Peluang Berbakti Menerusi Jualan Amal Rakan Bakti Putra | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» BERITA » Peluang berbakti menerusi Jualan Amal Rakan Bakti Putra

Peluang berbakti menerusi Jualan Amal Rakan Bakti Putra

Oleh Nuruliman Ibrahim
Foto Wan Muhammad Isam Wan Ismail

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SERDANG, 3 November - Sempena Ekspo Pertanian dan Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-41 yang  bermula hari ini hingga 7 November, para pengunjung bukan sahaja boleh mendapatkan pelbagai produk terbaik UPM, malah secara langsung turut berpeluang berbakti dengan menyumbang kepada kebajikan dan kesejahteraan pelajar apabila membeli produk dan barangan di gerai Jualan Amal Rakan Bakti Putra.

Sebahagian produk Jualan Amal tersebut dihasilkan sendiri oleh pihak Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), manakala sebahagian yang lain merupakan hasil gabungan usaha pihak Pejabat Bursar dan Rakan Bakti Putra, di samping produk-produk daripada Institut dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam UPM.

Pelbagai barangan berupa cenderahati, bahan bacaan, produk kesihatan serta makanan dan minuman dijual menerusi projek Jualan Amal tersebut. Antaranya ialah jambangan orkid dan bunga pasu untuk dijadikan hadiah kepada para graduan, juga pelbagai mushaf Al-Quran berserta panduan Waqf Ibtida, terjemahan dan nota kaki, koleksi bahan bacaan panduan berkaitan solat dan wakaf, pelbagai produk kesihatan seperti minyak Afdhal, produk REMDII dan Healen serta produk pastri dan jus buah-buahan.

Jualan Amal ini merupakan anjuran bersama pihak WAZAN dan Pejabat Bursar dengan kerjasama Kesatuan Kakitangan Am UPM (KEPERTAMA) sebagai sebahagian daripada program pembangunan asnaf UPM di bawah projek Rakan Bakti Putra.

Ketua Seksyen Pengurusan Dana Wakaf Ilmu, En. Nuruliman Ibrahim berkata, sebanyak 15% - 30% daripada harga jualan produk tersebut akan disalurkan ke dalam tabung Dana Wakaf Ilmu dan tabung Rakan Bakti Putra bagi memenuhi pelbagai keperluan pelajar, termasuk kewangan, kebajikan serta kesejahteraan mereka. Katanya lagi, menerusi Jualan Amal ini bukan sahaja orang ramai berpeluang untuk berbakti kepada universiti dengan membeli produk yang ditawarkan. Malahan sebagai Rakan Bakti Putra, para pelajar yang pernah menerima bantuan wakaf atau zakat juga berpeluang untuk berbakti semula kepada universiti dengan menyumbangkan masa dan tenaga mereka dalam menjayakan Jualan Amal ini.

Menurut En. Zuhaimi Abdul Rahim, Rakan Bakti Putra (RBP) yang dilancarkan secara rasmi pada 15 Oktober 2015 merupakan suatu inisiatif khusus dengan mensasarkan pelajar asnaf UPM bagi melahirkan lebih ramai mahasiswa kelas pertama dalam pencapaian akademik, sahsiah dan kemahiran insaniah mereka, merangkumi program Intelek Cendikia (PNGK 3.5 ke atas), program Mahasiswa Cemerlang (PNGK 2.5 ke bawah), program Usahawan RBP, program peluang bekerja sambilan dalam kampus dan lain-lain lagi. Beliau yang juga Ketua Seksyen Pengurusan Zakat dan Pembangunan Asnaf menambah “Apa yang menarik dalam projek Jualan Amal ini ialah ia digerakkan sepenuhnya oleh kumpulan Rakan Bakti Putra melibatkan kira-kira 90 orang pelajar asnaf secara tersusun dan berjadual di bawah penyeliaan pihak WAZAN”.

Pengarah WAZAN, Dr. Hj. Razali Othman pula berkata, meski pun jumlah kutipan sumbangan hasil Jualan Amal ini sangat penting dalam mengukur kejayaan projek ini, namun demikian bukanlah keuntungan atau hasil jualan yang tinggi semata-mata yang menjadi sasaran. “Apa yang lebih penting ialah misi WAZAN untuk mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan budaya berbakti dan memberi untuk kepentingan ramai” katanya. “Kita juga mengharapkan menerusi aktiviti sebegini, lebih ramai yang akan menyedari kewujudan WAZAN serta peranannya di UPM dan seterusnya semakin tertarik dan berminat untuk berzakat serta berwakaf di UPM bagi membantu lebih ramai pelajar yang berkeperluan” tambahnya lagi. - WAZAN Online

 

Rakan Bakti Putra turut menyediakan khidmat penghantaran.
 
Rakan Bakti Putra bergambar kenangan bersama Bursar UPM.
 
Salah seorang pelajar Rakan Bakti Putra sedang sibuk melayan pelanggan.
 
Orkid yang telah digubah siap untuk jualan sebagai cenderahati.
 
Antara koleksi orkid dalam pasu yang turut mendapat perhatian peminat orkid.
 
Bursar UPM melawat kelas gubahan orkid Rakan Bakti Putra.
 
Gerai Jualan Amal ketika baru dibuka pada awal pagi.
 
 
Senarai produk dan harga untuk panduan pengunjung.
 

 

 

LAIN-LAIN GAMBAR

 
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 03/11/2017 | Kemaskini: 28/09/2018 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdPAV~