Wakaf; Legasi Silam Yang Dilupakan (Bahagian 2) | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Wakaf; Legasi Silam Yang Dilupakan (Bahagian 2)

Wakaf; Legasi Silam Yang Dilupakan (Bahagian 2)

Bahagian II

 

Wakaf; Legasi Silam Yang Dilupakan

 

 

Bahagian pertama siri ini telah menghuraikan kehebatan, peranan dan sumbangan wakaf semasa era pemerintahan kerajaan Islam. Namun begitu, masyarakat Islam hari ini tidak melihat wakaf sebagai satu mekanisma penting yang boleh digunakan untuk meningkatkan sosioekonomi ummah. Wakaf dilaksanakan seolah-olah sekadar meneruskan tradisi turun-temurun sahaja. Ia lazimnya juga diberikan takrifan yang sempit hingga hanya merangkumi aset-aset seperti tanah-tanah kubur, tanah-tanah terbiar, masjid, madrasah dan perkara-perkara keagamaan sahaja. Implikasinya, wakaf gagal dilaksanakan sepenuhnya bagi pembangunan umat Islam seperti yang telah disyariatkan sejak 1400 tahun yang lalu.

      Sehingga kini, belum ada kajian terperinci yang dapat memberikan bukti sahih berhubung punca sebenar pengabaian institusi dan amalan berwakaf di kalangan umat Islam. Walau bagaimanapun, sebilangan besar pengkaji secara umumnya mengaitkan pengabaian ini dengan campurtangan, tindakan dan pengaruh penjajahan Barat ke atas negara Islam.  Penerapan nilai sekularisme oleh Penjajah Barat di negara-negara Islam melalui perubahan dasar perundangan, pendidikan, politik dan sosioekonomi telah meninggalkan kesan yang cukup besar dalam pengamalan institusi-instusi Islam termasuk wakaf.  Perubahan enakmen perundangan, penyitaan dan pembatalan harta-harta wakaf  di negara Islam yang ditakluki misalnya, telah berjaya menyempitkan fahaman dan melenyapkan sistem ini daripada ingatan masyarakat Islam. David S. Powers dalam kajiannya ke atas kesan penjajahan ke atas institusi wakaf di Algeria dan India merumuskan bahawa kesukaran mendapatkan tanah di bawah sistem wakaf telah menyebabkan Penjajah Perancis berusaha mengawal institusi wakaf menerusi perubahan siri enakmen perundangan. Keberkesanan perubahan ini  dibantu oleh pelbagai kempen yang memburuk-burukkan institusi wakaf di kalangan penduduk Algeria sendiri. Undang-undang Islam yang mengawal dasar pentadbiran negara di Algeria telah dimansuhkan pada tahun 1830 dan seterusnya digantikan dengan Undang-undang Awam Perancis. Penjajah Perancis telah mengisytiharkan bahawa penjualan harta-harta wakaf kepada warga Eropah adalah sah berdasarkan Ordinan yang diluluskan pada 1hb Oktober 1844. Pada tahun 1859 pula, Undang-undang Jenayah Perancis telah diterimapakai bagi menggantikan Undang-undang Islam dalam urusan hukuman jenayah. Ini diikuti dengan pelulusan  undang-undang yang dikenali sebagai Loi Warnier pada 26hb Julai 1873 yang meletakkan semua urusan tanah di Algeria di bawah kuasa undang-undang Perancis. Menjelang tahun 1873 hanya Undang-undang Islam yang melibatkan perkara-perkara perkahwinan, perceraian dan pewasiatan sahaja yang masih kekal di Algeria. Sejumlah besar buku dan artikel yang merendah-rendahkan kewibawaan institusi wakaf pula telah diterbitkan dalam tahun 1860-an untuk memastikan objektif polisi mereka tercapai menerusi penulis-penulis seperti Santayra & Cherbanneau, E. Zeys, Ernest Mercier dan Marcel Morand. Tindakan yang sengaja dibuat menurut D.S Power ini bertujuan untuk menyekat hak masyarakat Islam di Algeria. Tindakan dan campurtangan yang sama juga dilakukan oleh penjajah Perancis di negara-negara Islam yang lain seperti Tunisia, Morocco, Syria dan Labanon.

     Institusi wakaf di India juga menghadapi campurtangan penjajahan British. Pada tahun 1772 umpamanya, hakim-hakim mahkamah Bengali yang terdiri daripada golongan cerdik pandai Islam telah ditukar dengan hakim-hakim warga British. Hakim-hakim British yang tidak mempunyai pengetahuan langsung tentang Undang-undang Islam telah melihat dan mentafsir wakaf secara negatif yang dianggap tidak mempunyai unsur-unsur  kedermawaan (charitable).  Antara tahun 1879 dan 1893 pula, Mahkamah Tinggi India telah membatalkan semua bentuk wakaf yang memberi hak penerimaan kepada pewakaf dan keluarga mereka. Tindakan sebegini menyokong dakwaan oleh Sir Stanley Alderly, salah seorang ahli House of Lords yang telah memeluk agama Islam, bahawa Kerajaan India sengaja menipu rakyat walaupun mereka mengetahui institusi wakaf wujud dan diperakui di bawah Undang-undang Islam.

      Kedudukan institusi wakaf dapat dilihat menjadi lebih parah di Turki semasa zaman permodenannya. Di bawah pemerintahan Kamal Atartuk, ramai calon Parlimen menjadikan penghapusan institusi wakaf sebagai agenda dalam manisfesto mereka semasa pilihanraya umum tahun 1931. Ia dibuat dan dilaksanakan dengan tujuan untuk mendapatkan kekayaan dengan cepat melalui penjualan harta-harta wakaf yang begitu banyak di Turki.  Pada tahun 1937 pula, sebuah Jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menghapuskan institusi wakaf di Turki secara sistematik. Penyewa-penyewa tanah dan bangunan wakaf telah diarahkan untuk membeli harta-harta tersebut dengan harga yang tinggi. Sekiranya penyewa gagal membayar harga yang ditawarkan maka harta wakaf tersebut dilelong dan hasilnya diambil oleh kerajaan. Institusi wakaf tunai pula telah dimansuhkan pada tahun 1954 melalui penubuhan Bank Awkaf. Undang-undang yang diluluskan pada tahun 1967 telah mewajibkan proses istibdal iaitu penukaran segala wakaf tunai ke dalam bentuk saham-saham bank. Tindakan dan perkembangan ini akhirnya telah memansuhkan sama sekali institusi wakaf di Turki, baik wakaf harta mahupun wakaf tunai. Sementara itu, skop dan peranan wakaf di negara-negara Islam yang lainnya seperti Mesir, Libya, Kuwait, Tunisia dan Syria juga nyata telah disempitkan. Wakaf khas telah dibubarkan kerana dianggap bersifat anti-sosial dan tidak ekonomik.  

       Kesan penjajahanan Inggeris di Malaysia yang bermula pada tahun 1786 telah turut memberi kesan yang besar terhadap pelaksanaan dan amalan berwakaf. Walaupun penguatkuasaan Enakmen dan Ordinan Undang-undang Awam oleh Inggeris tidak melibatkan hal-hal yang bersangkutan dengan adat resam dan agama yang dipegang oleh orang Melayu, namun bukti menunjukkan wujudnya campurtangan British dalam hal yang melibatkan keagamaan termasuk wakaf. Pada tahun 1885 misalnya, Mahkamah Sivil telah menggunapakai Undang-undang Inggeris sebagai asas dalam perkara yang melibatkan wakaf. Undang-undang Inggeris menafikan konsep kekalan (rule of perpetuity) yang menjadi asas penting dalam pembentukan wakaf di bawah Undang-undang Islam. Jangkamasa dan penerima pula perlu ditentukan dengan jelas untuk membolehkan wakaf memenuhi aspek kedermawaan (charitable) dan keagamaan (religious) seperti yang ditetapkan di bawah Undang-undang Inggeris. Kesan daripada pemakaian Undang-undang Inggeris ini telah menyebabkan banyak harta-harta wakaf dibatalkan seperti yang berlaku di negeri-negeri Johor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa dan jurisdiksi untuk mendengar dan menentukan isu berkaitan wakaf. Ini kerana walaupun wakaf termasuk dalam perundangan Islam seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Negeri-negeri  dan Senarai II, Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, namun wakaf masih dianggap sebagai sebahagian daripada amanah yang tertakluk di bawah  Akta Pemegang Amanah 1949. Hal yang berkaitan wakaf hanya boleh didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi Malaysia dan Mahkamah Tinggi Borneo sahaja.

        Penjajahan oleh negara Barat jelas memberi kesan yang signifikan terhadap kehidupan seharian masyarakat Islam yang dijajah. Dasar ini berjaya mengubah sikap dan pandangan umat Islam sehingga mengagong-agongkan amalan Barat. Menurut Profesor Dr. Syed Othman Al-Habshi, walaupun umat Islam telah terlepas daripada belenggu penjajahan secara politik, namun fikiran dan pandangan mereka masih dikongkong oleh penjajah. Umat Islam sendiri misalnya mengganggap kebanyakan perkara yang berasal daripada Islam tidak lagi sesuai untuk diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat moden ini. Profesor Hassan Langgulung pula menyebut bahawa bila negara di dunia ketiga merdeka atau dimerdekakan, sebenarnya dari segi praktisnya negara-negara ini hanya memperolehi bendera dan lagu kebangsaan, sedangkan dari segi kehidupan seperti bahasa dan pemikiran mereka masih dikuasai oleh sistem raksasa ini (negara Barat). Tambahan pula, kealpaan negara-negara Islam sendiri untuk mensyariatkan institusi Islam selepas mendapat kemerdekaan telah menjadikan institusi-institusi Islam termasuk wakaf semakin dipinggirkan.  Dalam konteks wakaf sendiri misalnya, masyarakat Islam umumnya lebih mengenali konsep-konsep trust fund, endowment, foundation, estate planning dan charitable fund yang semuanya sebenarnya berasaskan konsep wakaf yang dipinjam oleh masyarakat Barat. Masyarakat Islam juga lebih mengetahui Universiti Havard, Oxford dan Cambridge berbanding dengan Universiti Al-Azhar di Mesir yang telah menggunakan konsep wakaf dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan tinggi sejak penubuhannya pada tahun 975 M lagi. Ini telah menyebabkan institusi–institusi Islam samada hanya tinggal nama, menghadapi pelbagai masalah pengurusan dan pentadbiran atau tidak dilaksanakan mengikut kaedah yang sesuai.

     Implikasinya, wakaf hari ini difahami dan dilihat dalam konteks yang begitu sempit, tidak moden, tidak ekonomik, bersifat anti-sosial dan hanya terangkum dalam hal-hal kegamaan yang bersifat khusus seperti menunaikan ibadat solat, puasa dan seumpamanya. Keadaan ini samalah seperti fahaman dan pandangan umat Islam hari ini tentang takrifan jihad yang hanya disempitkan kepada perjuangan di medan perang. Menurut Prof. Dato’ Dr Nik Mohd Zain Haji Nik Yusof, pengetahuan umat Islam mengenai harta wakaf amat terbatas telah menyebabkan keengganan penduduk memuliakan pembangunan hartanah wakaf sehingga ia berada pada tahap yang tidak memuaskan. Wakaf hanya dikaitkan dengan tanah-tanah kubur, tanah-tanah terbiar, masjid dan madrasah. Ini secara langsung telah mempengaruhi corak, amalan dan pengurusan umat Islam dalam berwakaf. Di Malaysia, pada tahun 1994 misalnya, daripada sejumlah 11,196 ekar tanah yang diwakafkan, 79.6% atau 8,196 ekar merupakan tanah kubur, masjid dan madrasah. Jumlah pendapatan yang dikutip pada tahun 1992 pula hanya sejumlah RM5,556,467.20 berbanding dengan perbelanjaan yang dikeluarkan untuk mentadbir harta berkenaan iaitu sebanyak RM5,903,648.91. Tanah wakaf seluas 5,684 hektar yang dianggarkan bernilai lebih RM500 juta masih  terbiar dan tidak dimajukan. Ada pula masyarakat Islam yang beranggapan wakaf hanya mampu dilakukan jika individu mempunyai tanah yang luas, bangunan yang besar atau mempunyai wang yang banyak. Pihak-pihak luar yang mempunyai kemampuan dari aspek kewangan seperti bank, agensi-agensi pemodalan dan pembangunan dan syarikat-syarikat swasta pula enggan untuk membiayai projek-projek pembangunan harta wakaf  yang dianggap mempunyai limitasi-limitasi dari sudut perundangan serta keagaaman. Mereka bimbang pelaburan yang dibuat akan menjejaskan hak milik dan keuntungan yang bakal diperolehi.

 

      Pemahaman, tafsiran dan pandangan sebegini, serta ketiadaan model yang baik untuk dijadikan contoh ikutan khususnya di kalangan negara Islam terus mengikis nostalgia kehebatan dan peranan wakaf yang pernah wujud di zaman keagungan Islam untuk diterapkan di kalangan masayarakat Islam hari ini.

 

 

Dr. Razali Othman

Pengarah

Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 01/10/2018 | Kemaskini: 04/10/2018 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdIAi~