SEKTOR IJTIMAI : KONSEP DAN TAKRIFAN | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » SEKTOR IJTIMAI : KONSEP DAN TAKRIFAN

SEKTOR IJTIMAI : KONSEP DAN TAKRIFAN

Sektor Ijtimai:Konsep dan Takrifan

PENDAHULUAN

Keupayaan paling asas untuk pembangunan manusia ialah mendapat hidup yang sihat, pendidikan yang sempurna dan berupaya menyertai kehidupan yang baik dalam masyarakat. Kegagalan memperolehi keupayaan asas ini akan menjerumuskan seseorang itu dalam pelbagai masalah sosial. Masalah sosial termasuk kemiskinan dan kemalaratan hidup  juga banyak dicetuskan oleh ketidakupayaan seseorang itu untuk mendapatkan tiga kompenan asas iaitu kemudahan asas, pendidikan dan penjagaan kesihatan. Malah, ketidakupayaan memenuhi ketiga-tiga kompenan di atas akan menyebabkan seseorang itu dinafikan haknya bagi mencapai tahap hidup yang minima. Fakta-fakta di bawah menunjukkan betapa seriusnya fenomena ini. Ia akan terus menjadi cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh masyarakat hari ini;

 

  • Hampir satu pertiga daripada penduduk dunia di Negara Sedang Membangun hidup di bawah garis pendapatan USD1 sehari dan 3 bilion berpendapatan kurang daripada USD2 sehari. Angka ini terus meningkat kepada 100 juta orang sejak tahun 1987;
  • Sejumlah satu billion penduduk dunia yang memasuki abad ke-21 hidup tanpa mempunyai kemampuan untuk membaca buku dan menulis nama mereka sendiri;
  • 840 juta orang pula tidak mendapat makanan yang secukupnya;
  • Satu billion penduduk dunia lagi tidak mendapat kemudahan air bersih;
  • 50 juta penduduk kaya di Eropah dan Amerika Utara mempunyai pendapatan yang sama dengan 2.7 bilion penduduk miskin (Poverty Facts and Stats, 2013).

 

 

Gambar 1: Kemiskinan dan kemelaratan hidup yang

           dihadapi oleh masyarakat hari ini

 

Sementara itu, jurang pendapatan di antara penduduk miskin dan kaya terus menunjukkan peningkatan yang ketara. Contohnya, 85% daripada jumlah pendapatan dunia dimonopoli oleh 5% penduduk kaya dan hanya 1.4% sahaja dimiliki oleh penduduk miskin. Lapoaran yang dikeluarkan The State of The World’d Children pula menunujukkan bahawa wanita dan kanak-kanak adalah golongan yang paling ramai menerima impak daripada masalah di atas. Lebih menyedihkan lagi, 53% negara yang paling mundur, dan 46% negara paling kurang membangun adalah terdiri daripada negara-negara Islam.

Ironinya, Islam sendiri telah menyediakan rangka kerja yang baik dan komprehensif dalam menagani masalah pembangunan insan, sekali gus membasmi masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat. Sebagai contoh, sepanjang 1400 tahun, sektor ijtimai khususnya wakaf, zakat dan sedekah telah berperanan sebagai Institusi Jaminan Sosial. Sektor ini telah meminkan peranan dan memberi sumbangan yang cukup besar dalam menyediakan serta memberi peluang kepada seseorang untuk mendapatkan kemudahan asas seperti tempat tinggal, makanan, minuman, modal, pendidikan rawatan kesihatan tanpa dikenakan sebarang bayaran. Sektor ijtimai berperanan sebagai sumber pembiayaana dalam manangani masalah sosial selaras dengan anjuran al-Quran yang meletakkan prinsip al’adl wal ihsan (keadilan dan muafakat). Prinsip yang berteraskan pembangunan dan penyusunan masyarakat ini dijelaskan seperti firman Allah SWT  yang bermaksud;

 

sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah SWT melarang dari perbuatan keji dan mungkar dan permusuhan. Dia memberi pengajaran agar kamu dapat mengambil pelajaran” (Surah an-Nahl, 16:90).

 

SEKTOR IJTIMAI: KONSEP DAN TAKRIFAN

Apakah yang dimaksudkan dengan sektor ijtimai? Di mana letakknya sektor ijtimai ini dalam kerangka pandangan Islam? Sejauh mana pula sektor ini mampu berperanan sebagai sumber pembiayaan pembangunan sosioekonomi masyarakat?

Secara umumnya, sektor ijtimai atau sektor kebajikan ini ialah salah satu daripada tiga sektor dalam sistem ekonomi Islam, iaitu sektor siyasi (kerajaan) dan sektor tijari (swasta) yang saling berkait rapat antara satu sama lain. Malah, sektor ijtimai ini menjadi pelengkap kepada dua sektor di atas berlandaskan kepada prinsip sukarela. Sektor ini juga berfungsi sebagai Institusi Jaminan Sosial dalam membantu masyarakat yang memerlukan bantuan, menyediakan skim kesejahteraan sosial dan menyediakan infrastruktur asas seperti tempat tinggal, pinjaman modal, kebajikan dan sebagainya tanpa mengira bangsa, kaum serta keturunan. Kedudukan sektor ini dijelaskan dalam Rajah 1.0 di bawah.

 

Rajah 1.0: Kedudukan Institusi Ijtimaie Berdasarkan Prinsip Tauhid,

Syariah dan Akhlak

 

Jika dilihat dalam Rajah 1.0 di atas, jelas bahawa Islam adalah agama yang lengkap berintikan iman dan amal bersumberkan aqidah, syariah dan akhlak. Dengan kata lain, setiap umat manusia percaya hanya Allah SWT sahaja sebagai pencipta alam. Manusia pula merupakan hamba atau khalifah yang diberikan tanggungjawab oleh Allah SWT untuk menguruskan sumber-sumber yang ada di alam ini. Aqidah merupakan landasan keimanan seseorang muslim (tauhid) yang menjiwai syariah (hukum-hukum Islam). Syariah pula terdiri daripada Muamalat dan Ibadat yang meliputi cara-cara beribadat, asas-asas kehidupan bermasyarakat, undang-undang yang mengatur perhubungan di antara manusia dengan manusia, manusia dengan binatang, tumbuh-tumbuhan, bumi, udara dan makhluk Allah SWT yang lainnya. Sementara, akhlak pula menekankan tentang sikap, tingkahlaku dan etika kerja seseorang muslim. Prinsip syariah dan akhlak pula bertindak sebagai garis panduan dalam memastikan keseluruhan amalan dan pelaksanaannya adalah mengikut syariat yang ditetapkan oleh Islam. Dilihat daripada kedudukannya pula, sektor ijtimai  ini jelas berada di antara sektor kerajaan dan sektor swasta dengan matlamat sebagai pelengkap kepada sistem ekonomi yang sedia ada seperti yang dijelaskan sebelum ini.

 

SEKTOR IJTIMAI: SUMBANGAN SECARA SUKARELA

Terdapat paling tidak ada tiga komponan yang membentuk sektor ijtimai seperti yang dapat dilihat dalam Rajah 1.0 di atas. Pertama, sedekah umum. Kedua, sedekah wajib. Ketiga, sedekah berkekalan. Ketiga-tiga sedekah tersebut merupakan sumbangan atau pemberian yang dilakukan secara sukarela. Sumbangan yang dibuat tanpa paksaan dengan niat membantu orang lain tanpa mengharapkan ganjaran.

 

Sedekah Umum

Sedekah umum merupakan kaedah pemberian daripada seseorang atau sekumpulan individu secara sukarela bagi tujuan-tujuan yang ditentukan. Antaranya termasuklah pemberian sukarela untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan seperti anak-anak yatim, ibu tunggal, pembinaan sekolah, pemberian biasiswa, masjid dan sebagainya. Islam sangat menggalakkan umatnya bersedekah di mana al-Quran sendiri telah menyebut tidak kurang daripada 37 ayat yang mengalakkan umat Islam bersedekah. Dalam Surah An-Nurr, 24:33 umpamanya, Allah SWT telah menyarankan umat Islam untuk bersedekah dengan firmanNya yang bermaksud,

 

dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada harta Allah SWT yang dikurniakan kepada kamu”.

 

Ayat dalam surah An-Nurr di atas jelas menunjukkan bahawa harta yang dikurniakan Allah SWT kepada umat manusia sesungguhnya merupakan pemberian Allah SWT. Perkara yang sama juga dapat dilihat dengan jelas dalam dalam Surah Al-Hadiid, 57: 7 yang bermaksud,

 

 “Dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang Allah SWT telah kurniakan kepada kamu”. 

 

 

Dalam surah-surah yang lain, Allah SWT turut menekankan betapa baiknya bagi orang yang suka bersedekah.

 

“sekiranya kamu memperlihatkan sedekahmu, perkara itu adalah baik. Sekirannya kamu berdekah kepada orang fakir dan kamu menyembunyikannya, itulah yang lebih baik bagi kamu. Allah menghapuskan sebahagian kesalahan-kesalahanmu ” (Surah al-Baqarah, 2: 271)

 

 

“orang yang memberikan apa yang mereka berikan dengan hati yang takut, sesungguhnya mereka kembali kepada Tuhan mereka ” (Surah al-Mukminin, 23:60)

 

 

“Tidak ada kebaikan  pada kebanyakan bisikan mereka kecuali bisikan daripada orang yang menyuruh menusia member sedekah, berbuat baik ataupun mendamaikan sesame manusia. Sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah SWT, kelak Allah SWT member pahala yang besar kepadanya.” (Surah an-Nisa, 4:114).

 Sementara itu, dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Anas bin Malik, Nabi Muhammad SAW berkata,

“Allah SWT telah menciptakan bumi, maka bumipun bergetar. Lalu Allah SWT menciptakan gunung dengan kekuatan yang diberikan kepadanya, ternyata bumi terdiam. Para Malaikat kehairanan dengan penciptaan gunung tersebut. Mereka bertanya kepada Allah SWT, wahai Allah, adakah sesuatu yang kamu cipta lebih kuat daripada gunung?. Allah SWT menjawab, Ada, iaitu Besi. Para Malaikat bertanya lagi, wahai Allah adakah sesuatu yang kamu cipta lebih kuat daripada besi?. Allah menjawab, Ada, iaitu Air. Para Malaikat terus bertanya lagi, wahai Allah adakah sesuatu yang kamu cipta lebih kuat daripada air?. Allah menjawab, Ada, iaitu Angin. Akhirnya para Malaikat bertanya, wahai Allah adakah sesuatu yang kamu cipta lebih kuat dari semuanya itu?. Allah SWT menjawab, Ada, iaitu amalan anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya, sementara tangan kirinya tidak mengetahui”.

 Inilah antara kehebatan sedekah sehingga umat Islam berlumba-lumba untuk bersedekah bagi mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT. Amalan bersedekah ini juga telah menjadi suatu tradisi bagi masyarakat di negara-negara maju sebagai sumber pembiayaan bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan. Sedekah atau lebih dikenali dengan nama charity, donation atau giving telah turut dijadikan amalan dalam masyarakat mereka sebagai sabahagian daripada kaedah bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan. Sumbangan-sumbangan ini diurus dengan cara yang teratur dan sistematik sama ada secara individu atau badan-badan yang dikenali dengan yayasan atau foundation. America’s Top Charities 2018 melaporkan bahawa sejumlah RM128.96 bilion dan RM40.9 bilion sumbangan sukarela telah dikutip oleh sepuluh buah badan sukarela terbesar di Amerika Syarikat dan Britain.

Tegasnya, sedekah umum ini  seperti mana yang dituntut dan digalakkan oleh Islam telah dapat digunakan sebagai asas pembiayaan untuk merancang, membantu dan mengurus golongan masyarakat yang memerlukannya.

 

SEDEKAH WAJIB (ZAKAT)

Sedekah Wajib atau Zakat ialah sumbangan atau pemberian yang wajib diberikan oleh orang Islam yang mampu dan cukup syarat-syaratnya kepada lapan golongan atau asnaf yang berhak menerimanya. Antara lain, tujuan zakat ialah untuk membersihkan dosa dan mensucikan akhlak mereka seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud;

 “Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlaq yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu (Muhammad SAW) itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan ingatlah Allah SWT Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”(Surah at-Taubah, 9:103).

Terdapat dua jenis zakat iaitu zakat fitrah dan zakat harta yang berfungsi sebagai Tabung Insuran Sosial kepada kerajaan untuk dimanfaatkan kepada lapan golongan penerima, iaitu golongan fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, al-gharimin, fisabilillah dan ibnus sabil. Allah SWT juga telah mengingatkan umat Islam yang enggan membayar zakat dengan hukuman yang keras dan pedih seperti firmanNyadi bawah.

   “ Dan orang-orang yang menimbun emas dan perak dan tidak mengifakkannya ke jalan Allah SWT, maka berikan khabar  gembira dengan siksaan yang pedih” (Surah At-Taubah, 9:34).

“ pada hari dipanaskan emas dan perak itu dalam neraka jahanam, lalu dibakar dahi mereka, dan punggung mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: Inilah harte bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang akibat dari apa yang kamu simpan itu”(Surah At-Taubah, 9:35).

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) melaporkan sepanjang tahun 2016 sahaja sejumlah RM1.827.33 bilion dana zakat telah dikutip di lima buah negeri di Malaysia. Negeri-negeri tersebut ialah Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Kelantan dan Johor. Di negeri Selangor kutipan zakat telah melonjak daripada RM15,895,317.80 (1995) kepada 673,736,282.00 (2016). Kajian yang dibuat juga menunjukkan angka kutipan di atas dibuat oleh 15% - 20% sahaja pembayar zakat daripada keseluruhan yang wajib membayar zakat. Bagi kutipan zakat di tiga institusi perniagaan iaitu Bank Islam, Tabung Haji dan Maybank Finance pula menyumbang sebanyak RM49.49 juta pada tahun 2009. Kutipan ini akan terus meningkat dengan menakjubkan sekiranya individu dan institusi-institusi perniagaan yang berteraskan Islam dapat ditingkatkan dan terus membayar zakat seperti mana digariskan oleh syarak.

Dana zakat berperanan sebagai Institusi Jaminan Sosial memberikan sumbangan yang sangat besar kepada pembangunan sosioekonomi ummah dalam pelbagai aspek kehidupan. Di negeri Selangor misalnya, pelbagai program pembangunan disediakan termasuk program pembangunan sosial, program pembangunan ekonomi, program pembangunan pendidikan dan program pembangunan institusi agama. Program pembangunan sosial menumpukan empat aktiviti utama iaitu  perlindungan (bantuan bina/baikpulih/sewa rumah), bantuan penempatan dan pembangunan desa bersepadu, dan skim perlindungan takaful), keperluan hidup (bantuan makanan, kewangan bulanan, bantuan ramadzan dan hari raya, bantuan kecemasan, bantuan pakaian, bantuan perubatan, bantuan pengangkutan dan bantuan berkhatan serta berkhawin), kebajikan ummah (bantuan rawatan dan mesin hemodialisis, bantuan sakit kekal, bantuan pengurusan jenazah tanpa waris, bantuan kecemasan, banuan musafir, bantuan pemurniaan akidah, bantuan pemulihan akhlak, bantuan hutang kerana keperluan hidup, bantuan hutan badan/persatuan untuk maslahah ummah dan bantuan hutang perubatan) dan aktiviti kemasyarakatan termasuk program sempena hari kebesaran, program hari keluarga, program gotong royong dan program ziarah.

 

Gambar 2: Pusat Latihan Asnaf (PLAS) dibina oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menyediakan asas latihan kepada anak-anak asnaf di negeri Selangor

 

 Sementara, program pendidikan memberikan tumpuan kepada penyediaan dan peningkatan ilmu pengetahuan kepada masyarakat seperti pembayaran yuran persekolahan, program kecemerlangan, kelas tambahan, kelas komputer, lawatan sambil belajar, peralatan dan kemudahan sekolah, saguhati kepada guru agama, pegawai/AJK masjid dan kaunselor dan juga menyediakan biasiswa/dermasiswa kepada pelajar yang berkelayakan melanjutkan pengajian dalam dan di luar negara.

Tegasnya, zakat atau sedekah wajib seperti mana yang dituntut oleh Islam telah dapat digunakan sebagai asas untuk merancang, membantu dan mengurus golongan masyarakat yang memerlukannya.

 

SEDEKAH BERKEKALAN (WAKAF)

Sedekah berkekalan atau wakaf merupakan suatu kaedah penyerahan harta secara sukarela oleh pemilik dan manfaatnya digunakan bagi tujuan kebajikan seperti membantu golongan yang memerlukan bantuan termasuk golongan miskin, anak yatim, pembinaan fasarana asas seperti sekolah, jambatan, jalan, tempat tinggal dan sebagainya. Wakaf telah menjadi asas kepada pembinaan tamadun masyarakat Islam khususnya di Timur Tengah dan Turki.  Universiri Al-Azhar, di Mesir yang dibina pada tahun 974 M misalnya, diurus dan dibiayai sepenuhnya melalui dana wakaf. Pada tahun 1986, sejumlah £147,324,300 telah diperuntukkan oleh Universiti Al-Azhar untuk membiayai aktiviti-aktiviti pembangunan dan pendidikan termasuk perbelanjaan mengurus 55 buah fakulti yang sedia ada dengan 6,154 orang kakitangan tenaga pengajar (849 profesor, 819 profesor madya, 1,517 pensyarah, 1456 pembantu pensyarah dan 1,510 orang “readers”). Sementara, tiga perempat pendapatan kerajaan Turki disumbangkan melalui dana wakaf. Dalam waktu yang sama, pendapatan wakaf telah digunakan untuk membangunkan negaranya termasuk pembinaan sekolah, kolej perubatan, universiti, hospital, jalan raya dan juga menyediakan makanan percuma setiap hari kepada fakir miskin melalui pendekatan imaret.

Gambar 3: Grand Bazaar yang dibina pada tahun 1460 terdiri dari daripada 4,400 buah kedai bertutup, 17 hotel, 22 pintu, 3000 firma dan 25,000 orang pekerja yang semuanya dibiayai menerusi dana wakaf.

Di negara maju khususnya di Amerika Syarikat, Britain dan negara-negara Eropah lainya juga telah menggunakan pendekatan wakaf atau endowmen untuk meningkat sosioekonomi masyarakat mereka. Universiti Harvard telah mengumpul sejumlah RM68 bilion dalam bentuk endowment yang digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti pendidikan dan penyelidikan, penyelenggaraan perpustakaan dan pengendalian tabung biasiswa. 100 universiti terbaik di Amerika Syarikat mempunyai endowment terkumpul mencapai RM1 trilion. Sementara, Universiti Oxford dan Cambridge masing-masing mengumpul sebanyak RM 5 bilion. Yayasan-yayasan atau pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan telah muncul dengan pelbagai aktiviti untuk membantu masyarakat di Negara Barat seperti Yayasan Rockerfiller, Ford, Aids dan sebagainya yang diuruskan dengan mengunakan pendekatan wakaf/endowment. Lebih 100 yayasan di Amerika Syarikat mempunyai dana terkumpul melebihi RM1 bilion.

 

KESIMPULAN

            Perbincangan di atas jelas membuktikan bahawa sektor ijtimai yang terdiri daripada sedekah umum, sedekah wajib dan sedekah berkekalan berperanan sebagai Institusi Jaminan Sosial. Mereka yang mempunyai keupayaan membantu gembira kerana dapat membantu mereka yang memerlukan bantuan. Sementara penerima bantuan pula, bersyukur kerana keperluan asasnya dapat dipenuhi. Akhirnya, kegembiraan, kebahagian dan kesyukuran dipenuhi secara kolektif dalam kehidupan masyarakat tanpa menimbulkan sebarang konflik antara satu sama lain. Dalam konteks ini, adalah disarankan agar pemerintah memberi perhatian, dan seterusnya memperkasakan sektor ijtimai bagi memastikan keharmonian kehidupan masyarakat dapat terus terpelihara.

 

 

 

 

 

 

 

Disediakan oleh:

Dr. Haji Razali bin Othman

Pengarah

Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN)

Tarikh Input: 01/02/2019 | Kemaskini: 26/02/2019 | nuruliman

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdJAo~