Tabung UPM Prihatin@WAZAN Buka Ruang Lebih Luas Untuk Menyumbang | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» BERITA » Tabung UPM Prihatin@WAZAN buka ruang lebih luas untuk menyumbang

Tabung UPM Prihatin@WAZAN buka ruang lebih luas untuk menyumbang

Oleh Nuruliman Ibrahim

 

 

SERDANG, 14 November - Selain daripada kemudahan berwakaf dan berzakat yang disediakan oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia, para dermawan juga kini boleh menghulurkan sumbangan secara terus kepada golongan pelajar asnaf UPM menerusi Skim WAZAN Prihatin.

Skim tersebut yang baharu sahaja diperkenalkan adalah lebih berkonsepkan kafalah iaitu penajaan secara langsung di mana pihak WAZAN menawarkan senarai pelajar asnaf cemerlang daripada kalangan keluarga yang amat daif untuk ditaja secara terpilih dan konsisten oleh mana-mana individu atau organisasi.

Menerusi Skim tersebut, pihak penderma boleh mengagihkan sumbangan penajaan mereka mengikut cara dan kaedah yang boleh ditentukan sendiri oleh mereka di mana pihak WAZAN akan memainkan peranan sebagai pengantara dan pemudahcara.

Sebagai contoh, seorang penderma yang meminta nama beliau dirahsiakan, telah menaja dua orang pelajar sebanyak RM2,500 setiap semester dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,000.00, manakala seorang lagi penderma yang turut meminta dirahsiakan identiti beliau, telah menaja sebanyak RM200 setiap bulan kepada seorang pelajar.

Dalam masa yang sama, sebuah koperasi keluarga seorang alumni UPM (Kelas 75) juga menaja 10 orang pelajar sebanyak RM200 setiap bulan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM20,000.00 sepanjang dua semester.

Pengarah WAZAN, Dr. Hj. Razali Othman berkata, dengan adanya skim WAZAN Prihatin ini, lebih ramai pelajar asnaf dapat dibantu secara berfokus. "Kehidupan keluarga mereka semua ni memang sangat susah dan mereka sendiri amat kesempitan daripada sudut kewangan. Sebahagian mereka adalah yatim. Ada dalam kalangan mereka merupakan anak sulung" katanya. "Ada juga di antara mereka terpaksa membuat dua kerja sampingan di luar waktu kuliah untuk membiayai sebahagian keperluan pengajian mereka di sini di samping menyara keluarga di kampung dalam masa yang sama" tambah beliau lagi.

Beliau turut menambah bahawa WAZAN sangat komited untuk melahirkan lebih ramai asnaf cemerlang kelas pertama dan turut berharap selepas ini, pelajar yang menerima bantuan skim tersebut boleh memberikan tumpuan penuh kepada pengajian dan tidak lagi perlu berasa risau. 

Salah seorang penerima Skim tersebut, saudari Nadia Wati Redzuan yang merupakan pelajar Bacelor Pendidikan merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih serta perasaan amat terharu dan sangat bersyukur kerana terpilih menerima bantuan tersebut. "Saya sangat berterima kasih kepada penaja bantuan ini. Saya akan pastikan ianya dimanfaatkan sepenuhnya untuk keperluan pengajian saya." katanya lagi.

Seorang lagi penerima yang merupakan pelajar Bacelor Sains Perhutanan, saudari Siti Nadzirah Mazlan pula berkata "Saya sangat berharap semoga Allah SWT temukan saya dengan hamba-NYA yang telah menyumbangkan bantuan ini untuk saya supaya saya dapat zahirkan sendiri rasa terima kasih saya ini kepadanya. "Saya mendoakan semoga Allah SWT Memberkati, Meredhai dan Mempermudahkan segala urusan beliau seisi keluarga di dunia dan di akhirat" ujarnya lagi.

Ustaz Zuhaimi Abdul Rahim, Ketua Seksyen Pengurusan Zakat dan Pembangunan Asnaf turut menyeru orang ramai yang telah berzakat serta berwakaf di UPM dan tetap ingin memberi dan terus memberi, mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim WAZAN Prihatin tersebut dengan menghubungi beliau di talian 03-89471332 atau 012-8738277. - WAZAN Online

 
Saudari Siti Nadzirah Mazlan pelajar Bacelor Sains Perhutanan menerima sumbangan penajaan Skim WAZAN Prihatin yang disampaikan oleh Pengarah WAZAN UPM.
 
Pengarah WAZAN UPM menyampaikan sumbangan penajaan Skim WAZAN Prihatin kepada saudari Nadia Wati Redzuan pelajar Bacelor Pendidikan.
 
 
 
 
 
 
 

Tarikh Input: 14/11/2017 | Kemaskini: 28/09/2018 | nuruliman

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdOA1~