RENCANA – ADA BEZAKAH WAKAF DAN SEDEKAH? | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » RENCANA – ADA BEZAKAH WAKAF DAN SEDEKAH?

RENCANA – ADA BEZAKAH WAKAF DAN SEDEKAH?

Oleh: Cik Nur Iqra Ahmad Basri | nuriqra@upm.edu.my 
Disunting oleh : En. Mohd Rizal Helmi A Razak | rizal_helmi@upm.edu.my
 
 
 
Tentunya ramai yang kurang jelas mengenai Wakaf dan Sedekah. Apakah maksud sebenar di sebalik wakaf dan sedekah ini? Secara amnya, kedua-dua memberi maksud yang berbeza namun tindakannya adalah sama yakni menyerahkan atau memberi barang persendirian kepada masyarakat atau golongan yang memerlukan. Mari kita olah maksud mereka dengan lebih terperinci.
 
Istilah wakaf dalam bahasa Arab adalah merujuk kepada suatu bentuk amanah atau sumbangan yang diberikan untuk tujuan amal ataupun kebaikan umum, terutama sekali dalam konteks keagamaan. Selain bertujuan untuk mendekatkan diri dengan Allah S.W.T., ia juga merupakan satu amalan dimana memberi atau menyerahkan harta yang boleh dinikmati manfaat atau kebaikan bagi kegunaan umum masyarakat secara berterusan.
 
Manakala istilah sedekah pula adalah pemberian yang padanya dicari pahala dari Allah Taala. Ia juga merupakan satu amalan atau tindakan dalam memberikan sebahagian dari harta atau harta yang dimiliki kepada orang memerlukan seperti golongan fakir, miskin ataupun anak yatim.
 
Syarat, ciri-ciri atau kriteria untuk kedua amalan ini juga sedikit berbeza. Pertama, harta yang diwakafkan oleh pewakaf tersebut hendaklah berbentuk kekal sifatnya. Seterusnya, pewakaf tidak lagi memiliki hak atau penguasaan ke atas harta yang diwakafkan. Justeru, ganjaran pahala orang berwakaf ini akan berkekalan selagi harta yang diwakaf boleh diambil manfaatnya. Wakaf juga diklasifikasikan sebagai sedekah yang berbentuk jariyah yang mana ganjaran pahalanya berkekalan. Sepertimana jika seseorang berwakaf untuk pembinaan masjid, dan selagi mana masjid tersebut digunapakai selagi itulah pahala mengalir kepada pewakaf seperti hadis sahih dari Hadis Riwayat Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
 
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏
 
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya."
 
Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)
 
Manakala bersedekah pula, amalan dimana orang yang berniat ikhlas untuk mencari pahala Allah S.W.T dengan memberikan apa-apa sahaja bentuk harta benda kepada golongan yang memerlukan seperti fakir, miskin, anak yatim. Pemberian sedekah juga adalah dengan rela hati dan hak barangan tersebut tidak dipindah milik seperti Wakaf. Bersedekah juga boleh dilakukan dalam apa jua bentuk seperti makanan, pakaian, barangan, wang dan harta yang kekal.
 
Dalil Al-quran dari Surah Al-Baqarah (2) : 177 di mana “Dan yang dikatakan berbuat baik ialah orang yang memberikan harta yang dicintai kepada saudaranya yang miskin, anak-anak yatim, orang miskin, ibnu sabil dan orang yang berhajat”.
 
Kesimpulannya, sudah semestinya kedua-duanya amalan ini penting dan memberi manfaat yang besar kepada si pemberi apatah lagi si penerima. Hadis-hadis serta dalil sahih juga banyak menerangkan kepentingan untuk berwakaf dan bersedekah. Carilah peluang menggapai ke-Redhaan serta Kerahmatan dari Allah melalui amalan ini.

Tarikh Input: 11/01/2024 | Kemaskini: 11/01/2024 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
WXFbLAS~