Budaya Ziarah Mengukuh Ikatan Ummah | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Budaya Ziarah Mengukuh Ikatan Ummah

Budaya Ziarah Mengukuh Ikatan Ummah

Budaya Ziarah Mengukuh Ikatan Ummah

 

Pengenalan

Berbicara berkenaan ziarah, sudah pasti ramai dalam kalangan masyarakat kita mentakrifkan secara konseptual ziarah ialah berkunjung ke rumah  keluarga, sanak saudara dan rakan taulan pada hari raya aidilfitri atau pada sambutan perayaan tertentu. Persoalanya, adakah budaya ziarah-menziarahi ini bersifat bermusim atau mengikut waktu tertentu sahaja?.Sememangnya budaya berziarah ini merupakan satu amalan mulia yang perlu dibudayakan setiap hari dan sepanjang masa tanpa mengira waktu tertentu. Hal ini kerana, pada asasnya budaya berziarah merupakan cara terbaik dalam mengukuhkan ikatan silahturahim antara masyarakat khususnya kepada umat Islam. Anjuran untuk kita saling merapatkan silahturahim menerusi aktiviti ziarah menziarahi ini dapat dijelaskan dalam Surah Al- Hujurat ayat ke-10.

Allah berfirman yang bermaksud: Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

Islam amat mengalakkan umatnya untuk menjalinkan kasih sayang antara satu sama lain kerana tidak sempurna iman seseorang muslim itu jika tidak menyayangi saudara muslim yang lain sebagaimana mencintai diri sendiri. Menyedari hakikat dan kepentingan jalinan ukhuwah ini, Islam menyarankan semua insan untuk saling kenal-mengenali tanpa mengira bangsa, warna kulit, pangkat mahupun keturunan. Usaha dalam menyemarakkan budaya ziarah menziarahi menjadi tangungjawab setiap insan kerana semua manusia itu berasal daripada kejadian dan keturunan yang sama iaitu daripada Nabi Adam A.S.

 

Sejajar dengan itu, menerusi budaya ziarah menziarahi setiap manusia mampu untuk mengenali orang lain kerana jika ikatan yang dahulunya asing namun kini menjadi ikatan persaudaraan yang erat. Dengan berziarah juga setiap insan itu mampu berkongsi setiap rezeki yang dimiliki dan sekaligus memberikan kegembiraan kepada orang lain. Sebagaimana, sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al Bukhari yang bermaksud:

“Saling memberi hadiahlah, nescaya kamu akan saling kasih mengasihi”.

Perkataan hadiah ini tidak hanya tertumpu kepada pemberian secara material semata-mata tetapi berziarah untuk memberikan sokongan moral, nasihat dan dorongan juga satu bentuk hadiah yang berharga. Menjaga kebajikan semua saudara semuslim telah meletakkan budaya berziarah sebagai wahana penting agar setiap insan dapat menghikis pelbagai sikap negatif dalam diri seperti sombong, mementingkan diri sendiri dan iri hati. Ikatan yang erat antara setiap insan akan mampu memakmurkan ummah kerana dengan ziarah pelbagai input positif seperti adab ketika berziarah dalam diparktikkan.

Sesungguhnya, amalan ziarah menjadi paksi kepada jalinan kasih antara ummah dengan syarat niat yang ikhlas, tidak memandang rendah kepada orang lain dan tidak memilih tempat untuk berkunjung berdasarkan pangkat,jenis  tempat tinggal mahupun harta kekayaan.

Bersempena dengan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, Allah telah menjanjikan setiap amalan yang baik itu menjadi medan untuk kita beramal ibadah. Oleh itu, aktiviti ziarah menziarahi merupakan salah satu bentuk ibadah penting bagi kita mendapatkan ganjaran pahala yang besar dan berlipat kali ganda daripada Allah SWT.

 

Ziarah Ihsan Ramadhan

Usaha membudayakan amalan berziarah terus digembleng oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM. Kehadiran bulan mulia yakni Ramadhan al-mubarak, telah memangkin WAZAN untuk melaksanakan sebuah program berkonsepkan ziarah yang dinamakan sebagai program “Ziarah Ihsan Ramadhan 2019”.

