REBUTLAH PAHALA DI AKHIR RAMADHAN | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » REBUTLAH PAHALA DI AKHIR RAMADHAN

REBUTLAH PAHALA DI AKHIR RAMADHAN

REBUTLAH PAHALA DI AKHIR RAMADHAN
 
Oleh:
Haris bin Dahlan
Ketua Seksyen Pengurusan Dana Wakaf Ilmu
 
Bulan Ramadhan Al-Mubarak akan meninggalkan kita. Hampir sebulan kita berada di Madrasah Ramadhan bagi membentuk diri menjadi Khairul Ummah iaitu umat yang terbaik dan berjaya. Objektif kedatangan bulan ramadhan adalah untuk mengajar umat Islam supaya lebih tekun melaksanakan ibadah kepada Allah. Dalam Bulan Ramadhan yang disediakan pelbagai ibadah dan ganjaran pahala yang sangat istimewa kepada mereka yang berjaya mengamalkannya. Di antara ibadah yang disediakan ialah berpuasa selama sebulan, solat sunat tarawih, qiyamullail, Malam Lailatul Qadar, sedekah dan sebagainya dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, dengan kita memperbetulkan niat kerana Allah SWT.
 
Kita perlu merebut ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita dengan melaksanakan segala apa yang disediakan dalam Bulan Ramadhan ini. Jangan lepaskan peluang ini, kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita dapat bersama pada Ramadhan akan datang.
 
Pada masa zaman Rasulullah dan para sahabat mereka sangat menanti dan merindui kedatangan Ramadhan. Rasulullah menyambut Bulan Ramadhan dengan mendoakan “Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. Apabila tiba sahaja Ramadhan mereka tidak melepaskan peluang ini. Mereka lakukan segala ibadah dengan penuh kegembiraan dan keseronokkan. Apabila akhir Ramadhan mereka menangis kerana mereka takut mereka tidak dapat menyambut Ramadhan pada tahun hadapan.
 
Keutamaan-keutamaan bulan ini, bukan sahaja ibadah puasa, perhatian kita memfokus juga kepada beberapa perkara yang penting seperti solat tarawih serta Malam Lailatul Qadar iaitu satu malam yang sangat berharga dengan ganjarannya menyamai beribadah selama Seribu Bulan; tetapi kita tidak seharusnya melupai ibadah-ibadah lain yang kelebihan pahalanya digandakan oleh Allah pada bulan ini seperti memberi makan orang berbuka puasa, pahalanya amat besar iaitu menyamai pahala orang diberi makan tersebut walaupun hanya dengan sebiji kurma sahaja.
 
Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya:
 
"Siapa yang memberi makan (saat berbuka) untuk orang yang puasa, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang diberi makannya itu tanpa dikurangi sedikitpun dari pahalanya."
(Hadis Riwayat At-Tirmizy, An-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaemah)
 
Orang zaman moden ini selalu memikirkan kerja yang dilakukan disandarkan kepada keuntungan (benefit) yang akan diperolehi. Mereka memilih kerja di syarikat swasta kerana gaji bulanan dan bonus tahunannya lebih menarik manakala mereka yang memilih kerja di sektor awam dan memilih skim pencen kerana mereka hendakkan jaminan hidup di hari tua nanti. Begitu keadaannya, apabila orang Islam menyediakan bekalan di hari kematian nanti mereka juga ingin memiliki keuntungan dan pahala yang banyak serta berlipat kali ganda kerana kehidupan di Alam Barzah itu lebih panjang dan bekalannya hanya diperlu disediakan di dunia sahaja. Oleh itu, umat Islam disamping mereka perlu bersedia dan kuat dari segi Rohani dan Jasmani, mereka juga perlu bersedia dan kuat dari segi ekonomi mereka bagi melaksanakan amalan yang melibatkan kewangan dan harta benda seperti zakat, sedekah dan wakaf kerana ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah sangat besar. 
 
Di antara amalan yang boleh mendatangkan manfaat dan pahala yang berganda apabila dikerjakan adalah seperti membaca al-Quran, zikrullah dan bersedekah sebagaimana Firman Allah dalam surah Faatir ayat 29:
 
 
 “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;”
 
Juga FirmanNya dalam surah al-Ahzab, ayat 35:
 
 
“ dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”
 
Kelebihan membaca al-Quran ini termasuk dalam amalan yang diberi pahala yang berganda. Pahala membaca al-Quran pula dikira dari setiap huruf yang dibaca, sebagaimana sabda Nabi SAW.:
 
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi (2835)]
 
Berdasarkan hadis ini jika kita kira pahalanya setiap muka surat al-Quran itu mengandungi hampir 500 huruf dan akan diberi 500 kebaikan yang digandakan kepada 5,000 pahala, ini bermakna setiap muslim yang berjaya membaca satu Juzuk al-Quran gandaan pahalanya adalah sehingga 100,000 pahala. Peluang bertadarus di bulan Ramadhan ini jangan dilepaskan kerana mereka yang bertadarus memperolehi pahala dari yang dibaca dan mendengar bacaan orang lain tanpa dikurangkan pahalanya sedikit pun.
 
Dalam hadis yang lain pula Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya:
 
“Sesiapa yang melakukan amalan sunat daripada perkara kebaikan di dalamnya (bulan Ramadhan), sama seperti pahalanya melakukan amalan fardhu di bulan-bulan lain. Sesiapa yang melakukan amalan fardhu (di bulan Ramadhan), sama seperti pahalanya menunaikan 70 amalan fardhu di bulan-bulan yang lain”. [Sahih Ibn Khuzaimah (1887)]
 
Ibadah bersedekah juga termasuk dalam amalan yang Allah SWT gandakan pahalanya dengan berlipat kali ganda sehingga 700 kali ganda. Sebagaimana Firman Allah SWT. dalam ayat 261, surat al-Baqarah:
 
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya”
 
 
Sedekah harta dibahagikan kepada tiga:
 
  1. Zakat
  2. Sedekah/ Infaq
  3. Wakaf
 
Zakat merupakan kata terbitan dari kalimah ( زَكَى ) bermaksud suci dan subur, termasuklah bersih, berkat, berkembang, dan baik kepada harta zakat, pembayar zakat, dan penerima zakat. Dari segi Syarak zakat adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu. Zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima. Hukum mengeluarkan zakat adalah Fardhu Ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib. Kerap kali (27 kali) Allah menyebut kewajiban zakat ini bersama kewajiban solat di dalam al-Quran, sebagaimana firmannya:
 
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
Sedekah/ infaq bererti pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah Taala. Rujuk al-Ta`rifat (1/132). Manakala Ibn Manzur memberikan definisi sedekah sebagai apa yang apa yang engkau berikan kerana Allah kepada golongan fakir, yakni yang memerlukan. Rujuk Lisan al-Arab (10/196). Sedekah merangkumi maksud zakat wajib (zakat harta dan zakat Fitrah), Infaq (nafkah kepada keluarga) dan sedekah sunat, seperti yang dimaksudkan dalam al-Quran:
 
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
 
Begitu juga keterangan hadis dalam surat yang ditulis oleh Sayyidina Abu Bakar RA:
 
Maksudnya: Kefarduan sedekah (yakni zakat) ini ialah seperti mana yang difardukan oleh Rasulullah SAW ke atas kaum Muslimin. Hadis riwayat Imam Bukhari (1454)
 
Manakala, Infaq menurut al-Jurjani bererti membelanjakan harta kepada yang berhajat. Rujuk al-Ta`rifat (1/39). Dalam Surah al-Baqarah (2:3), Allah SWT berfirman:
 
Maksudnya: (Orang yang beriman itu adalah) orang-orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, menunaikan solat dan mereka memberi infaq apa yang kami rezekikan kepada mereka.
 
Perkataan ‘ينفقون’ dalam ayat ini, menurut pilihan Imam al-Tabari, merujuk kepada pensyariatan zakat dan pemberian nafkah kepada ahli keluarga yang ditanggung. Rujuk Jami’ al-Bayan (1/244). Justeru, sedeqah dan infaq itu ialah sinonim.
 
Manakala waqaf dari sudut bahasa membawa maksud menahan sesuatu. Dari sudut istilah, ianya membawa maksud menahan harta (dari urusan jual beli, pewarisan, hibah, dan wasiat) yang boleh diambil darinya manfaat beserta mengekalkan ‘ain harta (nilai prinsipal harta) tersebut. Ianya menghilangkan pemilikan dan pengurusan harta tersebut dari pewakaf dan harta tersebut akan digunakan pada jalan yang dibenarkan ataupun keuntungan darinya (harta wakaf tersebut) digunakan untuk jalan kebaikan. Lihat Mughni al-Muhtaj, (2/376).
 
Pahala orang yang berwakaf ini akan berkekalan (berterusan) selagi mana harta wakaf itu masih wujud walaupun selepas kematian pewakaf. Wakaf juga disebut sebagai sedekah jariah.
 
Sabda Rasulullah SAW:
 
Maksudnya: Jika mati seorang manusia itu akan terputuslah segala amalannya melainkan pada tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakan baginya kebaikan. Hadis Riwayat Imam Muslim (1631)
 
Imam Nawawi RAH menjelaskan bahawa sedekah jariah itu bermaksud wakaf. Rujuk Syarh Muslim (11/85).
 
Justeru, bagi memperolehi pahala yang banyak di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak ini marilah sama-sama rebut peluang yang terhidang ini. Ibarat pepatah mengatakan ‘Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang’ dan kalau tak boleh buat semua, buatlah mengikut kemampuan kita. Usaha dan jihad dari kita untuk beramal dan melawan hawa nafsu dan sikap malas InsyaAllah akan memperolehi kejayaan dan ganjaran yang sangat besar dan baik di sisi Allah SWT. 
 
 
 
 
 
---
Haris bin Dahlan
Ketua Seksyen Pengurusan Dana Wakaf Ilmu
WAZAN

Tarikh Input: 30/04/2023 | Kemaskini: 03/05/2023 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
WXFbKAb~