WAZAN Sediakan Pelbagai Dana Bantu Warga UPM | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» BERITA » WAZAN Sediakan Pelbagai Dana Bantu Warga UPM

WAZAN Sediakan Pelbagai Dana Bantu Warga UPM

SERDANG, 13 November – Pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) sentiasa bersedia menyediakan pelbagai initiatif dalam usaha mengambil berat kebajikan harian penuntutnya terjaga. Hal ini dapat membolehkan mahasiswa meraih keputusan cemerlang sepanjang tempoh pengajian mereka.

 

Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Razali Othman berkata, mentaliti mahasiswa yang suka mengambil pendekatan berdiam diri menyebabkan universiti sukar mengesan dan membantu mereka.

Katanya, kerjasama dengan pengurusan kolej kediaman dan persatuan pelajar perlu terus terjalin baik bagi memastikan maklumat berhubung bantuan disediakan sampai kepada penuntut yang memerlukan bantuan.

“Ada pelajar yang kurang berkemampuan mengambil langkah berdiam diri kerana malu meminta bantuan daripada pihak universiti.

“Bagaimanapun, sebaik kita berjaya mengesan dan memberi penerangan mengenai bantuan tertentu, penuntut akan menerimanya dengan baik,” katanya.

Pengurusan universiti menubuhkan tabung endowmen (pembiayaan), wakaf dan sumbangan yang disalurkan kepada penuntut daripada keluarga miskin sebagai insentif serta kemudahan untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup mereka.

Menerusi WAZAN di UPM, Dr Razali berkata, pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada pelajar yang kurang berkemampuan seperti bantuan sara diri, biasiswa, dermasiswa, yuran pengajian, mobiliti pelajar, kecemasan, musibah, keperluan peralatan pengajian, ziarah Ramadan, tiket pengangkutan balik kampung serta penyediaan kenderaan penuntut kurang upaya.

Beliau berkata, bantuan tidak terbatas kepada keperluan itu, tetapi juga untuk makanan percuma, minyak motosikal percuma, pinjaman tanpa faedah, penyediaan kitab di surau kolej dan fakulti serta bantuan pembiayaan program yang dikendalikan penuntut sama ada di kolej kediaman mahupun di fakulti pengajian.

Katanya, bantuan yang disediakan dapat membantu membiayai keperluan penuntut kurang berkemampuan supaya mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pengajian mereka di UPM.

“Sejumlah RM22 juta berjaya dikumpul daripada dana wakaf, zakat dan sumbangan umum sepanjang 2016 dan 2017.

“Lebih 7,000 pelajar kurang berkemampuan menerima pelbagai bentuk bantuan yang disediakan WAZAN,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Razali berkata, pihaknya sentiasa terbuka membantu meringankan beban kewangan penuntut dan membimbing siswa dari sudut kaunseling supaya tidak dibiarkan hidup menderita sehingga menjejaskan pengajian mereka hanya kerana kekangan kewangan.

Katanya, seharusnya penuntut yang kurang mampu bersyukur kerana masih ada pihak yang simpati terhadap masalah dihadapi mereka.

“Barangkali ada yang menyembunyikan penderitaan hidup, namun mereka perlu ingat mereka ialah harapan keluarga untuk menggapai segulung ijazah dengan keputusan cemerlang,” katanya.

Selain itu, WAZAN UPM bersama-sama Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) membantu pelajar menerusi Projek Dapur Rakyat (PDR) iaitu L’apprenti.

“PDR antara lain bertujuan menyediakan makanan pada harga berpatutan untuk penuntut manakala penuntut asnaf pula akan diberikan makanan secara percuma.

“Makanan yang disediakan bukan saja dimasak mereka yang berpengalaman, juga tahap kebersihan serta kandungan menunya dikawal rapi pensyarah yang pakar dalam bidang ini,” katanya.

Jelas beliau lagi, WAZAN juga akan membekalkan mesin pembuat aiskrim sebagai kudapan kepada warga UPM dan masyarakat luar yang berkunjung ke PDR.

“Beroperasi seperti sebuah kafe, makanan yang dijual pada harga sangat berpatutan iaitu tidak lebih RM5 untuk satu menu.

“L’apprenti Dapur Rakyat@UPM juga menawarkan perkhidmatan penghantaran produk bagi pakej nasi muafakat biasa berharga RM4.50 hingga RM5 dan nasi muafakat premium berharga RM6.50 (premium) khas untuk mesyuarat dan seminar,” katanya. – WAZAN Online

Tarikh Input: 14/11/2018 | Kemaskini: 14/11/2018 | nuruliman

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 8993/6156
+603 9769 2048
C1597365456