Aktiviti ini merupakan satu cetusan idea yang sangat baik dalam memastikan budaya kunjung mengunjungi antara warga kampus bersama keluarga pelajar di kampung akan dapat disuburkan. Program Ziarah Ihsan Ramadhan meletakkan konsep ziarah sambil beramal sebagai teras kepada penganjuran program ini. Berkat sokongan yang baik daripada pihak Naib Canselor bersama pengurusan universiti telah membolehkan WAZAN merealisasikan  budaya berziarah di kampus hijau ini.

Pengukuhan ikatan silahturahim yang terjalin antara WAZAN dan para pelajar asnaf khususnya tidak hanya tertumpu di kampus tetapi WAZAN mengorak langkah ke hadapan untuk menyantuni ibu bapa dan keluarga para pelajar asnaf UPM. Tujuan penting program ziarah Ihsan Ramadhan bukan sahaja melawat dan berkunjung ke rumah para pelajar asnaf terpilih tetapi membawa iltizam yang amat besar untuk membantu keluarga pelajar asnaf ini dengan lebih menyeluruh.

Oleh yang demikian, program ziarah Ihsan Ramadhan 2019 telah berjaya dilancarkan pada 17 sehingga 19 Mei yang telah dirasmikan oleh Datin Paduka Datuk Dr. Aini Ideris selaku Naib Canselor UPM. Konvoi Ziarah Ihsan Ramadhan menjadi bukti penting kprihatinan masyarakat setempat yang telah menyumbang bersama WAZAN. Hal ini kerana, setiap sumbangan yang disampaikan kepada para pelajar asnaf dan kelaurga merupakan hasil kutipan dana wakaf ilmu UPM, zakat dan sedekah yang diberikan oleh para penyumbang di WAZAN UPM.

Gambar 1 : Perasmian “Ziarah Ihsan Ramadhan 2019” oleh Naib Canselor UPM.

Sehubungan itu, WAZAN memainkan peranan penting sebagai pemudahcara dan pengerak kepada penyampaian sumbangan ini. Dalam pada masa yang sama, WAZAN telah mendapat sokongan yang padu daripada pelbagai pusat tangungjawab UPM antaranya Pusat Islam Universiti, Sahabat Masjid UPM, Staf Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta pelbagai pusat tangungjawab yang lain.

Program ziarah ini juga mendapat sambutan yang amat baik daripada para penyumbang dari luar UPM dan beberapa organisasi bukan kerajaan yang turut serta memberikan sumbangan kepada para penerima. Program ini jelas menjadi citra kepada semangat permuafakatan dalam melestarikan amalan berziarah, Penglibatan staf UPM sebagai  sukarelawan telah memeriahkan lagi program tiga hari dua malam ini.

WAZAN telah merancang program Ziarah Ihsan Ramadhan dengan menyeluruh dan sistematik dalam memastikan manfaat sumbangan ini diberikan kepada semua pelajar asnaf yang dikategorikan fakir dan miskin. Sebanyak 7 van konvoi telah menjayakan program ziarah ini dan melibatkan 150 buah rumah pelajar asnaf yang dikunjungi oleh para sukarelawan.

Gambar 2: Skuad Ziarah Ihsan Ramadhan Menziarahi Keluarga Pelajar Asnaf UPM 

Konvoi Ziarah Ihsan Ramadhan telah berkunjung ke rumah para pelajar asnaf di seluruh negara. Antaranya zon pantai timur, zon utara, zon selatan dan zon tengah. Seterusnya, WAZAN juga tidak ketinggalan menghantar wakil sukarelawan ke negeri Sarawak dan Sabah dalam menjayakan misi murni ini iaitu menziarahi keluarga pelajar asnaf UPM.

“Rezeki dikongsi dan nikmat disyukuri” merupakan slogan yang amat bertepatan dengan kejayaan program ziarah ihsan ini kerana ,melalui wahana ini WAZAN mampu mendalami dengan lebih rapat kehidupan para pelajar asnaf UPM. Pelbagai sumbangan berupa barangan makanan, kelengkapan raya dan sumbangan wang ringgit telah disumbangkan dengan jayanya kepada penerima. Segala bantuan yang diberikan diharapkan dapat mengurangkan bebanan kehidupan pelajar asnaf dan keluarga mereka di  kampung halaman.

