MEMAHAMI KONSEP ZAKAT: SYARAT, KADAR DAN ASNAF
Zakat dari segi bahasa ialah keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Sebab dinamakan zakat ialah kerana dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan zakatnya dan menjauhkannya dari segala kerosakan sebagaimana Ibnu Taimiyah berkata: Diri dan harta orang yang mengeluarkan zakat menjadi suci dan bersih serta hartanya berkembang secara maknawi.
Manakala zakat dari segi istilah pula membawa maksud sebahagian harta tertentu yang telah diwajibkan oleh Allah SWT untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Quran atau ia juga boleh diertikan dengan kadar tertentu dari harta tertentu yang diberikan kepada golongan tertentu dan lafaz zakat juga digunakan terhadap bahagian tertentu yang dikeluarkan dari harta orang yang wajib mengeluarkan zakat.
Terdapat beberapa syarat bagi seseorang menunaikan zakat. Pertama, seseorang itu perlulah Islam. Pemilik harta mestilah seseorang yang beragama Islam kerana zakat disyariatkan kepada golongan Islam sahaja. Golongan bukan Islam tidak diminta untuk mengeluarkan zakat. Selain itu, seseorang itu mestilah merdeka. Merdeka di sini bermaksud bebas daripada cengkaman penghambaan. Seterusnya adalah apabila seseorang itu cukup nisab. Sesuatu harta yang dimiliki hendaklah mencukupi nisab iaitu paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta itu dikeluarkan zakat. Cukup haul juga merupakan syarat untuk menunaikan zakat. Cukup haul bermaksud telah berlalu satu tahun ke atas harta yang dimiliki dalam perkiraan tahun Hijrah iaitu selama 354 hari atau mengikut tahun masihi iaitu selama 365 hari.
Harta zakat yang dikumpulkan pula hendaklah diagihkan kepada golongan yang berhak menerima zakat atau dikenali sebagai asnaf. Allah SWT telah menetapkan lapan golongan asnaf dalam al-Quran iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil. Setiap asnaf mempunyai keperluan dan latar belakang yang berbeza, justeru pengagihan zakat perlu dilaksanakan dengan adil, telus dan berkesan agar matlamat zakat dapat dicapai.
Kesimpulannya, pemahaman yang jelas tentang konsep zakat, syarat kewajipan, kadar serta asnaf amat penting bagi memastikan ibadah ini dilaksanakan dengan sempurna. Zakat bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan, malah menjadi instrumen penting dalam membina kesejahteraan ekonomi dan sosial umat Islam. Oleh itu, setiap Muslim diseru untuk menunaikan zakat dengan penuh tanggungjawab sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT dan keprihatinan terhadap sesama insan.
https://emuallaf.islam.gov.my/papar_maklumat.php?ID=24
Date of Input: 28/02/2026 | Updated: 28/02/2026 | rizal_helmi

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN
Open: Monday - Friday.
Close: Saturday, Sunday and Public Holiday.