Al-Quran Cahaya Kehidupan | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Al-Quran Cahaya Kehidupan

Al-Quran Cahaya Kehidupan

Al-Quran Cahaya Kehidupan

Pengenalan

Al-Quran merupakan anugerah dan mukjizat terhebat yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W. Sesungguhnya Al-Quran ialah kalam Allah yang berperanan sebagai petunjuk ke jalan kebenaran kepada semua manusia. Rasulullah S.A.W telah berpesan kepada semua manusia akan peri pentingnya pegangan yang kukuh kepada kitab Allah ini sebagaimana berikut:

“Aku tinggalkan 2 perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Al Quran dan sunnahku”.

Kesempurnaan Al-Quran sebagai rujukan kepada semua hamba Allah termasuklah manusia dan jin telah meliputi seluruh aspek kehidupan seperti tauhid, ibadah, muamalat, munakahat dan sebagainya. Kesucian Al-Quran akan terus terpelihara daripada sebarang kerosakan oleh tangan-tangan mansuia yakni musuh Islam dan perkara ini dapat dibuktikan dalam surah al-Baqarah, Allah berfirman yang bermaksud

" Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa"

(Surah Al-Baqarah: 22)

Selain itu, tidak ada manusia mahupun jin yang mampu meniru atau menyerupai ayat-ayat suci Al-Quran kerana Allah akan terus menjaga kemuliaan Al-Quran sehingga hari kiamat.

”Dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah penolong-penolong kamu, selain Allah, sekiranya kamu orang yang benar."

( Surah Al Baqarah : 23 )

Oleh yang demikian, sebagai khalifah di muka bumi ini Allah telah menjadikan manusia sebagai pemimpin untuk meluaskan lagi syiar agama Allah. Penerokaan terhadap al-Quran belum pernah diteokai sepenuhnya oleh manusia. Hal ini jelas menjadi bukti akan kemegahan, kehebatan dan nilai estetika Al-Quran yang tiada tolok bandinganya.

Menyingkap lipatan sejarah Islam, kitab suci al-Quran telah diturunkan oleh Allah SWT pada bulan yang penuh keberkatan yakni bulan Ramadhan. Penurunan Al-Quran telah berlaku pada 17 Ramdhan di Gua Hira’ tahun ke 41 keputeraan Rasulullah S.A.W. dan malaikat Jibril telah menjadi perantara pada peristiwa ini. Nuzul al-Quran merupakan bukti kekuasaan Allah dan telah dijelaskan dalam firman-Nya yang mafhumnya:

" Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah "

(Surah al-Baqarah: 185)

Maka, dalam mencari keberkatan dan syafaat daripada Al-Quran manusia digalakkan untuk sentiasa menjadikan al-Quran sebagai sumber bimbingan dalam menjalanai kehidpan berpaksikan ajaran Islam yang hakiki. Allah telah menjanjikan ganjaran pahala yang amat besar kepada semua umat Islam kerana bukan sahaja membaca Al-Quran diberikan pahala. Tetapi, melihat huruf al-quran dan mendengar bacaan al-quran turut mendapat kebaikan daripada Allah SWT.

Dewasa ini, semakin ramai dalam kalangan kita yang berusaha untuk mempelajari al-Quran. Oleh itu, sebaik-baiknya pelajari al-Quran  dengan bimbingan daripada guru atau orang yang mahir dalam ilmu al-Quran. Segala alasan kesibukan kerja atau tidak boleh memahmi makna bacaan bukan satu penghalang untuk kita membaca al-quran. Sesungguhnya Allah telah menganjurkan hambanya untuk sentiasa berusaha mentadabur dan memahami makna dalam kalam Allah.

“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” 

(Surah Shad: 29)

 

Kelas Mengaji Al-Quran bersama WAZAN

Usaha dalam menyuburkan perasaan cinta akan al-Quran merupakan tangungjawab besar kepada semua umat Islam agar al-Quran tidak hanya menjadi hiasan dan diletakkan kosong di rak-rak masjid dan di rumah. Namun, alunan bacaan al-Quran perlu terus disemarakkan dimana sahaja demi memastikan kita sebagai  umat Nabi Muhammad S.A.W memperolehi syafaat di akhirat kelak.

 Oleh itu, menyedari hakikat dan kepentingan kitab suci Al-Quran maka usaha menyemai rasa cinta kepada kalam Allah telah berjaya dlaksanakan di Universiti Putra Malaysia menerusi program “Kelas Mengaji Al-Quran yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM.

Gambar 1: Majlis Perasmian Kelas Pangajian Al-Quran Zon 2 di HPUPM

Kesempurnaan ibadah khususnya membaca al-Quran memerlukan ilmu yang amat penting yakni ilmu tajwid, tafsir ayat, hukum mushaf, seni membaca al-quran seperti tarannum dan memahami ibrah dalam ayat al-Quran. Penerokaan terhadap keistimewaan kitab al-Quran merupakan satu bentuk ibadah yang amat penting dalam Islam kerana selain syafaat daripada Nabi Muhammad S.A.W, Al-Quran juga mampu memberikan bantuan kepada para pembacanya.

Setiap bait-bait ayat Allah yang termaktub di dalam al-Quran memberikan pelbagai pengajaran yang amat berharga kepada setiap muslim. Dalam pada masa yang sama menyuburkan minat membaca al-Quran dalam kalangan ahli keluarga meemerlukan ibu bapa sebagai suri teladan yang baik kepada anak-anak.

Berkat sokongan dan bantuan daripada pihak universiti, maka wazan telah berjaya menganjurkan program pengajian Al-Quran di kampus hijau ini. Kelas ini merupakan satu lagi langkah proaktif WAZAN dalam melaksanakan ibadah penting yang dianjurkan dalam Islam. Dalam kerangka merealisasikan usaha pelestarian cinta akan al-Quran, WAZAN telah menjalinkan kerjasama yang erat dan baik dengan pusat Al-Quran Al-Baghdadi. Pusat ini merupakan kelas pengajian Al-Quran yang cukup terkenal dengan tenaga pengajar yang berpengalaman dan berkaliber.

Kelas pengajian Al-Quran ini menjadi satu ruang dan peluang yang amat besar untuk membantu para staf universiti mempelajari al-Quran dengan lebih komprehensif. Secara langsung memudahkan staf untuk mempelajari al-quran tanpa sebarang kekangan masa, tempat atau kewangan. Pelancaran kelas pengajian al-Quran bagi tahun 2019 telah berjaya dirasmikan di Hospital Pengajar UPM dan melibatkan para peserta daripada kakitangan Fakulti Perubatan, HPUPM dan staf dari pusat tangungjawab yang lain. Pembukaan kelas pengajian al-Quran ini adalah zon 2 selepas pebukaan kelas pertama di Fakulti Sains pada akhir tahun 2018 lepas. Kelas pengajian zon 1 telah berjaya ditamatkan pada majlis penyampaian sijil kepada peserta pada 23 Januari lepas.

Gambar 2: Majlis Penyampaian Sijil Kepada Peserta Pengajian Al-Quran Zon 1

Sememangnya, pemantapan budaya membaca al-Quran mendapat sokongan yang amat baik. WAZAN amat menghargai kesudian para staf UPM untuk mengikuti kelas pengajian ini. Lakaran sejarah kejayaan kelas ini terus diluaskan lagi dengan pembukaan kelas pengajian al-Quran ini bagi zon 3 iaitu di Pusat Kaunseling UPM. Penglibatan peserta sangat memberangsangkan dan WAZAN terus komited untuk mebuka lebih banyak kelas al-Quran di seluruh kampus UPM.

Titik tolak penting dalam menjayakan program pembudayaan Al-Quran ini sebenarnya ialah hasil sumbangan para pembayar zakat di UPM. Hal ini kerana, kelas pengajian Al-Quran ini adalah diberikan secara percuma kepada semua staf. Kos pengajian mereka ditangung sepenuhnya oleh WAZAN bersumberkan kepada dana zakat. Oleh itu, hari ini kita dapat melihat dengan sangat jelas bagaimana manfaat zakat begitu luas dalam pembangunan Ummah. Ibadah berzakat tidak hanya tertumpu sebagai kewajipan seseorang muslim kepada perintah Allah seperti dalam Firman-Nya:

 “Jika mereka bertaubat, mendirikan sholat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui“

  (Surah. At-Taubah : 11)

“Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keridhaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang melipat gandakan (pahalanya”).

 (Surah Ar-Rum: 39)

Namun, ibadah zakat merupakan bukti kesempurnaan keimanan kita kepada Allah kerana dengan berzakat seseorang itu akan mensyukuri rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka. Umat Islam di era globalisasi yang kian mencabar hari ini perlu terus menamam kesedaran akan kepentingan berzakat agar penyucian harta dan pembersihan jiwa kepada yang Esa dapat terus dipacu. Sumbangan pembayar zakat di WAZAN UPM sudah pasti memberikan kebaikan kepada penerima sumbangan khsusunya para peserta kelas pengajian Al-Quran ini. Hanya doa dan kesyukuran dipanjatkan kepada Allah agar ganjaran yang baik dikurniakan kepada para penyumbang.

“Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan berdoalah untuk mereka“.

 (Surah. At-Taubah :103)

Salah satu kebaikan atau manfaat dana zakat ini telah diguna sebaik mungkin oleh WAZAN agar sumber zakat dapat menjadi tonggak kepada program keagamaan seperti pembukaan kelas mengaji al-Quran. Sambil menunaikan kewajipan para penyumbang dapat beramal dengan lebih menyeluruh. Di sinilah WAZAN memainkan perana yang besar dalam memastikan setiap zakat yang diterima akan mampu disampaikan semula kepada golongan yang layak menerima bantuan.

Secara keseluruhan, program kelas pengajian al-Quran ini dapat dibahagikan kepada dua kelas iaitu pertama kelas asas al-Quran dimana peserta akan diajar berkenaan pengenalan huruf, cara bacaan surah dengan betul dan pemahaman intipati ayat al-quran.

Kedua ialah kelas tajwid yang segi bahasanya bermaksud melakukan sesuatu dengan elok yang berasal dari perkataan Jawwada. Pada istilah syarak, tajwid adalah ilmu yang boleh mengenalkan tempat bagi tiap-tiap huruf dengan memberi apa yang patut baginya. Dari segi sifat-sifat huruf itu seperti menyatakan dan menyembunyikan. Perkara yang dimestikan bagi huruf-huruf itu dari sifat-sifat luar dari segi panjang, pendek, tebal, tipis dan sebagainya.

Peranan ilmu tajwid itu ialah menyampaikan dengan sedalamnya kesempurnaan tiap-tiap sebutan dari ayat al-Quran. Para ulama menyatakan  hukum bagi mempelajari tajwid itu adalah fardhu kifayah tetapi mengamalkan tajwid ketika membaca al-Quran adalah fardhu ain atau wajib kepada semua umat Islam. Sejajar dengan itu, kelas pengajian ini akan dapat menjaga 3 hak Al-Quran terhadap seorang muslim iaitu pertama hak membaca dan bertilawah kepadanya. Kedua, hak untuk menjiwai dan  memahaminya dan terakhir hak untuk beramal dengan seluruh isi kandunganya.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, usaha murni dalam membudayakan pembelajaran al-Quran di universiti akan terus dipacu oleh WAZAN dengan kerjasama semua pihak. Setiap kejayaan para peserta program ini adalah hasil bantuan dan sokongan para penyumbang yang terus menyokong WAZAN bagi meningkatkan kutipan zakat. Setiap sumbangan yang disalurkan di bawah dana zakat ialah sedekah jariah yang pahalanya berpanjangan hingga ke akhirat kelak.

Semoga rasa cinta akan al-Quran akan terus disemai khususnya dalam kalangan staf dan pelajar di UPM. Setiap ilmu al-Quran yang diperolehi oleh mereka sepanjang pengajian ialah ilmu yang amat bermanfaat dan perlu dikongsikan kepada keluarga dan masyarakat Islam amnya. Terbuktilah setiap ibadah itu adalah berkait rapat dalam meyempurnakan iman dan takwa kita kepada Allah SWT. Berkat dana bersumberkan zakat maka ibadah mentadabbur Al-Quran turut berjaya disemai demi mendapatkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Disediakan Oleh:

Ibrahim bin Latola

Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 31/05/2019 | Kemaskini: 31/05/2019 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDcVAe~