SERDANG, 2025 – Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus komited memperkukuh pembangunan fasiliti berasaskan wakaf menerusi pelaksanaan enam projek fasiliti wakaf sepanjang tahun 2025 yang memberi manfaat kepada warga universiti serta masyarakat setempat.
Antara projek utama yang dilaksanakan ialah Projek Jam Menara Putra Warisan Budi, yang menjadi simbol kebajikan dan kesinambungan sumbangan wakaf di UPM. Selain itu, peruntukan menaik taraf keseluruhan Surau Al-Madrasah Al-Muflihah, Kuarters Ladang 1 UPM turut dilaksanakan bagi menyediakan ruang ibadah yang lebih selesa dan kondusif kepada penduduk sekitar.
Dalam usaha memperkasa institusi Islam di kampus, WAZAN turut melaksanakan Projek Menaik Taraf Dewan Al-Khawarizmi, Pusat Islam Universiti, yang berperanan sebagai pusat penganjuran program keilmuan dan kerohanian. Di samping itu, pembelian serta pemasangan sepanduk tiang Dana Wakaf Tunai Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) dilaksanakan sebagai medium hebahan dan galakan kepada warga kampus serta masyarakat untuk berwakaf.
Selain itu, Projek Naik Taraf Surau Fakulti Sains turut direalisasikan bagi meningkatkan kemudahan ibadah warga fakulti, manakala projek pengubahsuaian ruang di Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Komuniti, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) dilaksanakan bagi menyokong keperluan perkhidmatan kebajikan dan komuniti hospital.
Pelaksanaan kesemua projek ini mencerminkan peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan mampan yang bukan sahaja memelihara kebajikan ummah, malah menyumbang kepada kesejahteraan institusi pendidikan dan kesihatan. WAZAN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pewakaf atas sokongan berterusan dalam menjayakan agenda wakaf demi manfaat bersama.
Tarikh Input: 29/01/2026 | Kemaskini: 29/01/2026 | rizal_helmi

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN
Buka: Isnin - Jumaat.
Tutup: Sabtu, Ahad dan Cuti Umum.