INFO WAZAN : DAPAT DUIT GRATUITI TAKNAK BAYAR ZAKAT LAGI? | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » INFO WAZAN : DAPAT DUIT GRATUITI TAKNAK BAYAR ZAKAT LAGI?

INFO WAZAN : DAPAT DUIT GRATUITI TAKNAK BAYAR ZAKAT LAGI?

INFO WAZAN : DAPAT DUIT GRATUITI TAKNAK BAYAR ZAKAT LAGI?
 
Oleh:
Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Perunding Dakwah
Zakat Selangor (MAIS)
 
 
SOALAN 1:
Jika saya dapat duit gratuiti RM300 ribu dan terus masuk ke dalam Tabung Haji, adakah saya masih perlu bayar zakat pendapatan?
 
JAWAPAN:
Gratuiti adalah sebahagian daripada harta pendapatan yang wajib dizakatkan atas nama zakat pendapatan.
 
Zakat pendapatan adalah zakat yang tidak dikenakan syarat haul (menunggu setahun pemilikan) untuk dizakatkan, maknanya dapat sahaja gratuti wajiblah segera dizakatkan.
 
Oleh itu, bagi yang mendapat gratuity langsung sahaja membayar zakatnya sebanyak 2.5% dan selepas itu baharulah menyimpan di Tabung Haji atau di mana sahaja.
 
==
 
SOALAN 2:
Tapi Ustaz, bukankah Tabung Haji juga akan menolak zakat dari wang berkenaan pada tahun itu dan jika saya mengeluarkan zakat pendapatan lebih awal maka akan berlaku dua kali zakat atas wang yang sama?
 
JAWAPAN :
Sebenarnya bila wang disimpan di dalam Tabung Haji atau di mana-mana sahaja institusi, maka kaedah pengiraanya telah pun ditetapkan iaitu dengan menolak terlebih dahulu jumlah simpanan yang telah dizakatkan.
 
Misalnya Abu pencen pada bulan Ogos dan mendapat RM300 ribu x 2.5% = RM7,500 telah dizakat sebagai zakat pendapatan oleh Abu pada bulan Ogos.
 
Maka dalam kiraan zakat atas keseluruhan simpanan pada haul atau hujung tahun nanti (selalunya pada bulan Disember), sila asingkan jumlah RM300 ribu itu, dan zakat simpanan hanya untuk baki yang belum dizakatkan.
 
Contoh kiraan Zakat Simpanan :
Baki pada hujung haul atau pada hujung tahun sebanyak RM500,000.00 – (Wang gratuiti yang telah dizakatkan RM300,000.00) = RM200,000.00 x 2.5% + RM5,000.00 (Jumlah Zakat)
 
==
 
SOALAN 3:
Jika saya masih tidak mahu mengeluarkan zakat semasa mendapat gratuiti dengan alasan ia telah dikeluarkan oleh Tabung Haji apa risikonya?
 
 
JAWAPAN :
Pertama, perbuatan itu bercanggah dengan ketetapan syarak dan fatwa bahawa zakat pendapatan wajib ditunaikan sejurus wang itu diperolehi (tanpa menunggu setahun) yakni ia tidak mempunyai haul.
 
Kedua, risiko kematian. Jika orang berkenaan meninggal dalam keadaan wang itu belum dizakatkan dan Tabung Haji juga belum mengira zakatnya, lalu diterima oleh waris dan diagihkan sesame meraka sebagai pusaka, maka dosanya ditanggung oleh si mati. Ini kerana wang itu masih belum dizakatkan semasa dia hidup.
 
Artikel disunting oleh:
Seksyen Dakwah dan Pemasaran
Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 23/02/2021 | Kemaskini: 24/02/2021 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
WXFbKAp~