HIKMAH DAN FAEDAH ZAKAT | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » HIKMAH DAN FAEDAH ZAKAT

HIKMAH DAN FAEDAH ZAKAT

HIKMAH DAN FAEDAH ZAKAT
 
Sepertimana kita sedia maklum, hukum menunaikan zakat adalah Fardhu Ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib. Zakat mempunyai hikmah dan faedah yang banyak serta memberi kebaikan kepada pengeluar zakat dan juga penerimanya. Di antara hikmah dan faedah berzakat adalah seperti berikut:
 
  1. Amalan berzakat boleh membiasakan diri pengeluarnya supaya bersifat pemurah dan suka mengerjakan ibadah qurban. Amalan itu juga boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil. Hakikat ini dapat dirasai oleh pengeluar zakat dan dia juga menyedari bahawa zakat itu lebih ketara kepada penambahan harta daripada menguranginya. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
            Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangi harta”. Riwayat Muslim.
 
  1. Zakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain. Apabila kesedaran ini wujud dalam masyarakat, setiap orang Islam mampu menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat kepada pihak yang berhak menerimanya. Ianya dapat dilihat betapa eratnya jalinan kasih sayang sesama individu di kalangan orang Islam dan masyarakat keseluruhannya.
 
  1. Zakat berperanan untuk memastikan sesebuah anggota masyarakat itu menjadi lebih sempurna. Meskipun begitu, terdapat pelbagai keadaan dan unsur-unsur yang memperluaskan jurang perbezaan taraf sosial di dalam golongan yang memerlukan bantuan serta golongan asnaf yang layak. Zakat juga berfungsi memelihara masyarakat daripada jurang perbezaan taraf sosial yang ketara.
 
  1. Zakat memainkan peranan penting dalam menangani masalah pengangguran. Antara sebab utama yang menyumbang kepada pengangguran ialah kemiskinan. Orang yang miskin tidak mempunyai modal yang minimum untuk menjalankan sesuatu perusahaan atau pekerjaan. Oleh itu, jika sistem zakat berjalan mengikut haknya, sudah tentu orang yang miskin berhak menerima bahagiannya dan membolehkan mereka menjalankan perusahaan yang dirancang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan yang ada pada mereka.
 
 
  1. Zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki. Walau bagaimanapun, sifat tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat jika tiada lagi sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati. Fenomena ini bukan hanya propaganda yang dilaung-laungkan sahaja, malah ia telah menjadi satu realiti yang nyata dan bukan fantasi yang direka. Apabila zakat dilaksanakan, hasilnya akan jelas kelihatan dan kesannya yang menakjubkan.
Oleh itu, ia dapat membersihkan jiwa daripada sifat hasad dengki dan iri hati serta mengeratkan hubungan persaudaraan sekalipun mereka berbeza dari segi kemewahan dan kekayaan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk). (Surah al-Taubah: 103)
 
  1. Syeikh Ali al-Jarjawi dalam bukunya, Hikmah al-Tasyri’ wa Falsafatuhu berkata: “Antara hikmah menunaikan zakat ialah membawa kepada keamanan dalam negara. Beliau memberi banyak alasan dan hujah bagi membenarkan kenyataan tersebut yang jelas menunjukkan bala menimpa masyarakat, negeri, negara dan tempat di mana pengabaian untuk mengeluarkan zakat berlaku. Natijah yang lebih parah lagi membawa kepada pembunuhan, jenayah, pencurian dan juga ramai yang ditangkap dan dimasukkan ke penjara kerana sebab harta benda dan kewangan.”
 
  1. Amalan berzakat dapat mencapai keimanan yang sempurna. Rasulullah SAW bersabda, “Salah seorang di antara kalian tidaklah beriman (dengan iman sempurna) sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri”(HR. Bukhari: 13). Perkaitannya dengan amalan berzakat adalah tanpa kita sedari, seseorang itu tidak mementingkan dirinya sendiri, malah membantu dalam meringankan beban yang ditanggung oleh golongan yang memerlukan.
 
  1. Amalan berzakat dapat menenangkan hati. Berzakat melatih umat Islam untuk ikhlas dalam menunaikannya. Jika dilakukan dengan ikhlas dan tanpa paksaaan, ianya memberikan ketenangan hati kepada pembayarnya.
Semoga dengan kita memahami hikmah dan rahsia pensyariatan zakat menjadikan kita benar-benar faham erti zakat dan faedah disebalik zakat tersebut.
 
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Tokopedia.com

Tarikh Input: 30/04/2021 | Kemaskini: 30/04/2021 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
BVMCOZV:14:25