INFO WAZAN : SOAL JAWAB QADA ZAKAT | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » INFO WAZAN : SOAL JAWAB QADA ZAKAT

INFO WAZAN : SOAL JAWAB QADA ZAKAT

 
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
 
Soalan :
 
Selama ini saya tidak pernah membayar zakat. Jika dihitung, kira-kira 30 tahun saya langsung tidak membayar zakat, sama ada zakat pendapatan atau mana mana zakat harta. Saya pernah menerima teguran Allah, namun saya masih leka dengan kemewahan yang saya nikmati. Sehingga kini, perniagaan yang saya bina sejak tahun 2000 mula merundum. Sehinggalah saya mendengar sebuah kuliah zakat, lalu saya sedar dan insaf bahawa saya tidak menunaikan zakat pendapatan seperti yang diperintahkan-Nya. Bagaimana cara saya hendak mula membayar zakat? Bila dan bagaimana saya hendak mula qada zakat yang tertunggak?
 
 
Jawapan :
 
Semoga Allah SWT sentiasa memberikan pertunjuk-Nya dan membimbing kita menuju kejayaan. Alhamdulillah jika sudah ada cetusan perasaan dan kesedaran dalam kewajipan zakat. Ini adalah tepat dan sudah pasti ia dinamakan qada zakat. Bahkan jumhur ulama menyatakan, berdosa besar bagi sesiapa yang sudah cukup syaratnya namun melengahkan zakat. Maka, apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang baharu insaf atau tersedar atas kesilapan, adalah seperti berikut :
 
  1. Menghitung kembali segala kekayaan cukup syaratnya yang lalu dan menunaikan zakatnya hari ini juga.
  2. Jika dia mampu, maka diqada secara tunai. Jika tidak mampu, qadalah secara beransuran.
  3. Dalam masa yang sama, wajib baginya memohon ampun (bertaubat) atas kelekaan.
  4. Menjaga agar tidak leka lagi dalam menunaikan kewajipan zakatnya pada setiap tahun.
 
Dalam kes saudara, saya dapat membayangkan sedikit sebanyak kekangan yang ada. Namun percayalah, ambillah gesaan Allah SWT : “Dan apabila engkau telah mempunyai ketetapan hati (keazaman) maka berserah dirilah kepada Allah (akan natijahnya). (ali-‘Imran: 159).
 
Nabi turut berpesan, daripada Abu Hurairah r.a yang maksudnya : Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.(riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)
 
Tunaikan qada zakat itu walaupun dengan jumlah RM50 sebulan, inshaAllah, jika saudara ikhlas dengan benar-benar mengharapkan keampunan dan keberkatan daripada Allah, maka Allah SWT Maha Berhak memberikannya tanpa sesiapa pun lagi dapat menahannya.
Semoga dengan berzakat, perniagaan saudara kembali pulih dan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda, InshaAllah. Wallahua’alam
 
Fatwa Di Bawah Seksyen 47, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003:
Hukum Qada’ Zakat: Ia wajib dilakukan bagi zakat yang telah memenuhi syarat wajib tetapi tidak ditunaikan pada masa yang sepatutnya.
 
NISAB 2021: RM 19,610
 
==
 
Bagaimana Cara Menunaikan Zakat di UPM?
 
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Kaunter WAZAN DITUTUP kepada semua pelanggan, urusan pembayaran zakat hanya dilakukan secara atas talian sahaja.
 
Klik https://bit.ly/3fG1Ra9 untuk menunaikan zakat anda. Anda juga boleh mengimbas KOD QR yang tertera dalam e-poster.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi di En. Aiman (011-29232379) / En.Afiezee (019-6925923) atau Hotline WAZAN (010-7898566) atau layari http://www.wazan.upm.edu.my
 
Semoga Allah S.W.T. menganugerahkan keberkatan, kesihatan dan kebahagiaan yang berkekalan kepada YBhg. Datuk/Datin/Prof./Dr./Tuan/Puan, seisi keluarga.
 
Sekian,
 
“Allahumma, ya Tuhan kami. Berkatilah mereka yang telah melaksanakan tuntutan berzakat dan menyayangi Fakir Miskin, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka” Amin ya Rabb al-‘Alamin”.
 
--
 
"Wakaf dan Zakat, Membawa Berkat"
 
Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor

Tarikh Input: 30/07/2021 | Kemaskini: 17/03/2023 | mazrol

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEaNAN~