INTEGRITI TUNJANG PENGURUSAN ZAKAT, GALAS AMANAH UMMAH
Oleh: Haris Dahlan
Dalam landskap ekonomi hari ini semakin mencabar, zakat bukan lagi sekadar ibadah tahunan, tetapi menjadi instrumen penting dalam menangani jurang sosial dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Institusi pengurusan zakat memikul amanah besar bukan sahaja untuk mengutip dan mengagih dana, tetapi memastikan setiap sen diuruskan sampai kepada yang berhak secara telus.
Perbincangan integriti dalam pengurusan zakat semakin mendapat perhatian, termasuk apabila masyarakat semakin peka terhadap isu ketelusan dan keberkesanan agihan. Kepercayaan masyarakat tidak datang sendiri, tetapi terbina apabila urusan dilaksanakan secara konsisten dan mematuhi peraturan serta prinsip syariah dengan baik.
Pertama, aspek kepatuhan syariah menjadi asas paling utama. Dalam pengurusan zakat, setiap keputusan bukan boleh dibuat secara sembarangan. Penentuan kelayakan asnaf, pengiraan had al-kifayah dan reka bentuk skim bantuan perlu melalui penelitian rapi.
Ini penting bagi memastikan zakat benar-benar sampai kepada golongan berhak seperti fakir, miskin dan mereka yang memerlukan sokongan untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.
Tanpa pematuhan syariah jelas, pengurusan zakat berisiko kehilangan asasnya sebagai satu ibadah. Lebih membimbangkan, ia boleh menjejaskan keyakinan pembayar zakat yang mengharapkan dana diurus dengan penuh amanah.
Justeru, setiap proses perlu berpandukan fatwa dan garis panduan ditetapkan agar tidak tersasar daripada tujuan sebenar zakat.
Pada masa sama, kepatuhan dari sudut tadbir urus juga memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan masyarakat. Ketelusan perlu diterjemahkan melalui amalan seperti audit berkala, pelaporan kewangan terbuka dan pemantauan dalaman berkesan.
Patuhi prinsip tadbir urus secara total
Apabila sistem pengurusan jelas dan boleh dipertanggungjawabkan, ruang untuk ketirisan dapat diminimumkan. Lebih penting, ia membantu menepis persepsi negatif yang kadangkala timbul terhadap institusi zakat.
Dalam era maklumat tanpa sempadan, satu kelemahan kecil boleh memberi kesan besar kepada reputasi. Oleh itu, pematuhan kepada prinsip tadbir urus baik bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan. Namun, pengurusan zakat baik tidak hanya diukur melalui laporan kewangan atau pematuhan prosedur, tetapi yang lebih utama ialah impak kepada penerima. Agihan zakat berkesan tidak berlaku secara rawak.
Ia memerlukan data tepat, pemantauan berterusan dan pendekatan bersasar. Dengan adanya sistem pangkalan data baik, institusi zakat dapat mengenal pasti keperluan sebenar asnaf dan merancang bantuan lebih berimpak.
Hakikatnya, pengurusan zakat bukan hanya soal angka dan laporan. Ia adalah amanah yang besar, membabitkan kepercayaan manusia dan tanggungjawab kepada Allah SWT. Setiap keputusan dibuat memberi kesan langsung kepada kehidupan penerima bergantung harap kepada bantuan berkenaan.
Dalam suasana ekonomi tidak menentu, peranan institusi zakat menjadi semakin signifikan. Oleh itu, integriti melalui pematuhan perlu terus diperkukuh, bukan sahaja untuk memastikan sistem berjalan dengan baik, tetapi juga untuk menjamin keadilan sosial dapat dirasai semua lapisan masyarakat.
Kekuatan sebenar institusi zakat terletak pada keupayaannya mengurus amanah dengan penuh integriti. Pematuhan konsisten bukan sahaja memastikan dana diuruskan dengan betul, malah menjadi asas kepada kepercayaan masyarakat.
Apabila kepercayaan ini kukuh, zakat akan terus berfungsi sebagai instrumen penting dalam membina masyarakat lebih seimbang, adil dan sejahtera.
Tarikh Input: 27/07/2026 | Kemaskini: 27/07/2026 | rizal_helmi
PERKONGSIAN MEDIA