WANG TIDAK PATUH SYARIAH | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
» ARTICLE » WANG TIDAK PATUH SYARIAH

WANG TIDAK PATUH SYARIAH

WANG TIDAK PATUH SYARIAH
 
DEFINISI
 
Prof. Dr. Mohammad Nabil Ghanayim, Profesor di Kuliyyah Syariah Universiti Kaherah, telah mentakrifkan wang atau harta tidak patuh syariah sebagai harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya, atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya, atau terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah SWT.
 
Pandangan Imam al-Syafie juga telah menyatakan bahawa syariah telah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).
 
Manakala kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.
 
DALIL PENSYARIATAN BERKAITAN HARTA TIDAK PATUH SYARIAH
 
Al-Quran
 
Firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)
 
Firman Allah SWT:
الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا ۗ وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَىٰ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَنْ عَادَ فَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
 
Yang bermaksud: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah: 275)
 
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
 
Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” (Surah Al-Nisa’: 29)
 
 
SUMBER: PORTAL MAIS DI 
https://www.mais.gov.my/wang-tak-patuh-syariah/2/

Date of Input: 30/06/2022 | Updated: 30/06/2022 | rizal_helmi

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEUWAC~