PERLUKAH PEMEGANG AMANAH TUNGGAL HARTA WAKAF? | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » PERLUKAH PEMEGANG AMANAH TUNGGAL HARTA WAKAF?

PERLUKAH PEMEGANG AMANAH TUNGGAL HARTA WAKAF?

Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) seolah-olah dijadikan sebagai pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf di sesetengah negeri di Malaysia. Di samping itu, MAIN juga menjadi pemutus dalam usaha pembangunan komersial harta umat Islam. Keperluan dalam peruntukan perundangan ini telah menjadi isu kepada MAIN disebabkan bidang kepakaran dalam bidang komersial aset memerlukan pengalaman serta pengiktirafan dalam bentuk keilmuan. Oleh yang demikian, ia telah  menjadi satu persoalan iaitu benarkah kewujudan keperluan peruntukan MAIN sebagai pemegang amanah tunggal wakaf?

Setiausaha Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Fakhruddin Abdul Rahman menegaskan bahawa MAIN perlu memastikan setiap aspek tadbir urus yang dijalankan bagi harta wakaf agar bebas daripada isu penyelewengan sama ada wakaf yang berbentuk tunai mahupun berbentuk fizikal. Aspek pemegang amanah tunggal wakaf diwujudkan sebagai platform untuk menyukarkan  perubahan dari segi tadbir urus dan penyelarasan hukum kerana ia berteraskan peruntukan perundangan Islam. Jika MAIN menjadi pemegang amanah tunggal, segala tadbir urusnya adalah tidak berubah kerana ia mengadaptasi peruntukan perundangan Islam. Perubahan mungkin hanya berlaku dari aspek kepimpinan dan tenaga kerja sahaja.

 

Sejarah Bermulanya Sistem Pemegang Amanah Tunggal

Sistem pemegang amanah tunggal diperkenalkan sejak zaman penjajahan British di negara ini. Pada awalnya, tiada campur tangan berlaku dalam sistem ini kerana pada zaman penjajahan British segala hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu tidak dilibatkan dalam mana-mana pentadbiran. Namun yang demikian, akibat daripada terdapat banyak konflik kes pertelingkahan yang berlaku di dalam dan di luar mahkamah yang melibatkan pemegang amanah individu dan waris, ia telah melibatkan campur tangan British bagi menyelesaikan pertelingkahan tersebut. Kesannya, British telah mewujudkan satu sistem Trustee iaitu pemegang amanah bagi menguruskan harta wakaf di negeri-negeri Selat melalui penubuhan Muslim dan Hindu Endowment Board pada 1901. Daripada perkara tersebut, kefahaman tentang wakaf sebagai hak ummah telah wujud sejak zaman pemerintahan British lagi.

 

Sistem Trustee Bukan Satu Perangkap

Sesetengah umat Islam masih menolak sistem Trustee yang diperkenalkan sejak zaman British dan menyifatkan sistem tersebut sebagai satu perangkap kepada perkembangan amalan berwakaf di negara ini. Hal ini kerana pemikiran mereka masih tidak yakin dan takut untuk mewakafkan aset wakaf sama ada berbentuk fizikal atau tunai. Sebagai contoh, jika mereka melihat nama dokumen pemilikan aset yang berkaitan dengan MAIN, mereka berpendapat bahawa ia nya merupakan satu perangkap untuk berwakaf di negara ini. Namun yang demikian, isu tersebut masih dapat ditangani.

MAIN sebagai pemegang amanah tunggal perlu memastikan segala pengurusan amanah diselaraskan mengikut hukum syarak sekaligus memastikan pewakaf mendapat pahala berterusan oleh Allah SWT terlaksana tanpa sebarang keraguan. Disamping itu, MAIN juga boleh menyerahkan kuasa pentadbiran dan pengurusan harta kepada mana-mana pihak yang berminat untuk memajukannya.

 



Artikel Penuh:

 http://www.utusan.com.my/mega/agama/perlukah-pemegang-amanah-tunggal-wakaf-1.773334#ixzz5VZd76YZV 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tarikh Input: 25/01/2019 | Kemaskini: 13/01/2022 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDcUAV~