INISIATIF LAHIRKAN ASNAF CEMERLANG | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » INISIATIF LAHIRKAN ASNAF CEMERLANG

INISIATIF LAHIRKAN ASNAF CEMERLANG

Mutakhir ini banyak kedengaran rungutan umat Islam mengenai nasib asnaf zakat terutama golongan fakir dan miskin yang dikatakan tidak mendapat perhatian sewajarnya. Apakah benar dakwaan ini dan apakah peranan zakat dalam mendidik golongan ini?

TIDAK dinafikan bahawa golongan fakir dan miskin termasuk kumpulan paling utama ditentukan Allah SWT untuk menerima pembahagian harta zakat. “Sesungguhnya sedekah-sedekah itu (zakat) adalah untuk golongan fakir dan miskin,” (at-Taubah: 60)

Ulama Fikah (fuqaha) merumuskan bahawa asnaf fakir dan miskin hendaklah diberikan keutamaan dalam pengagihan wang atau harta zakat. Maka, jika ada dakwaan yang mengatakan fakir dan miskin terabai, hal itu hendaklah disiasat dengan penuh rapi.

Ini kerana mengabaikan golongan fakir dan miskin bererti mengabaikan perintah dan tuntutan Allah SWT. Malah fuqaha menyatakan, seandainya mahu memindahkan wang zakat keluar daerah atau negeri sekali pun, antara syarat utamanya hendaklah dipastikan terlebih dahulu golongan fakir dan miskin di tempat asal telah disantuni secukupnya.

Jika masih ada yang memerlukan, maka adalah ditegah ia disalurkan kepada orang yang berada di luar kawasan daripada mana harta zakat itu diperoleh.

Dalilnya, ketika Nabi Muhammad SAW mengutuskan Sayidina Muadz bin Jabal r.a. ke Yemen, Nabi berpesan kepadanya: “(Nanti di Yemen) kamu ambillah daripada harta kekayaan mereka (penduduk yang kaya sebagai zakat) dan kamu agihkan kembali kepada orang fakir (dan miskin) dalam kalangan mereka (penduduk Yemen),” - Muttafaqun ‘Alaih

Di samping itu, berdasarkan amalan pengagihan zakat di Selangor, statistik menunjukkan bahawa kumpulan asnaf fakir dan miskin adalah kelompok yang paling banyak menerima agihan zakat saban tahun selain golongan fisabilillah.

Misalnya pada 2013, kumpulan fakir dan miskin mendapat santunan sebanyak RM177.6 juta daripada keseluruhan agihan zakat yang berjumlah RM463.5 juta (38.3 peratus).

 

Suntik Kesedaran

Antara langkah yang diambil Zakat Selangor dalam usaha memberi didikan kepada fakir dan miskin ini adalah dengan meminta mereka menghadiri kelas pengajian agama atau mengikuti kursus-kursus bersesuaian yang diadakan.

Penumpuan juga diberikan kepada generasi kedua asnaf yang merupakan anak-anak mereka dengan menyediakan pelan pendidikan lebih komprehensif. Alhamdulillah, setakat ini sudah dilihat kesannya.

Bagaimanapun, usaha yang dilakukan Zakat Selangor mahu pun mana-mana pusat zakat, hanya akan menampakkan hasil sekiranya asnaf itu sendiri berkemahuan untuk mengubah nasib diri mereka.

Perkara ini selari dengan firman Allah SWT yang mengingatkan: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka sendiri yang berusaha mengubah apa (keadaan) yang ada pada diri mereka sendiri.” (ar-Ra’du: 11)

Malah, Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menegur seorang sahabatnya, dengan memerintahkannya mencari kayu api dan menjualnya bagi mendapatkan rezeki dan dengan itu juga, dapat mengelakkan dirinya daripada terus meminta-minta.

Sementara itu, masyarakat juga boleh bersama membantu pusat zakat dalam mendidik golongan asnaf dengan menjadi mata dan telinga serta mata rantai untuk sentiasa memberikan laporan bagi memperbaiki jati diri asnaf. Ini kerana, masyarakat setempat adalah lebih dekat dengan komuniti.

Sebagai contoh, pihak ahli jawatankuasa (AJK) masjid boleh mewujudkan kelas bimbingan khas kepada asnaf, dan memantau kehadiran mereka. Ini kerana, adalah tidak wajar jika pihak asnaf hanya datang menemui AJK masjid khususnya nazir atau pengerusi surau hanya semata-mata untuk mendapatkan pengesahan diri sebagai ahli kariah sahaja.

Usaha memperkasa asnaf fakir dan miskin untuk berdikari adalah tugas yang sangat berat. Ini kerana, Nabi Muhammad SAW sendiri menegaskan, baginda tidak begitu bimbang dengan kemiskinan harta tetapi baginda lebih bimbangkan kemiskinan jiwa.

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/mega/agama/mendidik-asnaf-zakat-1.352991#ixzz5SMn8HoAn

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tarikh Input: 27/01/2019 | Kemaskini: 27/01/2019 | nuruliman

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 8993/6156
+603 9769 2048
C1571471275