KONSEP DAN AMALAN ENDOWMEN@WAKAF | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » KONSEP DAN AMALAN ENDOWMEN@WAKAF

KONSEP DAN AMALAN ENDOWMEN@WAKAF

KONSEP DAN AMALAN ENDOWMEN@WAKAF

 

Oleh: Dr. Razali Bin Othman

 

 

PENDAHULUAN

            Secara umumnya wakaf adalah terma yang cukup sinonim dengan orang Islam, atau dalam konteks kita hari ini, orang Melayu. Utaberta et al (2011) dalam penelitian mereka bertajuk “Pendekatan dan interpretasi terhadap senibina Islam moden di Nusantara” misalnya mengungkapkan wakaf sebagai, “rumah kecil yang dibina untuk tempat berteduh”. Malah, ramai juga kalangan kita yang mengaitkan terma wakaf sebagai satu bentuk sumbangan sukarela bagi membantu orang lain dengan harapan atau niat mendapatkan ganjaran Allah SWT secara berkekalan.

            Namun dalam waktu yang sama, masyarakat keliru bila terma wakaf ini digunakan “luar daripada kebiasaan”. Sebagai contoh, ramai orang menggangap bahawa “Endowmen” dan “Wakaf” merupakan dua entiti yang sama. Ramai sarjana Barat menggunakan terma “Endowmen” merujuk kepada “Wakaf”. Kita mungkin menjadi semakin keliru bila Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Pulau Pinang pada 14 Disember 2012 merasmikan Kompleks Pejabat Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHNPP). Wakaf Hindu! ya Wakaf Hindu.

 

 

Gambar I: Kain Rentang Perasmian Kompleks Pejabat Lembaga Wakaf Hindu

 

Dalam hal yang sama, Timbalan Ketua Menteri II, Pulau Pinang iaitu Prof Dr P. Ramasamy menegaskan bahawa Lembaga Wakaf Hindu yang kini hanya terdapat di Pulau Pinang akan diperluaskan ke negeri-negeri yang mempunyai jumlah penganut Hindu yang ramai (Kosmo, 15 Ogos 2018). Jadi, apa sebenarnya wakaf? Bagaimana pula wakaf boleh menjadi amalan masyarakat hari ini? Apakah wakaf dan endowmen mempunyai amalan yang sama?

 

KONSEP DAN AMALAN WAKAF SEBELUM KELAHIRAN ISLAM

Menurut Imam Muhammad Abu Zahrah (2007), wakaf secara maknawi telah wujud dalam kalangan masyarakat di dunia ini sebelum kehadiran Islam lagi. Hujah ini bersandarkan kepada bukti wujudnya rumah-rumah ibadat yang dibina untuk dimanfaatkan oleh orang ramai yang beribadat di dalamnya. Menurut beliau, 

 

“kita tidak boleh menafikan bahawa wakaf secara maknawi telah wujud sebelum Islam. Sama halnya dengan jual beli, sewa menyewa, nikah dan bentuk-bentuk transkasi lainnya yang telah sedia ada sebelum Islam”.

 

 

               Peta I: Tamadun Awal Manusia Bermula di Wilayah Near Eastern

 

Profesor Amy Singer (2002:24), dalam kajiannya ke atas asal-usul wakaf telah mencapai kesimpulan yang sama, iaitu wilayah dan masyarakat Islam mula berkembang di sesuatu kawasan yang jelas sekali penuh dengan tradisi dan amalan sumbangan harta berteraskan kebajikan. Masyarakat di bawah sistem perundangan di sekitar wilayah Near Eastern (Rujuk peta I) telah membenarkan pelbagai bentuk sumbangan bagi tujuan kebajikan yang melibatkan pemindahan harta daripada A ke B bagi faedah C. Sistem perundangan ini juga mengamalkaan prinsip pengasingan pokok atau asal harta tersebut dan hasilnya. Asal harta tersebut pula yang tidak boleh dipindah milikan dalam apa keadaaan sekalipun dan hanya digunakan bagi tujuan kebajikan. Terdapat bukti yang menujukkan bahawa banyak kata nama berkaitan amalan pemberian sumbangan yang bertujuan kebajikan wujud dalam masyarakat Islam sebelum karya-karya berkaitan wakaf ditulis oleh sarjana Islam lagi. Malah, penggunaan terma “waqf” yang terawal hanya ditemui dalam kitab al-Kharaj yang ditulis oleh Yahya b. Adam bertarikh 203 H atau 818 M.

 

PENGARUH TAMADUN BYZANTIN DAN ROM – SISTEM PERUNDANGAN PIAE-CAUSAE, RES SACRAE DAN FIDULCOMMISUM

            Spekulasi terawal pengaruh luar ke atas wakaf berpusat kepada dua kerajaan silam iaitu Byzantin dan Rom seperti mana yang disimpulkan oleh sarjana seperti Becker dan Hennighan.  Malah, bermula pada awal abad kesembilanbelas lagi, ahl-ahli sejarah membuat pengamatan bahawa struktur sistem perundangaan piae-cause dalam tamadun Byzantin dan res sacrae dalam tamadun Rom mempunyai persamaan dengan struktur perundangan yang diamalkan dalam wakaf khairi. Sementara amalan dalam sistem perundangan Fidulcommisum pula dikatakan mirip kepada wakaf keluarga.

 

       Peta II:  Lokasi di wilayah Byzantin yang melahirkan sistem perundangan sumbangan sukarela

 

Dalam bukunya The Charitable Foundations of Byzantium, Duff (1926) telah membahaskan secara terperinci kedua-dua sistem perundangan di atas. Menurut beliau, seperti juga dalam sistem perundangan wakaf khairi; penyerahan harta dalam institusi piae-causae dibuat secara individu dan merupakan satu tindakan undang-undang yang sah dan berkuatkuasa tanpa memerlukan kelulusan daripada pihak gereja atau pemerintah. Tambah Duff lagi, harta-harta yang disumbangkan ini pula diuruskan secara kekal dan menjadi hak milik mutlak Tuhan mereka. Hak milik tuhan tidak boleh dipindahmilik dalam apa keadaan sekalipun. Dilihat daripada aspek tujuan harta tersebut disumbangkan jelas ianya juga bermotifkan kebajikan.   Harta-harta seperti wang, tanah, perkakasan dan sebagainya disumbangkan untuk membantu golongan miskin, membebaskan banduan, membina rumah-rumah ibadat, hospital dan rumah-rumah penjagaan untuk orang-orang tua dan anak-anak yatim. Dengan melihat kepada persamaan ini, Barnes telah membuat kesimpulan bahawa;

 

“By way of conclusion, it must be said that there is no direct literary evidence that a conscious grafting occurred between Byzantine and Islamic religious foundations. Nonetheless, the anology between the legal conditions for creating piae-causae and principles set forth by (early Hanafi jurist) offers convincing argument that such a borrowing had in fact occurred.” Barnes (1986:16)

 

Penelitian yang dibuat dalam sistem perundangan ras-sacrae oleh Morand (1910), Fyre (1975), Barnes (1984) dan Hennighan (2004) juga dilihat mempunyai persamaan dengan wakaf khairi. Di bawah sistem ini, harta yang wujud di dunia ini dibahagikan kepada dua kelas yang berbeza iaitu harta yang diletakkan di bawah bidang kuasa manusia dan harta yang diletakkan di bawah bidang kuasa Tuhan yang dianggap suci dan mulia. Harta yang dikategorikan di bawah kelas kedua ini dianggap sebagai res-sacrae iaitu sangat suci dan mulia. Ia bukannya harta persendirian dan tidak dimiliki oleh sesiapun (res nullus) kecuali Tuhan mereka sahaja seperti rumah-rumah ibadat, harta-harta yang terdapat dalam rumah ibadat tersebut seperti patung, kapal dan sebagainya dan tanah-tanah di mana ianya berada. Dalam karyanya bertajuk “The Golden Age of Persia: The Arab in the East”, Fyre (1975) menyebut bahawa harta yang dianggap sebagai res-sacrae tidak boleh dijual, disewa atau dipindahmilikkan kepada pihak ketiga dalam apa bentuk sekalipun termasuk hadiah atau derma.

Namun begitu, kajian yang terperinci membuktikan bahawa kedua-dua institusi ini iaitu res-sacrae dan wakaf khairi mempunyai perbezaan yang cukup ketara. Pertamanya, res-sacrae hanya merujuk kepada objek-objek keagamaan seperti bangunan, tanah-tanah dan harta-harta untuk tujuan pemujaan keagamaan sahaja. Harta-harta disebut tidak pula merujuk kepada harta kekal yang boleh dijana nilainya (revenue-bearing property) secara berkekalan. Keduanya, harta-harta yang diletakkan di bawah institusi ras-sacrae memerlukan kelulusan pihak kerajaan. Harta tersebut hanya boleh diserahkan melalui statut yang diluluskan atau melalui badan yang dipanggil senates consultum. Tiada seorang individupun dibenarkan untuk mewujudkan harta-harta ras-sacrae di bawah kuasa mereka sendiri. Sementara perbezaan yang ketiga ialah bangunan-bangunan yang dianggap suci dan mulia ini hanya dimiliki oleh pihak lelaki sahaja. Pengurusan hartanya pula diuruskan oleh pihak pemerintah dan bukannya pihak individu seperti yang dibahaskan oleh Barnes dalam karyanya, “An Introduction to Religious Foundation in The Ottoman Empire”

Teori sistem perundangan piae-causae juga tidak terlepas daripada kritikan. Kritikan umum terhadap sistem ini merujuk kepada pemegang amanah iaitu pihak yang dipertanggung jawabkan untuk menguruskan harta. Dalam sistem ini harta atau sumbangan yang diterima diberikan kepada pihak gereja. Pihak gereja ini kemudiannya menjadi pemegang amanah kepada pihak yang menyumbang seperti yang dibahaskan oleh Duff (1926) dalam bukunya berjudul “The Charitable Foundations of Byzantium, in Cambridge Legal Essay Written in Honour of and Presented to Doctor Bond, Profesor Buckland, and Profesor Kenney”.  Dalam hal ini, pihak gereja selalunya diberikan ruang untuk membelanjakan harta dan sumbangan tersebut mengikut apa yang difikirkan sesuai selaras dengan peranannya sebagai pemegang amanah. Berdasarkan kepada amalan inilah, maka sebahagian ahli sejarah termasuk Makdisi (1981) mengkategorikan amalan sumbangan Byzantin sebagai sumbangan untuk tujuan gereja dan bukannya sumbangan untuk masyarakat yang dikawal secara bebas.

Sementara itu, menurut kajian sarjana seperti Ahmad Faraj al-Sanhuri (1949), Randi Corolyn (1986) dan Hennigan (2004) menyimpulkan bahawa amalan dalam sistem perundangan Fidulcommisum dalam tamadun Byzantin pula dilihat lebih mirip kepada wakaf keluarga. Di bawah kedua-dua sistem ini penyumbang menyerahkan harta kepada keluarga atau keturunan dalam tempoh masa tertentu atau sehingga tamat nisab keluarga. Penerima yang dinamakan hanya mendapat manfaat daripada hasil harta tersebut yang secara prinsipnya tidak boleh dijual, diwariskan atau diberikan sebagai hadiah. Namun, terdapat dua perbezaan yang ketara dalam sistem perundangan ini berbanding dengan wakaf. Pertamanya, kedua-dua harta dan manfaatnya diserahkan keseluruhannya kepada keluarga yang dinamakan sebagai penerima manfaat. Perbezaan kedua pula ialah amalan pemindahan harta dalam sistem Fidulcommisum berlaku selepas kematian penyumbang (post-mortem). Ini sama seperti prinsip dalam amalan perundangan wasiat seperti yang disebutkan oleh Johnston (1988) dalam bukunya, “The Roman Law of Trust”. Pandangan ini turut disokong oleh sarjana terdahulu seperti Maitland (1894).

Manakala dalam sistem perundangan wakaf pula, hasil daripada harta yang diwakafkan diserahkan kepada penerima sebelum kematian pewakaf lagi (inter vivos).  Kegagalan sistem Fidulcommisum menjelaskan idea pengasingan hak usufruct dan hak pemilikan asal harta berkenaan kepada penerima manfaat membuktikan bahawa kedua-dua sistem ini adalah berbeza seperti mana yang didakwa dalam artikel mengenai wakaf dalam Jurist (1914). Ini sekaligus menolak dakwaan yang menyatakan bahawa wakaf dipinjam atau dipengaruhi oleh amalan Fidulcommisum dalam tamadun awal Byzantin.

 

PENGARUH DOKTRIN USES AND TRUST DALAM PEWUJUDAN WAKAF

            Kegagalan untuk menjelaskan teori pengaruh tamadun silam terhadap pewujudan sistem perundangan wakaf seperti yang telah dibahaskan di atas telah menyebabkan para sarjana Barat berpaling kepada teori perundangan trust di bawah sistem perundangan Inggeris. Dakwaan sistem perundangan wakaf wujud hasil daripada inspirasi dan pengaruh sistem perundangan trust ini dibuat bersandarkan kepada persamaan yang menonjol dalam penggunaan alat perundangan iaitu pelupusan hak milik harta dan manafaat. Dalam kedua-dua sistem perundangan tersebut misalnya, harta yang disumbangkan bersifat kekal dan hanya manfaatnya sahaja yang digunakan untuk tujuan yang telah ditetapkan. Menurut Maitland, idea pewujudan sistem perundangan trust merupakan pencapaian terbesar dan terpenting yang dibuat oleh orang-orang Inggeris. Malah, idea ini telah berkembang dan memainkan peranan penting dalam evolusi dan pembangunan masyarakat Barat seperti mana dibahaskan dalam dua buah karya iaitu “A History of English Law” dan “Early English Equity” yang masing-masing ditulis oleh Holdworth (1903) dan Holmes (1936).

Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan sistem trust? Bagaimana pula sistem trust menjadi satu sistem yang sangat penting dalam sistem perundangan Inggeris? Dalam hal ini, menurut Fratcher (1969) dan Guerin-McManus (2011), trust berasal daripada sistem perundangan Inggeris yang dibangunkan daripada perundangan pemilikan tanah yang dipanggil uses di zaman pertengahan di England. Orang yang bertanggungjawab memperkenalkan uses ialah Franciscan Friars seperti yang dijelaskan oleh Pollock & Maitland (1952);

 

“Lastly, in the early years of the thirteenth century the Francisan Friars came hither ... We should be nearer the truth if we we said that to all seemingly the first person who in England employed the “use” on a large scale were, not the clergy, not the monk, but the Friars of Saints Francis”.

 

Menurut Profesor Cattan, antara rekod sejarah terawal mengenainya ialah kes yang dirujuk oleh Bracton pada tahun 1224. Berdasarkan kes ini dikatakan seorang lelaki sebelum memulakan perjalanannya ke tanah suci (holy land) telah menyerahkan tanah kepada abangnya untuk disimpan sebagai use untuk anak-anaknya. Pada suku tahun kedua dalam abad ketigabelas, beberapa kes telah ditemui di mana tanah telah digunakan sebagai use untuk kaum keluarga mereka. Dalam bukunya iaitu “Conservation Trust Fund”, Guerin-McManus telah menjelaskan secara terperinci konsep uses ini. Menurut beliau, uses turut digunakan sebagai alat perundangan untuk mengelakkan Akta Mormain iaitu satu siri akta yang melarang golongan agama daripada menerima sumbangan dalam bentuk tanah dengan tujuan untuk mencegah pemilikan harta tersebut dimiliki oleh kumpulan agama ini. Tambah beliau lagi, di bawah peruntukan akta ini, golongan agama tidak dibenarkan memiliki harta. Sebaliknya mereka boleh dinamakan sebagai penerima manfaat daripada harta tersebut. Malah, terma trust masih merujuk kepada uses sehinggalah Statute of Uses diperkenalkan pada tahun 1535.

            Dalam sistem perundangan trust, pemilik harta atau feoffor menyerahkan hak pemilikan harta kepada pihak ketiga yang dipanggil feoffee to uses. Feoffee to uses yang berfungsi sebagai pemegang amanah bertanggung jawab kepada cestui que use (penerima manfaat) seperti yang dihasratkan oleh feoffor. Seperti juga dalam perundangan wakaf, feoffee to uses menjalankan tiga fungsi utama iaitu membenarkan cestui que use menggunakan harta tersebut dan menikmati faedah daripada hasilnya (sewa dan keuntungan), mempertahankan hak pemilikan harta daripada tindakan pihak ketiga dan menggunakan harta berkenaan seperti mana yang dihasratkan oleh feoffee to uses. Kedua-dua institusi uses dan wakaf juga menggunakan alat perundangan yang sama iaitu pelucutan atau pelupusan hak milik harta (renunciation of ownership of property). Sementara hasil daripada asal harta berkenaan pula (usufruct) akan diberikan sebagai sumbangan kepada penerima manfaat (feoffee to uses), sama ada pada kadar waktu yang ditetapkan atau berterusan. Persamaan yang ketara dalam kedua-dua struktur perundangan bagi wakaf dan trust ini dijelaskan lagi oleh Cattan;

 

“Under both concept, property is reserved, and its usufruct appropriated, for the benefit of specific individuals, or for a general charitable purpose; the corpus become inalienable; estate for life and favour of successive benefeciries can be created ... without regard to the law of inheritance or the right of the heirs; and continuity is secured by the successive appointment of trustees or mutawallis.”  Cattan (1955: 212)

 

            Persoalannya, sejauh manakah sistem perundangan wakaf dipengaruhi oleh sistem perundangan trust? Adakah persamaan yang wujud khususnya dari aspek pemakaian alat sistem perundangan dalam kedua-dua institusi tersebut dapat mengesahkan andaian di atas? Bagi membongkar isu berkenaan, Profesor Cattan (1955) dalam karyanya yang hebat iaitu “The Law of Waqf, in Law in the Middle East: Origin and Development of Islamic Law”, telah mengemukakan hujahnya yang sangat menarik dengan menegaskan bahawa analogi dan kronologi kedua-dua institusi ini memungkinkan perundangan trust dipengaruhi oleh perundangan wakaf. Dakwaan ini dibuat bersandarkan hujahnya bahawa secara teori dan praktisnya wakaf dibangunkan di negara Islam sebelum perundangan trust diperkenalkan di England lagi. Sementara itu, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa sistem agihan usufruct untuk kepentingan pelbagai golongan masyarakat wujud sebelum Islam. Malah, keistimewaan dan keunikan wakaf terletak pada konsep pengasingan hak milik harta daripada usufruct. Crecelius (1995) turut menyokong pendapat ini dengan menyatakan bahawa umat Islam digalakkan untuk menyerahkan harta mereka secara sukarela untuk kepentingan ummah. Mereka tahu mengenai tanggungjawab tersebut dan wakaf sendiri merupakan satu keistimewaan bagi orang-orang Islam.

Dalam bukunya “Whether Common Law Concepts of ‘Uses and Trust’ Originated from Waqf, Syed Khalid Rashid (2007) menjelaskan bahawa dakwaan Professor Cattan yang diusulkannya sejak tahun 1955 ini tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana ahli-ahli perundangan dan sarjana Barat untuk mengesahkan atau menolak kemungkinan wakaf mempengaruhi pewujudan sistem perundangan trust. Sebaliknya, mereka lebih menumpukan penelitian asal usul sistem perundangan trust daripada perspektif perundangan Roman Fideicommissum dan German Salic Salmannus. Sedangkan penelitian ke atas kedua-dua sistem perundangan Roman Fideicommissum dan German Salic Salmannus didapati hanya bersifat luaran, longgar dan tidak dapat diterima secara sejagat seperti mana yang telah dibahaskan oleh Crone (1987:5-6), Gaudiosi (1988:1241-1242), Syed Khalid Rashid (2007:247-248) dan Razali Othman (2011: 26).

Jika dilihat dari aspek perbezaan pula, kedua-dua institusi ini mempunyai perbezaan yang sangat ketara dari sudut pemegang amanah, jangkamasa dan objek harta yang disumbangkan. Salah satu aspek yang sangat penting dalam sistem perundangan trust ialah hak harta diserahkan kepada pemegang amanah. Pemegang amanah kemudiannya akan menjadi pemilik kepada trust. Sebaliknya, mutawalli dalam sistem perundangan wakaf tidak dianggap sebagai pemilik harta tersebut. Kedua, sistem perundangan trust tidak terikat dengan konsep kekal. Namun begitu, perlu diingat bahawa konsep kekal sebenarnya wujud dalam sistem perundangan trust sehinggalah peraturan bertentangan kekalan (rule against perpetuities) diperkenalkan dalam perundangan Inggeris. Ketiga, perbezaan yang paling menyerlah ialah dari aspek objek. Trust boleh dibuat untuk semua objek yang sah, sedangkan wakaf pula dibuat dengan tujuan kebajikan (charity) walaupun terdapat ketetapan keluarga sebagai objek. Bagi menjadikan wakaf itu sah, objek tersebut memerlukan syarat kebajikan (condition sine qua non) sebagai objek yang muktamat. Schoeenlum (1999) dalam kajian perbandingan perundangan wakaf dan sistem perundangan trust pula telah menggariskan tiga perbezaan asas dalam kedua-dua institusi tersebut. Pertama, perbezaan dari aspek sumber dan evolusi perundangan. Kedua, norma pengggunaan dan ketiga ialah perundangan yang diguna pakai dalam negara. Syed Khalid Rashid (2007) dalam kajiannya terhadap sistem perundangan sistem perundangan trust dan sistem perundangan wakaf pula merumuskan perbezaan yang paling ketara ialah falsafah pemilikan dari sudut perundangan dalam kedua-dua institusi ini. Menurutnya, institusi wakaf secara perundangannya dimiliki oleh pemilik asal iaitu Allah SWT, sebaliknya pemegang amanah adalah pemilik kepada trust. Beliau seterusnya menyenaraikan lapan lagi perbezaan antara kedua-dua institusi berkenaan seperti hak pemilikan wakaf dan trust, kekalan, kempunyaan tiga elemen wakaf, objek, pewujudan wakaf dan trust, pemilik harta, objek untuk penyerahan kepada penerima manfaat dan keperluan manfaat awam.

Penelitian Gaudiosi (1988) dalam artikelnya iaitu “The Influance of the Islamic Law of Waqf on the development of the Trust in England: The Case of Merton College” yang membuat penelitian terhadap asal usul sistem perundangan trust dan sistem perundangan wakaf dengan memberikan fokus kepada kronologi sejarah pula telah membuktikan bahawa pengaruh Islam memainkan peranan yang besar dalam pewujudan sistem perundangan trust. Sistem perundangan wakaf telah wujud lebih 500 tahun sebelum lahirnya uses dalam perundangan Inggeris di England. Tegasnya lagi, kewujudan sistem perundangan trust adalah selari dengan masa peningkatan hubungan antara dunia Eropah dan Islam. Franciscan Friars yang memperkenalkan sistem uses dikatakan telah menghabiskan masa di wilayah Islam pada tahun 1219 dan 1220. Perjalanan ke tanah suci khususnya ke Jerusalem merupakan perkara yang biasa bagi orang-orang Eropah pada kurun kesebelas dan keduabelas di mana perang salib berlangsung antara 1095 ke 1291. Jerusalem telah menjadi titik pertemuan antara dunia Islam dan England kerana terdapatnya pertubuhan agama di sana yang dipanggil Orders of the Templars and Hospitallers. Pertubuhan ini kemudiannya telah menubuhkan Principal House of Order di London sekitar tahun 1120. Pertubuhan agama ini mempunyai pengaruh yang kuat kepada pembinaan Inns of Court antara tahun 1135 dan 1189 iaitu sekolah perundangan terawal di England yang disambungkan dengan gereja. Menariknya, penubuhan institusi pendidikan perundangan ini diambil daripada model sekolah perundangan Islam yang pada awal penubuhannya merupakan sebahagian daripada madrasah seperti dibahaskan oleh Makdisi (1981) dalam bukunya berjudul “The Rise of Colleges: Institution of Learning in Islam and The West”. Tambahnyha lagi, Orang-orang Salib telah mengambil idea ini semasa mereka tinggal di Jerusalem. Contoh Inn of Court ini telah menjadi bukti yang jelas tentang pemindahan institusi perundangan daripada dunia Arab ke England. Pandangan serta kritikan sarjana seperti Cattan (1955), Makdisi (1981) dan Gaudiosi (1988) seperti yang dibahasakan sebelum ini telah menjadi asas yang kukuh untuk menolak andaian institusi wakaf wujud daripada inspirasi dan pengaruh sistem perundangan trust. Hal ini dibuktikan lagi dengan penelitian secara terperinci oleh Gaudiosi (1988) terhadap persamaan tujuan dan struktur statut Merton College, Oxford oleh Walter de Merton.  Statut yang bertarikh 1264 Masihi ini bukan sahaja mempunyai persamaan yang sangat ketara dengan dokumen perjanjian wakaf (waqf deed) dari aspek kandungan, format dan gaya penulisannya, tetapi juga tujuan harta tersebut disumbangkan kepada penerima yang ditentukan secara kekal dan berpanjangan (Goudiosi, 1988). Malah, hasrat Walter de Merton menubuhkan Merton College di Universiti Oxford bertujuan untuk menggalakkan perkembangan ilmu dan membantu kaum keluarganya, jelas diilhamkan daripada motif penubuhan madrasah menerusi institusi wakaf yang diperolehi semasa beliau bertugas di Jerusalem.  Peniruan institusi wakaf oleh Walter de Merton ini ke atas penubuhan Merton College di Oxford dijelaskan oleh Gaudiosi bahawa;

 

 

“Walter de Merton nowhere openly expressed intent to imitate the waqf. However, such silence is to be expected. Merton College was established during the Crusades, and it would not have been wise for a prominent clergyman and government servant to announce his adoption of an Islamic institution. Moreover, de Merton need not have been conscious of Islamic influence upon the trust. Rather, he could have adopted the Islamic system indirectly, via the Inns Court or the Franciscans, for example” (Gaudiosi, 1988:1255).

 

Dalam hal ini, Peter (2002) dan Wael Hallaq (1990) seperti yang telah dibincangkan sebelum ini menegaskan bantahan mereka tentang pengaruh asing terhadap sistem perundangan Islam. Peter (2002) telah mengatakan bahawa bukanlah sesuatu yang pelik bagi masyarakat yang berlainan untuk mencapai penyelesaian perundangan yang serupa bagi masalah-masalah yang sama. Beliau manambah bahawa sebelum persoalan pengaruh ditimbulkan, seseorang itu seharusnya menyiasat sama ada kemunculan sesuatu doktrin atau institusi itu boleh dihuraikan berdasarkan sistem perundangan. Sementara itu, Calder (2004) pula menyatakan bahawa keaslian undang-undang menunjukkan persamaan antara budaya, sekalipun tidak wujud hubungan meluas antara keduanya. Sementara Wael Hallaq (1990) menyangkal premis amalan perundangan dan doktrin asing yang menjadi teras kepada perundangan Islam. Beliau menyuarakan rasa tidak percayanya terhadap pandangan umum yang menyatakan bahawa pengaruh asing memberikan sumbangan besar kepada perundangan Islam secara meluas. Menurutnya lagi, keunikan al-Qur’an yang merupakan asas kepada pembentukan perundangan Islam menjadi penghalang kepada resapan daripada pengaruh luar. Maka atas dasar inilah, kata Wael Hallaq, kegagalan sarjana-sarjana Barat untuk membuktikan secara konklusif bahawa perundangan Islam dipengaruhi oleh tamadun asing. Imam Shafii sendiri pula menyatakan bahawa wakaf, baik dalam bentuk rumah atau tanah tidak pernah wujud di bumi Arab sebelum Islam. Hujah Imam Shafii ini dibuat bersandarkan kepada nas al-Qur’an, surah al-Najm dan al-Hasr.

 

“Dan ia tidak memperkatakan sesuatu menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya” (al-Najm, 53:3)

 

“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dari harta penduduk negeri dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan Rasulullah, dan bagi kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin serta orang musafir. Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu. Apa jua yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah ia, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya” (al-Hasr, 59:7).

 

Bersandarkan kepada kedua-dua ayat al-Qur’an tersebut, beliau menegaskan bahawa amalan dan sistem perundangan wakaf sebenarnya wujud secara perlahan-lahan melalui tradisi kenabian yang kemudiannya diperkukuhkan melalui ijmak ulama.

 

TAKRIFAN DAN KONSEP WAKAF

Dilihat dari aspek budaya, wakaf lebih dikenali sebagai rumah kecil yang dibina sebagai tempat berehat, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu dan Indonesia. Jika ditinjau dalam bahasa Melayu, perkataan “wakaf” memberikan erti sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam (Kamus Dewan, 2007). Dalam pada itu, A Concise Encyclopedia of Islam (2002:212) pula menakrifkan wakaf sebagai dana keagamaan yang dibuat secara berkekalan dan harta asal wakaf tersebut tidak boleh digunakan untuk tujuan selain yang ditetapkan oleh pewakaf.

Namun begitu, perkataan wakaf sebenarnya berasal daripada terma “waqf” atau “waqafa” (kata jamak) dalam bahasa Arab yang bermaksud “menahan”, “menegah” atau “berhenti”. Wakaf membawa maksud “pembekuan” hak milik bagi faedah tertentu apabila dikaitkan dengan harta seperti tanah atau bangunan. Berhenti pula bermaksud menyerahkan hak milik secara keseluruhannya kepada pemilik asal, iaitu Allah SWT. Berhenti pula bermaksud menyerahkan hak milik secara keseluruhannya kepada pemilik asal, iaitu Allah SWT. Dalam kalangan pengikut mazhab Maliki di Maghribi, Algeria dan Tunisia, wakaf disebut hubus (bentuk jamak daripada habis) dan dalam bentuk lain. Wakaf juga dikenali dengan nama hubs (kata jamak daripada ahbas). Orang Perancis juga telah menerima hobous sebagai istilah sah dalam bahasa rasmi mereka. Dalam kajiannya terhadap sistem wakaf di Turki, Profesor Bahaeddin Yediyildiz (1996:1) mengambarkan amalan mewakafkan harta untuk tujuan kebaikan dalam situasi yang sangat menarik;

 

“sistem wakaf secara keseluruhannya memberi tumpuan kepada kebahagian umat manusia sejagat. Pewakaf gembira kerana dapat membantu mereka yang memerlukan bantuan yang didorong oleh keinsafan bagi mendapatkan keredhaan Allah SWT. Sementara penerima wakaf pula bersyukur kerana keperluan asasnya dapat dipenuhi. Akhirnya, kegembiraan, kebahagiaan dan kesyukuran dipenuhi secara kolektif dalam kehidupan masyarakat tanpa menimbulkan sebarang konflik antara satu sama lain.  Kesempurnaan yang dibawa oleh institusi wakaf ini seiring dengan konsep masyarakat yang sempurna yang diketengahkan oleh ahli falsafah agong al-Farabi dalam bukunya al-Madina al-fadhila atau The Virtuous City”.

 

PENSYARIATAN WAKAF

            Para ilmuan membahaskan wakaf dalam konsep yang berkisar kepada pemeliharaan al-mal atau harta yang dikira salah satu perkara darurriyah. Pemeliharaan harta secara kolektifnya membawa maksud perlunya umat Islam bangun menunaikan amanah fardhu kifayah untuk memelihara, menjaga dan mengurus alam dalam konteks pembangunan ekonomi dan kewangan selaras dengan keperluan syariah. Atas dasar inilah, tujuan disyariatkan berwakaf ialah untuk melakukan kebaikan (qurba) dan mendekatkan diri dengan Allah SWT (taqqarub). Dalam hal ini, harta merupakan aset yang perlu dipelihara sesuai dengan matlamatnya untuk membantu umat manusia bagi mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Pensyariatan atau tujuan seseorang itu digalakkan untuk melakukan amalan wakaf dapat dilihat daripada perspektif al-Qur’an dan al-Hadith. Namun begitu, nas daripada al-Qur’an dan al-Hadith yang membincangkan wakaf begitu terbatas dan bersifat umum. Justeru, tidak hairanlah jika wujud perbezaan pendapat dalam kalangan ahli fiqh ketika membahaskannya yang tidak terlepas daripada pengalaman dan pengaruh masyarakat setempat. Teras pewujudan wakaf ini ditunjukkan seperti dalam Rajah I, dan seterusnya dibahaskan secara terperinci di bawah.

 

           Rajah 1: Maqasid Wakaf yang berteraskan al-Qur’an, al-Hadith dan Ijma ulama’

Sumber: Razali Othman (2014:61)

 

PENSYARIATAN WAKAF MENURUT PERSPEKTIF AL-QUR’AN

Al-Qur’an menyediakan asas kukuh yang mendorong kepada amalan berwakaf melalui ayat-ayat yang berkaitan dengan konsep sedekah (alms). Banyak kisah dilaporkan yang boleh dijadikan bukti kukuh bahawa inspirasi daripada ayat-ayat al-Qur’an telah membawa kepada amalan berwakaf. Perintah Allah SWT untuk menerima taubat dan bersedekah melalui ayat al-Qur’an dalam surah at-Taubah, 9:104 misalnya, menurut Osman Nuri Topbas (2009) telah menjadi dorongan yang kuat kepada para sahabat Rasululullah SAW untuk bersedekah dan berwakaf dengan penuh rasa tanggungjawab serta keikhlasan kepada Allah SWT. Dalam surah al-Imran pula, Allah SWT telah berfirman yang maksudnya,

 

“kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi” (al-Imran, 3:92).

 

Menurut Syed Qutb (1982) bahawa orang-orang Islam semasa turunnya ayat ini memahamkannya sebagai suatu ibadat dan galakkan bagi mendapatkan ganjaran yang lebih baik daripada Allah SWT dengan mengorbankan harta yang disayanginya. Justeru, para sahabat Rasululullah SAW dan umat Islam berlumba-lumba untuk membuat kebajikan dengan mendermakan tanah-tanah dan kebun-kebun pertanian yang sangat mereka sayangi sebagai wakaf bagi mendapatkan keredaan Allah SWT. Abu Talha, salah seorang sahabat Rasululullah SAW, sebaik sahaja mendengar ayat tersebut telah mencari Rasululullah SAW untuk menyerahkan harta yang paling disayanginya iaitu kebun kurma Bairaha. Perbuatan Abu Talha yang telah mewakafkan kebun kurmanya di Bairaha untuk kaum kerabat dan sanak saudaranya telah menjadi dasar kepada amalan wakaf keluarga. Amalan wakaf keluarga tersebut telah berkembang dan terus diterima sebagai sebahagian daripada kaedah berwakaf sehingga hari ini.

Penelitian yang dilakukan oleh Razali Othman (2011) dan Suhrawardi Lubis (2012) telah mengukuhkan lagi hujah penyelidik-penyelidik tersebut. Menurut Razali Othman (2011), ayat-ayat al-Quran yang membawa maksud “mereka yang percaya dan membuat amal kebajikan” (alladhina amanu wa’amilu ‘l-salihat) disebutkan sebanyak 37 kali jelas membuktikan bahawa umat Islam digalakkan untuk melakukan amal kebajikan bagi meraih ganjaran di dunia dan di akhirat. Ayat-ayat tersebut membawa maksud umum yang merangkumi segala bentuk kebaikan atau sumbangan bertujuan untuk kebajikan. Walaupun ayat-ayat al-Quran tersebut tidak menyebut secara langsung mengenai wakaf, namun luahannya sudah memadai untuk dijadikan sebagai dasar umum mengenai amalan wakaf. Pandangan ini dijelaskan oleh al-Maturidi, Abu al-Thana’ Mahmud b. Zayd al-Lamishi al-Hanafi yang menyatakan bahawa prinsip asas Islam menganggap bahawa luahan boleh dijadikan sebagai dasar umum dan bukan yang bersifat khusus. Jadi, wakaf dijustifikasikan sebagai satu bentuk sedekah yang istimewa kerana sifatnya yang kekal dan tidak boleh dipindah milik.

Suhrawardi Lubis (2012) pula dengan bersandarkan ayat al-Qur’an surah al-Hajj 22:77, ali-Imran 3:92 dan al-Baqarah 2:261-262 memposisikan pensyariatan wakaf kepada melakukan kebaikan (al-khayr), kebajikan (al-bir), “nafkah” dan sedekah. Menurut beliau lagi, keempat-empat kategori tersebut dilakukan dengan matlamat untuk menafkahkan harta di jalan Allah SWT bagi kepentingan maslahah umat Islam. Amalan tersebut dilakukan hanya untuk mendapatkan pahala ketika hidup dan sesudah mati.

Razali Othman (2014) turut membahaskan wakaf dalam konteks pemeliharaan harta. Dengan bersandarkan ayat-ayat al-Qur’an, beliau menegaskan bahawa terdapat lima prinsip yang harus dipatuhi sebagai panduan kepada manusia dalam meneroka, memiliki, dan menggunakan harta. Pertama, semua harta yang ada di atas muka bumi ini adalah hak milik mutlak Allah SWT. Kedua, Allah SWT telah memberikan hak kepada manusia sebagai khalifah Allah SWT untuk meneroka, mencari, memiliki dan memakmurkan harta. Ketiga, Allah SWT hanya membenarkan umat manusia mencari dan memiliki harta yang baik dari sumber yang halal. Keempat, Allah SWT telah mengingatkan manusia untuk menggunakan harta yang dimiliki dengan menunaikan tanggungjawab kepada mereka yang memerlukannya melalui zakat dan seterusnya yang kelima, Allah SWT mengalakkan umat manusia membelanjakan lebihan harta mereka dengan memperbanyakkan amalan sedekah sukarela seperti berwakaf. Atas dasar inilah, Islam membuka ruang yang seluasnya kepada individu yang memiliki harta mendekati dan mensyukuri nikmat Allah SWT dengan membantu golongan tertentu. Jadi, pemilik harta yang menahan harta tersebut ingin supaya harta miliknya itu tetap dapat diambil manfaatnya oleh orang lain dan mendapat keredaan Allah SWT.

            Bersandarkan pandangan tersebut, Islam menyarankan supaya setiap individu mencari harta dengan jalan yang betul dengan cara tolong menolong. Harta tersebut pula hendaklah diperolehi melalui sumber-sumber yang halal dan dibelanjakan dengan cara terbaik bagi mencapai maksud qurba dan taqarrub. Saranan ini dibuat bagi menjamin supaya harta tersebut beredar secara meluas dalam pelbagai bidang kehidupan, memberi galakan kepada muamalah kehartaan dan mengelakkan berlakunya kesukaran yang boleh melemahkan kegiatan ekonomi. Dengan sebab inilah, Islam mencela sifat kedekut, bakhil, membazir, boros, mementingkan diri sendiri, tidak mengeluarkan zakat, memiliki dan membelanjakan harta dengan cara yang haram seperti yang dijelaskan dalam dua ayat al-Qur’an seperti berikut.

 

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu” (al-Baqarah, 2:168).

 

 “Dialah yang menjadikan bumi bagimu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata penjurunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah kamu dibangkitkan hidup semula” (al-Mulk, 67:15).

 

Bersandarkan ayat al-Qur’an, surah al-Baqarah, 2:177, 2:261, 2:272, 2:274 dan al-Isra, 17:26, Islam mewajibkan penyaluran zakat. Islam turut menggalakkan umatnya membelanjakan lebihan harta kekayaan mereka dengan berlumba-lumba mengejar kebaikan melalui derma atau sedekah. Tanggung jawab ini adalah berasaskan kepada premis bahawa Allah SWT sebagai Pencipta dan Pemilik mutlak harta kekayaan seperti firman-Nya yang bermaksud:

 

“Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” (al-Maidah, 5:17).

 

“Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak mengujimu pada apa yang dikurniakan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (al-An’am, 6:165).

 

Oleh itu, apa jua yang manusia perolehi daripada usahanya adalah atas sifat kasih Allah SWT seperti yang dijelaskan dalam firmanNya yang bermaksud:  

 

“Siapakah yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah SWT sebagai pinjaman yang baik supaya Allah SWT melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya. Dan Allah SWT menyempitkan dan meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNya kamu semua dikembalikan” (al-Baqarah, 2:245).

 

Sementara mereka yang mempunyai kelebihan harta atau dana dianjurkan untuk mengembangkannya dengan cara membuat pelaburan yang bersifat produktif. Bersandarkan kaedah fiqh iaitu,” tiada untung tanpa risiko”, pelaburan harta boleh dibuat misalnya menerusi kaedah musharakah dan mudharabah. Allah SWT mengecam mereka yang membiarkan, dan tidak memanfaatkan hartanya. Bukti ini dapat dilihat daripada dalil al-Qur’an seperti berikut;

 

   “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita dan ahli-ahli agama memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (at-Taubah, 9:34).

 

Setiap individu juga perlu memerhatikan halal dan haram pelaburan tersebut. Riba, gharar dan perjudian adalah tidak dibenarkan oleh syarak. Bagi mereka yang mensyukuri nikmat, Allah SWT akan menambahkan lagi seperti firman-Nya yang bermaksud;

 

“Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Ibrahim, 14:7)

 

Dalam hal ini, Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi mereka yang sanggup membelanjakan harta benda ke jalan-Nya. Allah SWT berfirman yang maksudnya:

 

“Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah (perbelanjaan derma) ialah seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui”. (al-Baqarah, 2:261)

 

Dalam membelanjakan harta dan kekayaan, Allah SWT juga mengingatkan manusia supaya sentiasa berlaku jujur dan amanah. Setiap tanggungjawab manusia terhadap harta akan ditanya di akhirat kelak seperti yang diingatkan-Nya dalam ayat berikut

 

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil”. (al-Ahzab, 33:72).

 

Allah SWT melarang sekeras-kerasnya dan menjanjikan seksaan yang pedih kepada mereka yang tidak berlaku jujur dan bersifat amanah dengan menyimpan kekayaan seperti yang diceritakanNya dalam kisah kebakhilan dan kealpaan Qarun, dan kisah keengganan Tsa’labah bin Hathib Al Anshari menunaikan zakat. Antara perbelanjaan secara sukarela yang digalakkan oleh Islam termasuklah amalan berwakaf. Amalan berwakaf ini memberi peluang yang luas kepada individu yang memiliki harta untuk mendekati dan mensyukuri nikmat Allah SWT dengan membantu golongan yang memerlukan bantuan. Selain itu, wakaf juga berperanan dalam menyusun dan membangunkan kekuatan ummah serta kesejahteraan masyarakat dengan menekankan kepada prinsip keadilan dan muafakat (al-adl wal ihsan).

 

KEWUJUDAN WAKAF DARIPADA PERSPEKTIF AL-SUNNAH

Dilihat daripada perspektif al-Hadith pula, terdapat bukti menunjukkan bahawa Rasululullah SAW bukan sahaja sangat menggalakkan amalan berwakaf, tetapi Baginda Rasululullah SAW sendiri mengamalkannya sehingga menjadi ikutan dan contoh di kalangan para sahabat dan kaum muslimin.

Pembinaan Masjid Quba dan Masjid Nabawi yang berasaskan kepada ketakwaan kepada Allah SWT semasa Rasululullah SAW berhijrah ke Madinah, membuktikan betapa pentingnya fungsi wakaf dalam kehidupan masyarakat Islam. Malah, wakaf agama yang pertama dalam sejarah perundangan Islam ialah yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW dengan mewakafkan masjid Quba’ semasa baginda berhijrah ke Madinah. Masjid yang berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu dan pusat kegiatan sosioekonomi yang dibina di atas sebidang tanah wakaf telah memberikan sumbangan yang besar sebagaimana tercatat dalam sejarah perkembangan Islam di Madinah. Rasullullah SAW juga telah menyerahkan semua harta rampasan perang yang diperuntukkan kepadanya sebagai harta wakaf.

 

Gambar 1: Masjid Quba yang dibina berasaskan ketakwaan kepada Allah SWT

 

Selain itu, petikan dua buah hadis di bawah ini turut membuktikan bagaimana Rasululullah SAW sangat menggalakkan umat Islam untuk berwakaf. Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;

 

“Jika anak Adam telah meninggal, maka putuslah semua amalnya kecuali tiga; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan keduanya” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Hadith ini dituturkan di dalam bab wakaf kerana para ulama mengertikan sedekah jariah adalah sebagai wakaf. Wakaf ini merupakan salah satu amal yang sangat dituntut sekali dalam agama Islam kerana ianya termasuk amal sholeh yang pahalanya tak akan putus-putus diberikan Allah selama harta yang diwakafkan itu masih digunakan orang seperti yang dijelaskan di dalam hadith di atas. Menariknya, Murat Cizakca (1998) melihat ketiga-tiga elemen dalam hadith tersebut dalam satu kombinasi penting berkaitan wakaf. Tegasnya, umat Islam memerlukan institusi wakaf yang mampu melaksanakan ketiga-tiga amalan tersebut iaitu dana, ilmu dan anak yang soleh secara berterusan. Para sahabat meneruskan amalan berwakaf seperti wakaf oleh Umar ra yang sangat masyhur dan telah menjadi locus classicus di kalangan ulama’dan sarjana apabila membincangkan wakaf. Peristiwa ini disaksikan sendiri oleh anak-anak Saidina Umar ra termasuk anak perempuannya iaitu Hafshah.

   “Umar mendapat sebidang tanah di Khaibar. Dia mengadap kepada Nabi Muhammad saw untuk meminta musyawarah tentang tanah itu. Katanya, “Ya Rasulullah, aku mendapat tanah di Khaibar yang belumku dapatkan harta yang lebih berharga menurut pandanganku.” Sabda Rasulullah SAW, “Jika kamu suka tahankanlah asal harta itu dan sedekahkan hasilnya. Lalu, Saidina Umar ra menjadikan harta yang diperolehinya itu sebagai harta sedekah yang tidak boleh dijual, dibeli dan diwarisi. Saidina Umar ra menyedekahkannya kepada orang-orang fakir, kerabat, budak, sabilillah, Ibnu Sabil dan tamu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Hadith ini juga menunjukkan bagaimana Rasullulullah SAW telah mengajar umat Islam untuk menjana, memindahkan dan membelanjakan harta mereka seperti mana yang dijelaskan oleh Syed Othman Alhabshi (1986). Menurut beliau, Saidina Umar ra ingin melawan keinginan mencintai harta yang berlebih-lebihan itu dengan mencari jalan lebih baik yang dapat mendekatkan dirinya dengan Allah SWT. Maka, Rasululullah SAW telah menyarankan supaya Saidina Umar ra menahankan tanah yang dimilikinya di Khaibar itu dan hasilnya dijadikan sedekah yang berkekalan untuk manfaat umat manusia. Tegas Syed Othman Alhabshi (1986) lagi, tindakan Saidina Umar ra telah menunjukkan satu teori ekonomi yang sangat penting yang selari dengan ajaran al-Qur’an. Menurut beliau, wakaf mempunyai dua pendekatan ekonomi yang dapat meningkatkan nilai pelaburan jangka panjang. Pertama, kemampuan harta melalui pelaburan. Kedua, cara menggunakan harta, iaitu menggunakan hasilnya dan bukan harta itu sendiri. Konsep pemisahan antara hak pemilikan dan penggunaan inilah merupakan faedah yang hanya boleh dinikmati daripada harta wakaf berbentuk kekal. Ini kerana harta wakaf tidak bergantung kepada entiti pemilik yang bersifat sementara. Malah, Profesor Henry Cattan (1995) menegaskan bahawa bahawa konsep kekekalan wakaf merupakan konsep yang pertama disumbangkan oleh perundangan Islam yang berbeza dengan konsep wakaf atau endowment yang wujud sebelum datangnya Islam. Kedua-dua sifat harta tersebut telah membuktikan bahawa amalan berwakaf bukan sahaja merupakan ibadat yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan pahala yang besar, tetapi dalam masa yang sama, wakaf juga memainkan peranan sebagai mekanisme pelaburan bagi menghasilkan sumber pembiayaan dalam jangka masa panjang. Buktinya, Saidina Umar ra telah mewakafkan sebidang tanah di Palestin semasa hidupnya lebih daripada 1000 yang lalu. Tanah tersebut masih kekal dan manfaatnya masih dinikmati sehingga hari ini oleh cucu cicitnya.

Selepas peristiwa tersebut, Imam Shafie menyebut bahawa seramai 80 orang sahabat Rasulullah SAW daripada kaum Ansar telah berwakaf, termasuklah Saidina Ali ra yang telah mewakafkan rumah dan tanahnya di Mesir. Sementara itu, Saidina Umar ra, Saidina Abu Bakar ra, Saad, Arqun, dan Zubair telah mewakafkan rumah masing-masing di Mekah dan di Madinah kepada Badan Amanah. Perbuatan Saidina Umar ra ini telah menjadi asas kepada pewujudan amalan wakaf am. Wakaf telah menjadi amalan yang direbut-rebut dalam kalangan sahabat Rasululullah SAW dan juga kaum muslimin seperti yang diceritakan oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya mengenai kisah Abu Talha dan kebun kurmanya di Bairaha seperti yang telah dibincangkan di atas.

PENSYARIATAN WAKAF MENURUT PERSPEKTIF IJMA ULAMA

Al-Qur’an dan al-Hadith telah menyediakan asas serta menjadi inspirasi dalam kalangan umat Islam yang membawa kepada pensyariatan wakaf. Seiring dengan kepentingan wakaf daripada sudut maqasidnya, para ulama menerusi kaedah ijtihad kemudiannya telah melengkapkan hukum dan pelaksanaan institusi wakaf sesuai sesuai dengan perkembangan serta perubahan masa. Konsep wakaf telah diperkemaskan lagi oleh para ulama’ yang merangkumi empat rukun wakaf, pengurusan wakaf di bawah seliaan mutawalli, penerima manfaat, dan hukum berdasarkan kepentingan wakaf dalam pembangunan sosioekonomi ummah.

Kepentingan wakaf daripada kaca mata golongan ulama ini misalnya jelas tercatat dalam kitab Tanbihul Ghafilin oleh Abullaits Assamarqandi. Antara lain beliau menghuraikan aktiviti yang memberi manfaat dan pahala yang berpanjangan seperti berikut:

 

“Yazid Arraqqasyi meriwayatkan dari Anas r.a. berkata: ‘Tujuh macam yang dapat diterima pahala sampai sesudah matinya: 1. Siapa yang membangun masjid maka ia tetap mendapat pahalanya selama ada orang sembahyang di dalamnya. 2. Siapa mengalirkan air sungai, selama ada yang minum daripadanya. 3. Siapa yang menulis mushaf ia mendapat pahala selama ada orang yang membacanya. 4. Orang yang menggali sumur (perigi) selama masih ada orang mempergunakan airnya. 5. Siapa yang menanam tanaman selama dimakan oleh manusia atau burung. 6. Siapa yang mengajar ilmu yang berguna, selama dikerjakan oleh orang yang mempelajari. 7. Orang yang meninggalkan anak salih mendoakan dan membaca istighfar baginya; yakni jika mendapat anak lalu diajari ilmu dan al-Qur’an, maka ayahnya akan mendapat pahalanya selama anak itu melakukan ajaran-ajarannya, tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri; sebaliknya jika dibiasakan berbuat lacur fasik maka ia mendapat dosanya tanpa mengurangi dosa orang yang berbuat sendiri”.

Sementara Jabir ra pula menyebut;

“Tiada seorangpun daripada sahabat Nabi SAW yang berkemampuan melainkan memberi wakaf. Ini telah menjadi ijma’, maka sesungguhnya orang yang mampu mewakafkan harta dari kalangan mereka telahpun melakukannya, dan masyhurlah yang demikian itu, kerana itu tiada seorangpun yang membantahnya, maka jadilah yang demikian itu ijma’.

Seiring dengan kepentingan wakaf dari sudut maqasidnya, para ulamak menerusi kaedah ijtihad telah memperkembangkan dan memperlengkapkan hukum dan pelaksanaan institusi sesuai dengan perkembangan dan perubahan masa. Amalan mewakafkan harta untuk tujuan kebaikan (taqarrub) dan mendekatkan diri kepada Allah swt (qurba) terus berkembang dan diterima sebagai salah satu sumber pembiayaan penting dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat di sepanjang sejarah ketemadunan Islam. Institusi wakaf telah menjadi pemangkin kepada keharmonian dan kesamarataan dalam pelbagai bidang kehidupan.  Malah, peranan dan sumbangan institusi wakaf telah menjadi mercu tanda kepada kehebatan lanskap Islam; daripada binaan yang hebat seperti Taj Mahal di India kepada jambatan Mostar di Bosnia, daripada masjid Al-Aqsa di Jerusalem kepada Universiti Al-Azhar di Mesir, daripada hospital kanak-kanak Shishi  di Istanbul, Turki kepada Pengairan Air Zubaida  di Mekah (Siraj Sait & Lim, 2006). Tegasnya, di seluruh dunia Islam yang luas, dari Atlantik ke Pasifik, hasil kerja senibina yang menakjubkan dan pelbagai perkhidmatan penting seperti kemudahan asas (tempat tinggal, makanan, sistem jaringan jalan raya dan perparitan), pendidikan dan kesihatan yang diperlukan masyarakat dibiayai sepenuhnya melalui institusi wakaf.

 

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, memang tidak dapat dinafikan terdapat persamaan yang ketara khususnya dalam penggunaan alat perundangan iaitu pelupusan hak milik harta dan manfaat dalam kedua-dua sistem perundangan trust dan sistem perundangan wakaf seperti yang dibincangkan. Namun begitu, penelitian secara terperinci menerusi kajian ini mendapati terdapat tidak kurang daripada sembilan perbezaan termasuk dari aspek falsafah pemilikan harta dalam kedua-dua institusi di atas. Sementara itu, dakwaan dan hujah yang diberikan khususnya daripada aspek struktur perundangan adalah bersifat longgar, superficial dan sukar diterima secara sejagat. Hujah dari perspektif kronologi sejarah pula membuktikan bahawa sistem perundangan wakaf telah wujud lebih daripada 500 tahun sebelum perundangan trust diperkenalkan oleh Fransiscan Friar di England. Hakikatnya, Fransiscan Friar sendiri yang pernah tinggal di wilayah Islam pada tahun 1219 dan 1220, membuktikan beliau mendapat inspirasi mengenai idea perundangan trust ini melalui institusi wakaf yang pada ketika itu telah berkembang subur di dunia Islam dan bukan sebaliknya. Tambahan pula, penubuhan Inns of Court yang menjadi tanda pemindahan institusi perundangan Madrasah Islam dari dunia Arab ke England dan seterusnya hasil penelitian ke atas struktur statut Merton College bertarikh 1264 telah memperkukuhkan lagi dakwaan bahawa amalan dan perundangan wakaf tidak dipengaruhi oleh perundangan trust. Ini sekaligus menunjukkan kegagalan sarjana-sarjana Barat untuk membuktikan bahawa amalan dan pewujudan perundangan wakaf adalah hasil daripada pengaruh serta inspirasi perundangan trust. Amalan dan pewujudan wakaf sebenarnya disyariatkan oleh Rasulullah SAW dengan dipandu oleh ayat-ayat al-Qur’an. Para ulamak, kemudiannya telah memperkukuhkan lagi perundangan wakaf ini menerusi kaedah ijmak, dan bukannya melalui perundangan trust seperti mana yang didakwa oleh sarjana -sarjana Barat.

 

[1] Kertas kerja ini dibentangkan di Kursus Pemantapan Pengurusan Endowmen@Wakaf 2019, Peringkat Kebangsaan, Anjuran Unit Endowmen, Bahagian Pemajuan, UTM bertempat di Grand Petra, Royal Widad Residensi@UTM, Kuala Lumpur pada 22 – 23 April 2019

[2] Dr. Razali Bin Othman adalah Pengarah, Pusat Pengurusan wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), UPM. Selain menjadi Timbalan Presiden, International Waqf Action Council (iWAQF), beliau juga dilantik sebagai Penyelidik Bersekutu di Pusat Pembangunan Pengurusan Islam (ISDEV), USM dan di Institut Kajian Zakat Malaysia (IKaZ), UiTM.

Tarikh Input: 29/04/2019 | Kemaskini: 29/04/2019 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 8993/6156
+603 9769 2048
C1573984372