Menjiwai Pemasaran Strategik Dalam Mengurus Wakaf | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» BERITA » Menjiwai Pemasaran Strategik Dalam Mengurus Wakaf

Menjiwai Pemasaran Strategik Dalam Mengurus Wakaf

UKM, 13 Mac 2019 - Bertempat di Puri Pujangga Uniersiti Kebangsaan Malaysia, WAZAN yang diwakili Dr. Haji Razali Othman telah menghadiri persidangan meja bulat yang telah dianjurkan. Tajuk persidangan ini ialah “Ke Arah Mengimarahkan Dana Wakaf Kebajikan Secara Profesional”. Persidangan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama dan kaedah pembangunan wakaf di institusi pendidikan khususnya dan sektor awam serta swasta umumnya.

Sejajar dengan itu, pelbagai perkongsian idea dan pandangan telah diberikan. WAZAN juga tidak ketinggalan untuk memberikan input berkaitan pengurusan wakaf. Idea yang dicetuskan oleh pengarah WAZAN ialah aplikasi pemasaran yang strategik dalam menguruskan institusi wakaf. Teknik pemasaran yang tepat merupakan inti pati penting kerana langkah awal yang perlu dilakukan oleh pusat pengurusan wakaf ialah memupuk kesedaran. Menerusi pandangan ini, Dr. Haji Razali Othman menjelaskan para pentadbir pengurusan wakaf perlu membuat hebahan secara menyeluruh berkaitan apakah maksud wakaf yang sebenar.

Hal ini kerana, ramai antara masyarakat tidak memahami makna wakaf dan hanya disempitkan kepada wakaf tanah kubur dan madrasah. Secara langsung, menerusi pemahaman wakaf yang baik akan mampu memupuk kesedaran dalam diri masyarakat umum akan wakaf. Selain itu, teknik pemasaran yang mengaplikasikan media sosial, media cetak dan berita dapat dijadikan teknik pemasaran terbaik bagi memberikan kefahaman tentang makna wakaf yang tepat. Hal ini kerana, WAZAN percaya penggunaan medium ini lebih menarik minat masyarakat dan mudah diakses.

Di samping itu, komunikasi dalam pemasaran juga turut dititikberatkan kerana akan memberikan keyakinan kepada masyarakat umum. Komunikasi yang baik dalam pemasaran akan mencerminkan keupayaan institusi pengurusan wakaf yang dilantik oleh lembaga perbadanan wakaf negeri dan majlis agama negeri. Sekali gus, semangat yang tinggi dalam kalangan staf pengurusan wakaf perlu dipertingkatkan agar mereka mampu memiliki ilmu pemasaran yang betul dan baik. Besar harapan WAZAN agar pembangunan wakaf akan dapat dicapai demi kesejahteraan dan kemaslahatan ummah.

 

Tarikh Input: 18/03/2019 | Kemaskini: 18/03/2019 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEUBAz~