Semarak Al-Quran Di Pusat Kaunseling UPM | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» BERITA » Semarak Al-Quran di Pusat Kaunseling UPM

Semarak Al-Quran di Pusat Kaunseling UPM

UPM, 18 April 2019 – Pemartabatan budaya mempelajari al-Quran terus dimantapkan menerusi kejayaan WAZAN melaksanakan program mengaji al-Quran dengan kerjasama Al-Baghdadi. Kecintaan Warga UPM terhadap al-Quran terus dipacu oleh WAZAN dengan pembukaan kelas pengajian al-Quran bagi zon 3 iaitu kelas pengajian di pusat Kaunseling UPM. Sebelum ini, kelas al-Quran ini telah bermula di Zon 1 iaitu di Fakulti Sains dan seterusnya kejayaan ini diteruskan dengan perasmian kelas pengajian Zon 2 di Hospital Pengajar UPM pada 3 April yang lepas.

Secara keseluruhan, program ini telah dapat ditaja sepenuhnya oleh WAZAN dengan kerjasama semua penyumbang di UPM. Dana wakaf dan zakat sememangnya menjadi teras penting sebagai sumber pembiayaan kelas ini secara percuma kepada para staf UPM. Majlis perasmian kelas pengajian al-Quran ini telah dirasmikan oleh pengarah WAZAN iaitu Dr. Haji Razali Othman yang bertempat di dewan kaunseling UPM.

Program ini telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada para staf UPM dan penglibatan staf sangat memberangsangkan. Sekali gus, WAZAN yakin dan percaya bahawa program ini akan menjadi tonggak penting dalam melestarikan amalan membaca al-Quran dengan baik dan tepat. Di samping itu, kelas pengajian ini terbahagi kepada dua kelas iaitu pertama kelas asas al-Quran dan kedua kelas tajwid.

WAZAN dengan kerjasama al-Baghdadi akan terus komited untuk memastikan kecintaan terhadap kitab suci al-Quran akan terus diperkasakan di kampus hijau ini. Secara langsung, WAZAN mendoakan kelas pengajian al-Quran ini akan menjadi asbab datangnya rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T. Semoga semua staf sebagai peserta program ini akan berjaya menamatkan pengajian al-Quran ini dengan jayanya.

 

Tarikh Input: 19/04/2019 | Kemaskini: 19/04/2019 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEaKAI~