PENGENALAN
Dalam Islam, istilah cukai lebih sinonim dengan lafaz al-kharaj yang membawa maksud cukai, perolehan, perolehan yang diambil daripada harta atau pendapatan seseorang, pendapatan harta awam, sewaan, perolehan daripada orang perseorangan atau tanah dan juga membawa maksud kadar-kadar tertentu yang dikenakan. Pada asalnya, sebahagian besar konsep al-kharaj merujuk kepada cukai tanah dan akhirnya diguna pakai sehingga membawa kepada kewujudan jenis-jenis cukai yang lain dalam Islam. Cukai dapat dikelaskan kepada tiga bahagian iaitu, Bahagian pertama; cukai yang telah disyariatkan oleh Islam ke atas umatnya iaitu disebut zakat. Bahagian kedua, cukai dari kategori al-fai’ yang dikenakan ke atas golongan bukan Islam yang menetap di bawah pemerintahan Islam. Dari al-fai’ ini pula ia dipecahkan kepada tiga jenis lain lagi iaitu al-kharaj, al-jizyah dan al-‘usyur. Bahagian ketiga pula ialah cukai dari kategori al-khumus yang terdiri daripada al-ghanimah, al-rikaz dan harta daripada lautan dan sungai.
DALIL PENSYARIATAN
Pensyariatan cukai dikategorikan kepada dua pandangan iaitu pandangan golongan yang cenderung untuk menolak pelaksanaan cukai seperti Ibn Muflih dan al-Hijawi dari Mazhab Hanbali, Ibn al-Azraq dan Ibn Hajar al-Haithami dan ulama lain. Golongan kedua yang mengharuskannya pula terdiri daripada ulama seperti Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, al-Syatibi, juga ulama-ulama terkini seperti Syaikh Mahmud Syaltut dan Syaikh Ahmad al-Raysuni yang bersetuju kerajaan diberi kebenaran untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk membantu memenuhi tuntutan maslahah umum dalam pentadbiran sesebuah negara. Keharusan ini juga diambil kira atas dasar bahawa cukai merupakan salah satu tanggungjawab sosial yang mesti dilakukan selain membayar zakat sebagaimana persoalan yang dibangkitkan kepada Ibnu Umar berkaitan tanggungjawab terhadap harta.
HUKUM PELAKSANAAN CUKAI
Hukum pelaksanaan cukai perlu dilihat kepada keadaan sesebuah negara apatah lagi wujudnya perbezaan pandangan dalam kalangan fuqaha bagi menetapkan hukum pelaksanaan cukai. Setiap pandangan yang dikemukakan mempunyai sebab dan alasan yang kukuh sama ada yang menolak mahupun yang menerima pelaksanaannya dengan melihatkan kepada keadaan dan keperluan semasa ekonomi yang dihadapi oleh setiap individu dan juga negara. Maka pandangan-pandangan ini wajar dijadikan panduan agar kita lebih berlapang dada dan melihat sesuatu dasar itu dengan lebih tuntas. Perlembagaan negara kita juga menjunjung tinggi Islam sebagai agama rasmi persekutuan yang pastinya menjadikan hukum-hakam syariah sebagai sumber perundangan negara dengan rujukan dari al-Quran dan al-Sunnah, ijma’ dan qias.
PENUTUP
Sejarah juga telah membuktikan bahawa sistem percukaian merupakan antara medium ekonomi yang penting dalam menjana kelangsungan pendapatan sesebuah negara. Ia bukanlah sebuah amalan baharu dalam negara ini bahkan sistem-sistem percukaian ini telah wujud sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka pada kurun yang ke-15 lagi. Pada ketika itu, telah wujud perundangan yang berkait dengan struktur percukaian dan ditadbir oleh Penghulu Bendahari dibantu oleh Shahbandar yang berfungsi menguatkuasakan peraturan bagi perihal perkastaman dan percukaian, khususnya di kawasan pelabuhan. Khutbah Jumaat Percukaian Dalam Islam 5 Merentasi zaman, fungsi dan peranan Shahbandar kini telah dimainkan secara signifikan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertindak selaku agensi pemungut cukai, sekaligus menjadi antara penyumbang hasil terbesar buat negara.
SUMBER DIPETIK DARI:
Teks Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Tarikh Input: 10/08/2024 | Kemaskini: 10/08/2024 | rizal_helmi
PERKONGSIAN MEDIA