ISTILAH WAKAF MENURUT EMPAT MAZHAB | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND INFAQ (WAZAN)
» ARTICLE » ISTILAH WAKAF MENURUT EMPAT MAZHAB

ISTILAH WAKAF MENURUT EMPAT MAZHAB

ISTILAH WAKAF MENURUT EMPAT MAZHAB 

 

Istilah wakaf tidak disebut secara langsung di dalam al-Quran dan hadis. Istilah ini adalah hasil daripada tafsiran oleh ahli-ahli fiqh berasaskan kepada ibadah sedekah jariah yang juga disebut sebagai al-sadaqah al-muharramah. Tujuan pelaksanaannya adalah untuk manfaat ahli waris atau untuk kebajikan umum. Terdapat perbezaan pandangan ulama fiqh dalam mengemukakan takrifan mengenai wakaf. Hal ini kerana dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis yang membincangkan tentang wakaf begitu terbatas dan bersifat umum. Justeru, tidak hairanlah jika wujud perbezaan pandangan dalam kalangan ahli fiqh ketika membahaskannya, di atas faktor pengalaman masing-masing dan pengaruh masyarakat setempat.

 

Pada pandangan ulama Mazhab Maliki, wakaf bererti penahanan daripada urusan pemilikan manfaat, manakala harta tersebut masih kekal menjadi milik pewakaf dan boleh dimanfaatkan untuk tujuan kebajikan. Seseorang yang mewakafkan sebidang tanah atau beberapa pohon tamar atau sebuah rumah kepada orang miskin, masih mempunyai hak untuk menguruskan harta wakaf tersebut sama ada untuk disewakan atau membahagikannya kepada orang miskin sehinggalah dia meninggal dunia. Sekiranya pewakaf telah membahagikan harta wakaf tersebut kepada ahli warisnya, maka ia menjadi harta pusaka dan tidak lagi dianggap sebagai harta wakaf. Ini kerana Mazhab Maliki tidak mensyaratkan berkekalan atau ta’bid sebagai syarat penerimaan wakaf walaupun wakaf masjid.

 

Menurut Abu Hanifah pewakafan harta membawa maksud penahanan harta (‘ayn) yang dimiliki kepada pihak lain untuk mendapatkan faedah daripada harta tersebut dengan cara kebajikan, sama ada untuk masa kini ataupun pada masa akan datang. Berdasarkan kepada takrifan ini, kedudukan harta wakaf masih kekal di bawah penguasaan pewakaf. Pewakafan harta tidak sesekali menggugurkan hak milik pewakaf kerana ianya adalah transaksi yang tidak mengikat (ghayr lazim) dan kedudukannya adalah sama dengan konsep peminjaman (‘ariyah) yang juga bersifat ghayr lazim. Pewakafan hanya berlaku ke atas manfaat itu sahaja dan tidak melibatkan ‘ayn atau aset harta. Abu Hanifah mensyaratkan pemilikannya akan lupus apabila hakim menghukumkan wakaf ataupun setelah pewakaf meninggal dunia.

 

Menurut Mazhab Syafi’i pewakafan harta adalah penahanan harta yang berkekalan dan dapat dimanfaatkan harta tersebut, manakala pemilik harta itu akan terputus hak pemilikannya. Penggunaan harta tersebut adalah berbentuk kebajikan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Imam al-Syarbini mentakrifkan wakaf sebagai menahan harta yang kekal bentuknya dan boleh dimanfaatkan, di mana penghasilan daripada harta tersebut dapat digunakan bagi tujuan yang diharuskan (mubah) untuk diserahkan kepada pihak yang telah ditentukan oleh pewakaf mengikut syarak, tanpa menghabiskan harta asalnya.

 

Menurut Ibn Qudamah, wakaf adalah menahan harta asal dan mengagihkan hasilnya pada jalan Allah SWT. Al-Bahuti pula memberi takrifan bahawa wakaf merupakan penahanan milik oleh pewakaf atau wakilnya terhadap sesuatu harta yang bermanfaat dengan mengekalkan harta tersebut dan tidak lagi menjadi miliknya. Ini kerana wakaf bukanlah ‘aqd yang berbentuk pertukaran tetapi ia adalah ‘aqd yang menggugurkan hak milik untuk tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Date of Input: 28/02/2026 | Updated: 28/02/2026 | rizal_helmi

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND INFAQ (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155
+603 9769 2048
S, (12:52:41pm-12:57:41pm, 02 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]