Mampukah Kita Berwakaf? | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Mampukah Kita Berwakaf?

Mampukah Kita Berwakaf?

APA itu wakaf? Menurut para sarjana Islam, wakaf bermaksud menahan zat harta bagi menggunakan manfaatnya di jalan Allah. Zat harta tersebut merujuk ke­pa­da sesuatu yang boleh di­ambil man­faatnya dengan mem­per­tahankan harta tersebut, iaitu harta tidak habis setelah diambil manfaatnya.

Contohnya, bangunan, pokok, tanah, dan kereta manakala harta yang habis zatnya setelah dimanfaatkan disebut sebagai sedekah, bukannya wakaf. Wakaf juga berbeza dengan hibah kerana hibah bermaksud pemberian harta, sedang­kan wakaf hanyalah pemberian manfaat atau hasil daripada harta tersebut.

Wakaf boleh dibahagikan kepada dua iaitu wakaf khas dan wakaf am. Wakaf khas bermaksud pemberian harta selama-lamanya bagi penggunaan manfaat yang diharuskan dalam Islam terhadap individu atau perkara yang ditentukan oleh si pewakaf. Berbeza dengan wakaf khas, penggunaan wakaf am adalah untuk tujuan manfaat umum yang diharuskan oleh Islam. Si penerima wakaf pula boleh terdiri daripada umat Islam mahupun bukan Islam.

Wakaf adalah satu amalan yang amat digalakkan dalam Islam dan telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Pahala bagi mereka yang mewakafkan harta adalah sa­ngat besar sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah maha luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

Di samping ayat al-Quran, kelebih­an amalan wakaf juga diutarakan dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud: “Apabila mati seorang anak Adam, maka putuslah amalan kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan kepada orang lain dan doa anak yang soleh.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maksud sedekah jariah dalam hadis di atas merujuk kepada konsep wakaf. Dengan berwakaf, selagi mana manfaat wakaf tersebut digunakan, maka sedekah jariah tidak akan putus walaupun seseorang itu telah meninggal dunia. Ini menunjukkan bahawa amalan wakaf berfaedah bukan sahaja untuk kegunaan di dunia tetapi di akhirat juga.

Wakaf bukan sahaja menjadi amalan di Malaysia, bahkan telah diamalkan di negara Barat yang dikenali dengan istilah endowment yang sinonim dengan wakaf pendidikan. Wakaf pendidikan adalah satu strategi memajukan tahap pendidikan sesebuah negara di samping membantu pelajar yang tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran.

Contohnya, Universiti Al-Azhar yang pada asalnya adalah sebuah madrasah kini telah menjadi universiti wakaf yang banyak membantu pelajar yang bukan sahaja dari Mesir, bahkan dari seluruh dunia. Selain negara Asia Barat, wakaf pendidikan juga menjadi amalan di negara Barat. Misalnya, Universiti Birmingham di United Kingdom dan perpustakaan Universiti Pennsylvania di Amerika Syarikat.

Selain wakaf pendidikan berbentuk endowment, Islamic Relief yang adalah organisasi di United Kingdom juga telah mewujudkan pelbagai produk wakaf tunai untuk membantu masyarakat sedunia. Wakaf tunai bermaksud individu mewakafkan wang tunai kepada sebuah institusi pemegang amanah wakaf. Wang tersebut kemudiannya ditukarkan kepada harta kekal dan seterusnya manfaat daripada wakaf tunai tersebut digunakan untuk pembangunan ummah.

Idea berkaitan wakaf tunai tercetus apabila wakaf secara tradisional yang melibatkan pemberian aset kekal seperti bangunan dan tanah menyebabkan hanya individu yang mempunyai banyak harta sahaja la­yak untuk berwakaf. Namun begitu, wakaf tunai memberi peluang kepada masyarakat yang bukan jutawan tetapi berhasrat untuk menderma mencapai impian mereka.

Antara inovasi produk wakaf tunai Islamic Relief adalah wakaf pendidikan, wakaf kesihatan dan nutrisi, wakaf korban, wakaf air dan sanitasi, wakaf kebajikan anak yatim dan wakaf bantuan kecemasan. Contohnya, pada 2009, manfaat daripada wakaf tunai Islamic Relief telah digunakan untuk membina empat klinik mata di Pakistan di mana telah memberi perkhidmatan dari segi pembedahan, pemeriksaan awal dan pemeriksaan lanjutan kepada pesakit.

Bagi wakaf korban pula, Islamic Relief akan menggunakan manfaat daripada wakaf untuk tujuan korban dan daging korban akan diagihkan kepada orang fakir dan miskin. Produk-produk wakaf yang diper­kenalkan oleh Islamic Relief ini boleh menjadi salah satu produk baharu di Malaysia dalam usaha mempelbagaikan lagi produk wakaf tunai.

Di Malaysia, negeri yang giat menjalankan aktiviti wakaf tunai adalah Johor dan Selangor. Antara wakaf tunai yang giat diperkenalkan oleh kedua-dua negeri ini adalah saham wakaf, wakaf emas dan wakaf takaful. Saham wakaf menggalakkan masyarakat untuk berwakaf dengan tidak mengehadkan jumlah wakaf bahkan boleh berwakaf de­ngan jumlah serendah nilai RM10.

Terdapat pelbagai cara untuk kita melaksanakan wakaf tunai. Antaranya melalui skim potongan gaji bulanan. Kita juga boleh berwakaf melalui institusi wakaf secara atas talian (online), auto debit melalui institusi perbankan, menggunakan wang pos mahupun bayaran tunai di kaunter institusi terpilih seperti Pejabat Yayasan Waqaf Malaysia, Perbadanan Wakaf Selangor, Unit Wakaf Johor, Bank Simpanan Nasional dan Bank Muamalat.

Dengan kewujudan wakaf tunai serta pelabagai kemudahan untuk berwakaf, maka tiada lagi alasan untuk kita mengatakan bahawa kita tidak mampu berwakaf. Ayuh mari kita pupuk kesedaran dalam minda diri sendiri, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan untuk berwakaf demi untuk kesejahteraan ummah di dunia serta kesejahteraan kita sendiri di akhirat kelak.

 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tarikh Input: 01/10/2018 | Kemaskini: 18/01/2021 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdHA7~