Program Ziarah Ihsan ini tidak hanya berhenti disini kerana melalui lawatan ke rumah pelajar asnaf ini WAZAN telah merancang untuk memberikan bantuan jangka masa panjang yang diperlukan oleh penerima. Sehubungan itu, WAZAN, merancang untuk menyalurkan bantuan bersumberkan wakaf bagi membaik pulih rumah pelajar asnaf yang telah rosak dan usang. Secara langsung, kekuatan semangat ukhuwah memangkin WAZAN dalam memastikan program ziarah ihsan Ramadhan menjadi ruang dan peluang terbaik bagi membina ikatan baik dan akrab bersama kelurga pelajar.

Gambar 3: Skuad Ziarah Ihsan Ramadhan Bersama Keluarga Pelajar Asnaf UPM di Negeri Terengganu

Ziarah Ihsan Ramadhan ini berjaya mencerminkan konsep memberi dengan penuh keikhlasan akan membentuk permuafakatan ummah yang kuat dan kukuh bak papatah Melayu “Bulat air kerana pembentung bulat masyrakat kerana muafakat”. Di samping itu, konsep ziarah ihsan Ramadhan juga mampu melestarikan amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat kerana nilai sedekah dan sumbangan itu tidak diukur oleh kuantiti yang disampaikan tetapi dinilai dengan keikhlasan dan kesudian untuk bersedekah. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Iman Muslim dan Tarmizi daripada sabda Nabi Muhammad S.A.W seperti berikut’

Tidaklah harta menjadi berkurang kerana sedekah dan tidaklah seseorang memberi maaf kepada orang lain melainkan Allah menambah kehormatan kepada dirinya; dan seseorang tiada bersikap merendah diiri kerana Allah, melainkan ia akan diangkat darjatnya oleh Allah S.W.T.

Konsep wakaf, zakat dan sedekah telah dapat digabungkan dengan baik dalam program Ziarah Ihsan Ramadhan. WAZAN telah meletakkan program Ziarah Ihsan Ramdhan sebagai aktiviti tahunan dalam memastikan para pelajar asnaf dan keluarga mereka akan mendapat pembelaan dan bantuan yang sepatutnya. Berkat menziarahi keluarga pelajar, para sukarelawan akan dapat menamamkan nilai-nilai murni antaranya keihklasan, nilai kesabaran dah kekuatan dalam menghadapi dugaan dan ujian daripada Allah SWT.

Oleh itu, kemiskinan tidak menjadi penghalang untuk WAZAN memastikan pelajar-pelajat asnaf ini terus teguh untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelajar lain di UPM. Akhirnya, melalui madrasah Ramadhan ini dan penganjuran program ziarah ihsan ini akan memberikan suntikan semangat kepada pelajar asnaf UPM agar mereka dapat menamatkan pengajian denga cemerlang.Segala kata-kata semanagat dan dorongan yang diberikan sepanjang program Ziarah Ihsan Ramadhan diharapkan menajdi pembakar semnagat kepada mereka untuk cekal dalam menamatkan pengajian dengan kepujian kelas pertama.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, program ziarah Ihsan Ramadhan telah berjaya menjadi tunjag dalam membudayakan amalan berziarah atau saling berkunjung dalam kalangan wargam kampus dan masyarakat.  Keberkatan amalan ziarah ini berjaya meluaskan lagi manfaat sumber wakaf, zakat dan sedekah kepada golongan fakir dan msikin yang memerlukan. Madrasah Ramadhan menjadi titik tolak penting kepada usaha mendidik dan menyuburkan semangat saling membantu dan mengeratkan ikatan silahturahim. Tanpa mengira latar belakang dan waktu amalan berziarah akan mampu dijadikan amalan lazim dalam kehidupan agar seluruh masyarakat akan membentuk semnagat muhibah dan keprihatinan yang tinggi.

Semoga usaha kecil dari WAZAN akan dapat terus merealisasikan visi dan misi murni untuk mendekatkan pihak universiti bersama keluarga pelajar asnaf demi mengukuhkan ikatan ummah. Jalinan kasih yang dibina melalui program Ziarah Ihsan Ramadhan akan terus disuburkan dalam diri warga kampus khsususnya dan masyarakat muslim amnya. Diharapkan program ziarah Ihsan Ramadhan ini akan melahirkan pelajar asnaf yang bukan sahaja berbakti kepada keluarga mereka tetapi memberi manfaat kepada masyarakat dan agam Islam.

Disediakan Oleh:

Ibrahim bin Latola

Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 31/05/2019 | Kemaskini: 31/05/2019 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdGAA~