Wakaf Pendidikan Negara – Di Mana Peranan WAZAN? | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» BERITA » Wakaf Pendidikan Negara – Di Mana Peranan WAZAN?

Wakaf Pendidikan Negara – Di Mana Peranan WAZAN?

Oleh Nuruliman Ibrahim

Foto Nur Zila Zainuddin

 

 

SEBERANG JAYA, PULAU PINANG, 29 September – Pengarah, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), UPM, YBhg Dr. Haji Razali Othman telah menyampaikan ucapan mengenai “Wakaf Pendidikan: Harapan dan Masa Hadapan” dalam Simposium Wakaf, Negeri Pulau Pinang.

Simposium Wakaf yang diadakan di The Light Hotel, Seberang Jaya tersebut turut dihadiri oleh YB. Dato’ Dr. Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, YBhg Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, YDP Majlis Agama Islam Pulau Pinang, YBhg Tuan Haji Abu Bakar Yang Pengarah, Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd., YBhg Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie dan lebih 250 orang peserta.

 

 

Dalam ucapannya, Dr. Haji Razali Othman menjelaskan bahawa perkembangan wakaf Pendidikan di Malaysia bermula di sekolah-sekolah pondok, tahfiz dan madrasah. Namun sehingga hari ini, tiada penelitian yang terperinci dan menyeluruh melihat isu ini. Nama-nama seperti Madrasah al-Attas, Madrasah al-Masyiriah dan sebagainya hanya diketahui secara umum sahaja.

Namun begitu, kemuncak perkembangan Wakaf Pendidikan berlaku apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menjadikan polisi, di mana 20 Universiti Awam (UA) di Malaysia diwajibkan untuk membangunkan Pusat Pengurusan Wakaf masing-masing. Wakaf telah diterapkan sebagai salah satu penjanaan pendapatan di semua UA.

Bagi menjayakan usaha ini, KPT telah menjalankan tujuh program, iaitu bermula dengan penubuhan Pasukan Buku Ungu, diikuti dengan Diskusi Meja Bulat (DMB), perbincangan dengan pakar-pakar wakaf, lawatan penanda aras di Istanbul, Turki dan Melbourne Business School, Australia dan “Gallery Walk”.

Program Jerayawara Pasukan Buku Ungu yang diberi tanggungjawab untuk menyantuni Majlis-majlis Agana Islam Negeri dan Universiti Awam (UA) terpilih merupakan program terkahir yang dijalankan oleh KPT.

Dalam perkembangan ini, menurut Dr. Haji Razali Othman, WAZAN, UPM turut memainkan peranan dan memberi sumbangan besar dalam menjayakan hasrat KPT. Paling tidak ada lima sumbangan WAZAN.  Pertama, menjadi pakar rujuk mengenai wakaf kepada KPT. Kedua, menjadi ahli Pasukan “Purple Book” KPT. Ketiga, penulis buku, “Enhancing University Income Generation, Endowment & Waqf”.  Keempat, menjadi Pemudah Cara dan Pembimbing dalam program Diskusi Meja Bulat (DMB) dan “Gallery Walk”, dan kelima, WAZAN telah diberi amanah oleh KPT untuk mengetui Jerayawara Pasukan Buku Ungu menyantuni Majlis-majlis Agama Islam Negeri dan UA terpilih.

Dalam ucapan akhirnya, Dr. Razali Othman yakin bahawa usaha WAZAN ini turut menyokong usaha pihak-pihak lain dalam meletakkan semula wakaf sebagai sumber penjanaan pembangunan ummah. – WAZAN Online

 

 

 

Tarikh Input: 04/10/2018 | Kemaskini: 04/10/2018 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEQQAQ~