Allah SWT menghalalkan kepada mereka segala rezeki yang baik dan menggalakkan mereka menikmatinya tanpa mewah, melampau dan rasa angkuh.
 
Imam Al-Alusi berkata, daripada Ibnu Juraij katanya, orang Mukmin bertanya Rasulullah SAW di mana mereka perlu sumbangkan harta maka turunlah firman Allah SWT itu.
 
Ibnu Abbas meriwayatkan sebab turunnya ayat berkenaan apabila seorang sahabat bernama Amru Ibn Al-Jumuh, seorang lelaki tua mempunyai kekayaan yang banyak telah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah! Dengan apakah kami menderma dan kepada siapa?" Kemudian turunlah ayat itu.
 
 
Belanja harta dengan rela
 
Allah SWT mengetahui manusia amat mencintai ahli keluarganya yang dekat iaitu anak, isteri dan kedua-dua ibu bapa. Oleh sebab itulah Allah SWT membawa mereka melangkah setapak lagi supaya membelanjakan harta dengan penuh rela kepada keluarga dekat yang dikasihi selepas membelanjakannya kepada diri sendiri.
 
As-Syahid Sayyib Qutb menyatakan, ayat ini membawa dua saranan iaitu harta benda yang dibelanjakan adalah sesuatu yang baik kepada pemberi dan penerima, baik kepada masyarakat dan harta itu sendiri adalah satu kebaikan.
 
Pihak yang memberi infak hendaklah memilih yang terbaik untuk diinfaqkan supaya orang lain dapat berkongsi nikmatnya. Kesanggupan memilih harta yang baik dan melepaskannya kepada orang lain, itulah pemberian infak yang hendaklah dilakukan mengikut tertib.
 
Ibu bapa didahulukan daripada yang lain kerana kedudukannya paling hampir dengan seseorang dan orang paling utama untuk menerima sesuatu daripadanya, diikuti dengan asbah seperti anak serta kaum kerabat terdekat seperti adik perempuan, lelaki, kemudian anak yatim, fakir miskin dan orang miskin yang terlantar.
 
Tertib ini memperlihatkan betapa bijaksana dan mudahnya cara Islam mendidik serta membimbing jiwa manusia. Ia melayani manusia mengikut fitrah dan kecenderungan semula jadinya.
 
Menafkahkan harta ke jalan Allah SWT dapat membersihkan hati dan menyucikan jiwa, di samping memberi faedah serta pertolongan kepada orang lain. Kesanggupan memilih harta milik yang baik dan melepaskan kepada orang lain dapat mewujudkan kebersihan kepada hati dan jiwa.
 
 
Anak wajib sara ibu bapa
 
Anak diwajibkan menyara hidup ibu bapa mereka yang susah atas nama kewajipan anak terhadap ibu bapa. Anak juga digalakkan sentiasa menghulurkan bantuan kewangan untuk menambahkan keselesaan hidup mereka sekalipun mereka tidak begitu susah.
 
Kaum kerabat yang senang diwajibkan membantu kerabat yang tidak berada, di samping itu mereka juga digalakkan membantu golongan memerlukan. Inilah cara Islam mengikat hubungan antara golongan yang berada dengan golongan kurang berada atas nama persaudaraan Islam.
 
Rasulullah SAW bersabda: "Bersedekah kamu semua. Lalu seorang lelaki berkata: Aku mempunyai satu dinar. Jawab baginda: Belanjakanlah ia untuk dirimu. Orang itu berkata lagi: Aku mempunyai satu dinar lagi.
 
Baginda bersabda: Belanjakan untuk isterimu. Orang itu terus berkata: Aku mempunyai satu dinar lagi. Nabi menjawab: Belanjakanlah untuk anakmu. Orang itu kemudiannya berkata lagi: Aku mempunyai satu dinar lagi. Nabi pun membalas: Kamu lebih mengetahui siapa yang patut akan kamu berikan." (Riwayat Imam Ahmad)
 
Artikel disunting dan dipaparkan oleh:-
Seksyen Dakwah dan Pemasaran
Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 25/02/2021 | Kemaskini: 26/02/2021 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEZGAd~