E-WALLET MEDIUM SEDEKAH RAMADAN ERA DIGITAL | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » E-WALLET MEDIUM SEDEKAH RAMADAN ERA DIGITAL

E-WALLET MEDIUM SEDEKAH RAMADAN ERA DIGITAL

E-WALLET MEDIUM SEDEKAH RAMADAN ERA DIGITAL
 
Oleh    : Dr. Syafila Kamarudin, syafila@upm.edu.my
          : Mohd Rizal Helmi A Razak, rizal_helmi@upm.edu.my
 
RAMADAN adalah bulan yang dinantikan oleh seluruh umat Islam di dunia. Bulan yang penuh dengan pengampunan dan bulan yang memberi peluang memperoleh ganjaran pahala berganda.
 
Selain daripada ibadah utama yang dijalankan seperti berpuasa, solat berjemaah, solat sunat tarawih, solat sunat witir, qiamullail dan tadarus al-Quran, infaq dan sedekah juga menjadi amalan yang sangat dinantikan oleh setiap umat Islam khususnya para dermawan yang senantiasa bersedia untuk berinfak bagi tujuan ihya’ Ramadan.
 
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 dan ayat 261:
 
  
Maksudnya: Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah WST, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
 
 
 
 
Maksudnya: ”Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah SWT, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah SWT akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya”.
 
Yakinlah, janji Allah SWT itu pasti bagi mereka yang memperbanyakkan sedekah di bulan Ramadan. Perkara ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:
 
 
  
  
“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan saat Baginda bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
 
Terdapat banyak kelebihan orang-orang yang berinfaq dan bersedekah pada bulan Ramadan, antaranya ialah:
 
  • Pahala yang berlipat ganda
  • Orang yang bersedekah akan mendapat naungan di hari akhirat
  • Sedekah memberi keberkatan pada harta
  • Adanya pintu Syurga bagi orang yang bersedekah
  • Bersedekah menyucikan orang yang berpuasa di bulan Ramadan
  • Bersedekah dapat memperkuat keimanan
  • Mampu bersyukur dengan hati yang berbahagia
 
Selain daripada infaq dan sedekah menggunakan wang tunai, pelbagai lagi kaedah boleh digunakan seperti yang telah diperkenalkan oleh masjid-masjid, surau-surau, pusat-pusat pengurusan sumbangan/sedekah dan NGO-NGO yang menjalankan urusan infaq dan sedekah ini. Salah satu medium terkini yang boleh digunakan untuk berinfaq dan bersedekah adalah menggunakan aplikasi e-wallet di telefon pintar masing-masing.
 
Penggunaan e-wallet dalam kalangan masyarakat dan penyedia perkhidmatan dalam era digital adalah semakin popular dan trend penggunaan ini dilihat semakin hari semakin meningkat. Dengan adanya e-wallet maka adalah amat mudah khususnya orang ramai melakukan transaksi atas talian termasuklah untuk berinfaq dan bersedekah. E-wallet juga dilihat berfungsi untuk menggantikan dompet fizikal supaya umat Islam boleh menunaikan ibadah infaq dan sedekah dengan lebih mudah dan tidak lagi perlu membawa wang tunai ke mana-mana. Pihak masjid misalnya, hanya perlu menyediakan kod QR di ruangan-ruangan masjid bagi memudahkan umat Islam untuk terus berinfaq dan bersedekah apabila mereka datang bersolat atau beraktiviti di masjid.
 
Penggunaan e-wallet dalam menunaikan ibadah sedekah ini dilihat mempunyai banyak kelebihan. Antara kelebihannya ialah seperti dapat membantu umat Islam dari aspek pengurusan kewangan yang lebih efisien dan selamat. Proses bersedekah pada bila-bila masa sahaja. Manakala urusan mereka yang menguruskan dana-dana sedekah juga memperoleh kelebihan daripada penggunaan e-wallet ini. Ianya dilihat akan memudahkan urusan pengiraan kutipan harian tabung tersebut. Disamping itu juga, ianya dapat mengurangkan kejadian-kejadian duit tabung dicuri dan dilarikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
 
Apabila dilihat senario penggunaan e-wallet  ini, ia lebih meluas jika digunakan dalam kalangan masyarakat yang tinggal di bandar dan sub bandar juga. Pihak pengurusan masjid, surau, pusat pengurusan sumbangan dan sedekah yang berada diluar bandar perlu menyediakan kod QR kepada para jemaah untuk mereka berinfaq dan bersedekah.
 
Jika dilihat banyak masjid, surau dan pusat-pusat pengurusan yang berada di bandar telahpun memulakan perkhidmatan kod QR ini seperti di Masjid UPM dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM kepada orang ramai membuat bersedekah lebih-lebih lagi di bulan yang dijanjikan dengan ganjaran pahala berganda ini dengan mudah.
 
Kesimpulannya, kini ibadah berinfaq dan bersedekah boleh dilakukan dengan apa jua medium. Namun medium e-wallet adalah salah satu medium yang menjadi pilihan masyarakat digital pada masa kini. Justeru, pihak masjid, surau dan pusat-pusat pengurusan sedekah perlu menyediakan kod QR. Hal ini adalah sebagai galakan kepada umat Islam untuk menjalani ibadah infaq dan sedekah dengan cara yang mudah selaras dengan arus pemodenan yang kita sedang lalui hari ini.

Tarikh Input: 30/03/2023 | Kemaskini: 03/05/2023 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
WXFbLAL~