INISIATIF WAKAF AIR BUKAN GANTI PERANAN KERAJAAN | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » INISIATIF WAKAF AIR BUKAN GANTI PERANAN KERAJAAN

INISIATIF WAKAF AIR BUKAN GANTI PERANAN KERAJAAN

INISIATIF WAKAF AIR BUKAN GANTI PERANAN KERAJAAN
 
 
 
 
PUTRAJAYA: Inisiatif Wakaf Air yang dilancarkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bukan bertujuan menggantikan peranan kerajaan dalam memberikan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat negara ini.
 
Sebaliknya, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata inisiatif dengan kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) itu menjadi satu alternatif dan pelengkap kepada perkhidmatan sedia ada.
 
Katanya, dengan memberi satu pilihan kepada semua pihak untuk menyumbang dengan penuh keikhlasan, inisiatif berkenaan dapat menyediakan perkhidmatan bekalan air yang lebih baik kepada golongan memerlukan, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
 
"Dana wakaf disumbang akan digunakan bagi membiayai projek perkhidmatan air, khususnya di kawasan luar bandar berskala kecil seperti penggalian perigi, penyelenggaraan dan pembelian pam air, penyediaan tangki air mini dan pemasangan paip sambungan dengan sesuatu projek tidak melebihi RM50,000.
 
"Saya berazam inisiatif ini akan membantu kerajaan menyediakan projek perkhidmatan air yang berskala besar seperti pembinaan projek Takungan Air Pinggiran Sungai, Loji Rawatan Air dan empangan bernilai jutaan ringgit," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada sesi Webinar Wakaf anjuran YWM dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kedah Siri 3 bertajuk Wakaf Air: Matlamat dan Harapan, di sini, hari ini.
 
Tuan Ibrahim berkata, keperluan terhadap air khususnya bekalan air bersih untuk dinikmati oleh rakyat adalah tanggungjawab yang perlu ditunaikan kerajaan.
 
Untuk itu, beliau mencadangkan supaya kementeriannya mengkaji kebolehlaksanaan mekanisme alternatif penyediaan perkhidmatan bekalan air bersih, terutama di kawasan luar bandar untuk komuniti kecil dengan membabitkan kos yang rendah.
 
"Instrumen wakaf dicadangkan kerana ia antara instrumen ekonomi Islam yang terbukti keberkesanannya sejak 1,500 tahun lalu.
 
"Wakaf membuka ruang yang luas kepada sesiapa saja untuk menyumbang dan berperanan dalam proses mensejahterakan kehidupan rakyat.
 
"Pelaksanaan Wakaf Air menepati Maqasid Syariah iaitu Hifzu al-Nafs kerana penyediaan air bersih adalah untuk menjamin kebersihan dan kesihatan hidup rakyat, tambahan pula air juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari," katanya.
 
Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lima projek perintis Wakaf Air di empat negeri membabitkan kos keseluruhan RM180,500 di beberapa lokasi sekitar Selangor, Perak, Pahang dan Johor.
 
Lima projek perintis Wakaf Air itu adalah di Kampung Sungai Congkak, Hulu Langat dan Kampung Sungai Sendat, Ulu Yam, Hulu Selangor di Selangor; Kampung Melayu Seelong, Senai, Johor; Kampung Batu Balak, Jerantut, Pahang dan Manjung, Perak.
 
Sumber: BH Online
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/782555/inisiatif-wakaf-air-bukan-ganti-peranan-kerajaan
 
 
 

Tarikh Input: 26/02/2021 | Kemaskini: 11/05/2022 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEYAAk~