ZAKAT DALAM MERAWAT JIWA | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » ZAKAT DALAM MERAWAT JIWA

ZAKAT DALAM MERAWAT JIWA

Zakat Dalam Merawat Jiwa

Ibadah mempunyai faedah dan kebaikan tertentu dalam merawat jiwa termasuklah ibadah zakat. Zakiah Daradjat (1975) menyebut bahawa dalam bidang psikiatri dan psikoterapi, istilah “mental” sering digunakan sebagai ganti kepada personality (keperibadian) yang membawa maksud semua unsur-unsur “jiwa” termasuk fikiran, emosi, sikap dan perasaan.  Kesemua unsur-unsur ini bergabung yang membina jiwa manusia.  Gabungan inilah yang akan menentukan corak laku, cara menghadapi suatu keadaan sama ada keadaan yang menekan perasaan, mengecewakan atau mengembirakan dan sebagainya. Maka, sakit jiwa adalah keadaan yang menganggu fikiran, emosi, sikap dan perasaan seseorang.  Beliau menggunakan istilah “sakit jiwa/mental” untuk memberi maksud kepada “psychosis”, manakala “gangguan jiwa” untuk “neurosis”.

Adnan (2003) menjelaskan bahawa penyakit jiwa berlaku apabila manusia menyimpang atau berlebihan dalam memenuhi keperluan asas dan naluri semula jadi mereka iaitu cinta kepada kehidupan, cinta kepada pemilikan, naluri seksual dan naluri berkasih sayang. Sekiranya seseorang terlalu menyintai "kehidupannya", boleh mengakibatkan penyakit seperti takut kematian, ingin hidup lebih lama, takut sakit dan bimbang masa depan anak. Dalam psikiatri moden, istilah penyakit mental digunakan secara meluas untuk mendefinisikan individu yang mengalami gangguan mental (mental disorder). 

Secara umumnya penyakit mental boleh dikategori kepada dua kategori iaitu neurosis dan psikosis. The Gale Ensyclopedia of Mental Health (2008) mendefinisikan neurosis sebagai “kekurangan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam suatu persekitaran, kurang upaya untuk mengubah gaya hidup dan kuran upaya untuk membina personaliti diri”. Tanda-tanda neurosis mungkin menyebabkan anzieti, kesedihan, depression, kemarahan, cepat marah, kekeliruan mental dan kurang peka terhadap nilai diri” (C.G. Boeree, 2002). Dalam teori psikoanalisis, seorang pesakit neurosis dikatakan menggunakan helah bela diri (defence mechanism) secara berlebihan untuk lari atau menjauhi dari perasaan dari sesuatu situasi atau peristiwa yang ingin dihindarinya (Drossart.F, 2005).  Sebagai contoh, menunjukkan ketakutan luarbiasa atau kebimbangan untuk keluar dari satu situasi. Kebimbangan, tekanan, ketakutan (phobia) dan gangguan makanan adalah sebahagian daripada neurosis.

Al-Soni’ (2000) berpandangan bahawa melalui ibadah zakat, ia dapat membersihkan harta dan menyucikan jiwa orang yang melakukannya. Ini kerana di dalam Surah al-Syams (91: 9) dan Surah al-A’la (87:  14), Allah SWT telah mengisyaratkan agar manusia melakukan pembersihan jiwa mereka. Melalui ibadah zakat, tujuan pembersihan jiwa dan harta dapat dicapai. Al-Qaradhawi (1995) menyatakan bahawa zakat merupakan ibadah harta yang mempunyai kepentingan yang tersendiri di dalam masyarakat Islam. Al-Quran juga menggunakan perkataan sedekah dan infaq yang merujuk kepada zakat. Di dalam al-Quran, ia dinyatakan bersama dengan kewajiban bersolat sebanyak 10 kali untuk menunjukkan kepentingannya. Seperti firman Allah SWT; Maksud: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Surah Al-Baqarah, 2: 43)

Al-Qaradhawi (1995) juga telah  menjelaskan  kepentingan zakat  kepada  pemberi dan  penerima zakat serta kepada masyarakat Islam iaitu membersihkan jiwa dari sifat kedekut, mendidik jiwa untuk berinfaq  dan  memberi,  menjadikan  seseorang  berakhlak  dengan  akhlak  Allah  SWT,  mengajar manusia bersyukur dengan nikmat Allah SWT, menyembuhkan hati dari penyakit cinta kepada dunia, meninggikan  keperibadian  orang  kaya,  mengeratkan  rasa  kasih  sayang,  membersihkan  harta, menambahkan harta,  dapat  membebaskan  penerimanya  dalam  memenuhi  keperluan  dan  dapat membersihkan diri dari sikap hasad dan permusuhan.

Rujukan

Mohd Nasir bin Masroom et al. / UMRAN – International Journal of Islamic and Civilizational Studies. Vol. 3, 03-1 (2017)

Tarikh Input: 30/06/2022 | Kemaskini: 30/06/2022 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDcXAO~