ISLAM GALAKKAN AMALAN MEMBERI | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » ISLAM GALAKKAN AMALAN MEMBERI

ISLAM GALAKKAN AMALAN MEMBERI

Oleh: Kembara Mukmin
 
Orang yang berjaya dalam hidup sebenarnya mereka yang banyak memberi. Hakikat itu bukan saja dilihat dari sudut material semata-mata, malah turut terpakai dari sudut ilmu, iman dan takwa.
 
Mungkin kita mempersoalkan, bukankah memberi itu akan menjadikan apa saja yang ada pada diri seseorang itu akan berkurangan?
 
Islam adalah agama yang sangat sinonim dengan amalan memberi.
 
Lihat saja kepada sejarah hidup Rasulullah SAW yang sanggup mengorbankan tenaga dan harta Baginda untuk umatnya.
 
Sifat memberi Rasulullah SAW itu bukan setakat ketika Baginda dalam keadaan ketika memiliki saja malah ketika susah juga Baginda tetap memberi dengan penuh kesyukuran.
 
Baginda akan memberi tanpa berasa sedikit pun kekurangan.
 
Daripada Abu Hurairah, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berlalu hari-hari yang tatkala manusia berpagi-pagi melainkan turun dua malaikat dan satu malaikat berdoa: “Ya Allah, berilah ganti kepada orang yang membelanjakan (iaitu menderma atau menyedekahkan) hartanya. Kemudian malaikat yang kedua berdoa: Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil.” (Riwayat Bukhari)
 
Malah, Baginda juga pernah tidak tidur kerana memikirkan sekiranya masih ada wang berbaki yang belum disedekahkan.
 
Dari sudut keperibadian, Rasulullah SAW juga begitu terkenal dengan sifat kemaafan. Ketika peristiwa pembukaan kota Makkah (Fath al-Makkah), Baginda memberi kemaafan kepada pemimpin kafir Quraisy.
 
Jika hendak diikutkan, apa guna memberi kemaafan kepada golongan yang pernah menyakiti hati, melakukan kezaliman serta pernah berusaha untuk membunuhnya.
 
Namun, itulah kehebatan serta keperibadian tinggi yang dimiliki Rasulullah SAW. Semua perbuatan buruk dan jahat yang pernah dilakukan orang kafir Quraisy terhadap Baginda terus dilupakan.
 
Justeru, setiap Mukmin digalakkan untuk sentiasa berusaha bersifat pemurah. Allah SWT berikan kepada kita harta, maka sebahagiannya perlu disedekahkan.
 
Begitu juga, Allah SWT kayakan diri dengan ilmu pengetahuan dan dengan nikmat itu, seorang itu perlu berkongsi ilmu berkenaan dengan cara mengajarnya kepada orang lain serta berdakwah kepada masyarakat.
 
Dikurniakan juga kepada kita nikmat iman supaya kita sentiasa melakukan kebaikan dan berkasih sayang sesama manusia.
 
Allah SWT bukan saja memerintahkan seluruh hamba-Nya supaya menjadi baik tetapi mesti juga menyebarkan serta memberi kebaikan.
 
Daripada Jabir bin Abdullah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” (Riwayat al-Baihaqi)
 
Apabila tibanya Ramadan, Rasulullah SAW memperhebatkan bulan itu dengan amalan sedekah malah sifat memberi Baginda lebih terserlah.
Daripada Ibnu Abbas, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW orang yang paling pemurah, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan tatkala Baginda bertemu Jibrail.
 
“Jibril akan memenuhi malam Ramadan dengan bertadarus al-Quran, sedangkan Rasulullah SAW apabila bertemu Jibrail, Baginda lebih pemurah menyumbangkan kebajikan malah lebih kencang daripada angin yang kencang.” (Riwayat Bukhari)
 
Antara hikmah berpuasa itu adalah untuk merasai kesusahan golongan miskin yang seterusnya mendorong umat Islam memberi bantuan kepada golongan tidak bernasib baik itu.
 
Sebab itu, pada bulan Ramadan umat Islam dianjurkan bersedekah dan memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa.
 
Sumber:
https://www.hmetro.com.my/addin/2018/05/339739/islam-galakkan-amalan-memberi

Tarikh Input: 31/08/2022 | Kemaskini: 01/09/2022 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
WXFbKAq~