Ganjaran Sedekah Bantu Pejuang Ilmu | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Ganjaran sedekah bantu pejuang ilmu

Ganjaran sedekah bantu pejuang ilmu

Ganjaran sedekah bantu pejuang ilmu
 
 
Isu pelajar universiti yang terpaksa mengikat perut dan berlapar kerana kekangan kewangan mendapat perhatian masyarakat kerana golongan itu juga boleh dianggap sebagai kumpulan fisabilillah kerana sedang berjuang menuntut ilmu.
 
Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz, berkata perlunya bantuan disalurkan kepada golongan ini bagi memastikan keperluan mereka dalam menuntut ilmu tidak terbantut.
 
“Tanpa ilmu, alam akan terbengkalai dan tidak mampu dibangunkan manusia. Islam mengambil berat aspek ilmu menjadikan semua usaha memesatkan pembangunan ilmu disokong penuh Islam.
 
“Cuma jangan hanya disempitkan pada pelajar agama. Ia merangkumi semua bidang ilmu, ter-utama ilmu kritikal seperti perubatan yang menampakkan penguasaan umat Islam masih kurang,” katanya.
 
Abdullah Bukhari berkata, banyak ganjaran daripada Allah SWT atas usaha yang dilakukan. Bersedekah bukan hanya terhad dalam bentuk wang, tetapi juga dengan memberi makanan.
 
“Makanan yang pelajar terima akan membuahkan tenaga dan ia berguna dalam usaha mereka menuntut ilmu. Bayangkan ganjaran pahala yang diberikan Allah SWT kepada orang yang membantu mereka,” katanya.
 
 
Nas sedekah
 
Abdullah Bukhari berkata, dalam al-Quran dan hadis juga banyak nas yang menyokong usaha murni ini justeru, ia sebenarnya boleh mendorong umat Islam turut bersedekah dalam bentuk makanan kepada yang memerlukan.
 
Allah SWT berfirman: “(Mereka juga memberi makan benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. Sesungguhnya kami memberi makan kepadamu kerana Allah semata-mata. Kami tidak menghendaki sebarang balasan daripadamu atau ucapan terima kasih.” (Al Insaan: 8-9)
 
Rasulullah SAW juga bersabda: “Wahai sekalian manusia, sebarkan (ucapan) salam, berilah makan (kepada yang memerlukan), sambunglah hubungan persaudaraan, solat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu semua akan masuk syurga dengan sejahtera.” (HR Ibn Majah).
 
Tambah Abdullah Bukhari, hadis seorang pelacur yang diberikan keampunan kerana memberi minum kepada anjing yang dahaga boleh dijadikan iktibar dan teladan kepada umat manusia .
 
“(Ada suatu hari) seekor anjing terjelir lidahnya kerana kehausan yang hampir membunuhnya. (Kelakuan si anjing diperhatikan) seorang pelacur Bani Israel. Pelacur itu pun menanggalkan kasutnya lalu menceduk air untuk anjing itu. Dia diampunkan disebabkan kejadian berkenaan.” (HR al-Bukhari).
 
Bagaimanapun pada masa sama, tambah Abdullah Bukhari, bersedekah makanan ada adab yang perlu dipatuhi, iaitu mesti memberikan yang terbaik.
 
Allah SWT berfirman: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali Imran: 92)
 
Allah SWT juga berfirman: “Wahai orang yang beriman! berbelanjalah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik, dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya, lalu kamu nafkahkan padahal kamu sendiri tidak akan mengambilnya, kecuali memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Al Baqarah: 267)
 
Jelas Abdullah Bukhari, apabila memberi bantuan atau sedekah, jangan sesekali menyakiti hati penerima dan mengungkit kembali pemberian itu.
 
Perkara ini ditegaskan Allah SWT dalam firman bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan menyebut dan menyakiti perasaan si penerima seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riak kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah SWT serta hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin. Mereka tidak mendapat sesuatu pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Al Baqarah: 264)
 
 
Harap doa penerima sedekah
 
Ditanya berkenaan mengharapkan doa penerima sedekah, Abdullah Bukhari berkata, tiada masalah kerana ia termasuk dalam tawassul dengan amal salih atau menggunakan amal salih kita sebagai perantara menyampai hasrat dan harapan kepada Allah SWT.
 
Allah SWT berfirman: “Hai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah SWT dan carilah jalan yang mendekatkan (diri) kepada-Nya dan berjuanglah pada jalan Allah SWT (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (Al Maaidah: 35)
 
“Memberi makan adalah perbuatan baik yang ada nilai pahala di sisi Allah SWT. Amal salih itu berguna dalam memudahkan Allah SWT memakbulkan doa kita.
 
“Kita boleh mengambil pengajaran daripada kisah tiga pemuda yang terperangkap dalam gua. Selepas mereka bertawassul dengan amal salih masing-masing, Allah SWT menyelamatkan mereka,” katanya.
 
Menyentuh sikap golongan atau individu berkemampuan yang sering menunaikan umrah dan menyumbang untuk pembinaan masjid, namun dalam aspek bersedekah kurang memberi perhatian, Abdullah Bukhari berkata, Muslim sebegini sebenarnya salah memilih keutamaan.
 
Katanya, perkara ini juga ditegur ulama tersohor, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya al-Rasul Wa al-‘Ilm (Rasulullah dan ilmu pengetahuan).
 
“Orang sebegini sibuk berbelanja membina bangunan, tapi lupa membina modal insan. Jika modal insan yang berilmu tidak dibantu, kelak bangunan masjid yang gah dibina tetap kosong kerana tiada insan yang membuat pengisian atau memajukannya.
 
“Sikap ini perlu diubah. Jangan hanya suka makan telur sehingga lupa mengeramkan telur supaya menetaskan lebih banyak anak ayam yang akan menggandakan jumlah telur pada masa hadapan,” katanya.

Tarikh Input: 08/11/2023 | Kemaskini: 08/11/2023 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEdDAV~