TRANFORMASI AGIHAN ZAKAT PENDIDIKAN TINGGI DI PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN), UPM | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
» ARTICLE » TRANFORMASI AGIHAN ZAKAT PENDIDIKAN TINGGI DI PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN), UPM

TRANFORMASI AGIHAN ZAKAT PENDIDIKAN TINGGI DI PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN), UPM

TRANFORMASI AGIHAN ZAKAT PENDIDIKAN TINGGI

DI PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN), UPM

 

Razali Bin Othman

Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN)

Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang

E-mel: razaliupm@upm.edu.my

Tel: 03-8947 1332;  Faks: 03- 8948 3244

 

  

1.0    PENDAHULUAN

 

Keupayaan paling asas untuk pembangunan manusia ialah mendapat hidup yang sihat, pendidikan yang sempurna dan berupaya menyertai kehidupan yang baik dalam masyarakat. Kegagalan memperolehi keupayaan asas ini akan menjerumuskan seseorang itu dalam pelbagai masalah sosial seperti tidak cukup makan, mencuri, berhutang dan hidup dalam kemelaratan.  Dalam hal ini, sepanjang lebih 1400 tahun institusi zakat telah memainkan peranan yang besar sebagai sumber pembiayaan dalam menyediakan kemudahan asas kepada umatnya seperti tempat tinggal, pendidikan, makanan dan penjagaan kesihatan. Dengan kata lain, institusi zakat berperanan sebagai Institusi Jaminan Sosial selaras dengan anjuran al-Qur’an yang meletakkan prinsip al’adl wal ihsan (keadilan dan muafakat). Prinsip yang berteraskan pembangunan dan penyusunan masyarakat adalah selaras seperti firman Allah SWT yang bermaksud;

 

“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah SWT melarang dari perbuatan keji dan mungkar dan permusuhan. Dia memberi pengajaran agar kamu dapat mengambil pelajaran” (Surah an-Nahl, 16:90).

 

Shofian Ahmad & Amir Husin Mohd. Nor (2002) dalam hasil penelitiannya merumuskan bahawa menunaikan zakat adalah wajib serta menjadi satu kefarduan yang memberi tumpuan kepada perhubungan secara langsung sesama manusia. Perhubungan ini pula hanya akan berlaku apabila mereka yang memenuhi syarat wajib berzakat telah mengeluarkan zakat untuk disalurkan kepada lapan golongan penerima zakat seperti yang disebutkan dalam surah al-Taubah (surah al-Taubah, 9:60). Agihan dana zakat kepada lapan golongan asnaf di atas antara lain bermatlamat untuk menjadikan zakat sebagai mekanisme agihan semula pendapatan dan pembangunan masyarakat, menunaikan hak dan tanggungjawab kepada golongan yang berhak menerima serta melaksanakan usaha kebajikan seperti mana yang ditetapkan oleh syara’. Maka dengan sebab inilah, kata Abdul Muhaimin Mahmood (2009) dalam penelitianya terhadap perancangan harta bahawa zakat bukan sekadar satu kewajipan ibadah, malah suatu kewajipan kewangan serta mempunyai hubungan antara insan dengan penciptanya disamping merangkumi hubungan insan dengan insan serta masyarakat. Katanya lagi, zakat dalam Islam merupakan tanggunjawab kepada mereka yang berada terhadap orang miskin bagi memastikan keadilan dan kestabilan sosial terjamin.

Hasrat murni diwajibkan berzakat seperti dibincangkan di atas hanya akan dapat dicapai sekiranya institusi zakat formal, iaitu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang bertanggungjawab dalam mentadbir zakat dapat menguruskan dana kutipan dan agihan dengan cekap. Namun begitu, penelitian yang dilakukan sebelum ini mendapati bahawa institusi zakat masih belum mampu memberikan keyakinan kepada masyarakat Islam mengenai kewajipan membayar zakat. Dalam waktu yang sama, institusi zakat juga tidak mampu mengketengahkan kewibawaannya dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat. Jumlah dana agihan zakat melebihi jumlah dana kutipan zakat dan lebihan dana zakat yang dipegang oleh institusi zakat setiap tahun misalnya sering menimbulkan isu yang kontroversi dalam kalangan masyarakat (Nurul Athirah Mohd Azmi, et al., 2014).

Dalam penelitian terdahulu, Sanep Ahmad & Hairunnizam Wahid (2005) dengan menggunakan model regrasi logistik merumuskan bahawa sekiranya kepuasan agihan meningkat 1 unit, maka kepatuhan membayar zakat secara formal akan meningkat sebanyak 122%. Menurut mereka lagi, semakin puas hati individu terhadap pengurusan zakat, maka semakin tinggi kepatuhan untuk membayar zakat di pusat zakat.  Dalam penelitian yang lain, Hairunnizam Wahid et, al. (2008), Muharman Lubis et, al. (2011) dan May Sapura Mohd Shazilli et, al (2012) mengesahkan dapatan di atas bahawa ramai pembayar zakat tidak berpuas hati dengan pengagihan zakat. Rasa tidak puas hati ini menyebabkan pembayar zakat membayar zakat secara terus kepada asnaf zakat. Sementara menurut Muharman Lubis et, al (2011) pula, walaupun pengurusan kutipan dana zakat telah semakin bertambah baik, namun pengagihan dana zakat masih menimbulkan banyak masalah dan perbahasan. May Sapura Shazilli et, al (2012) pula mendakwa pengurusan aplikasi permohonan yang tidak teratur dan birokrasi yang terlalu tinggi menimbulkan masalah dalam agihan dana zakat kepada asnaf berkaitan.Tambahnya lagi, kekurangan staf  yang mahir dan sikap dalam menjaga “harga diri” membawa kepada kekurangan dalam kutipan agihan dana zakat.

Penyelidik-penyelidik lain seperti seperti Ahmad Fathi Ibrahim et, al (2017), Ahmad Fahme Mohd Ali et, al (2017), Teh Suhaila Tajuddin (2016), Hafizah Zainal et, al. (2016) dan Azman Ab Rahman et, al (2012) membuat penelitian yang sama dan turut menegaskan bahawa  pengagihan dana zakat yang baik akan memberi impak positif kepada pembayar zakat. Impak positif ini akan cenderung membawa kepada mereka untuk membayar zakat di institusi zakat.

Berdasarkan persoalan di atas, maka tujuan utama kertas kerja ini ialah untuk meneliti pendekatan agihan dana zakat, dan kesannya terhadap peningkatan jumlah kutipan serta bilangan pembayar zakat di WAZAN, UPM. Seterusnya, memberikan saranan kepada MAIN sebagai institusi formal zakat di Malaysia untuk mengaplikasikan pendekatan transformasi agihan dana zakat pendidikan tinggi di negeri masing-masing.

 

2.0       SEJARAH AWAL PENUBUHAN PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN), UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM)

 

Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen UPM (WAZAN) secara rasminya telah ditubuhkan pada 1hb Oktober 2016. Perkataan “WAZAN” diambil daripada gabungan tiga sumber penjanaan utama di WAZAN, iaitu WAkaf, ZAkat dan EndowmeN. Sementara itu, dalam bahasa arab, WAZAN membawa maksud neraca atau alat penimbang yang juga disebut sebagai “MIZAN”. Pengertian ini juga adalah sesuai dengan tujuan utama penubuhan WAZAN, iaitu mendidik serta menyemai budaya menyumbang secara sukarela dalam kalangan warga UPM dan masyarakat setempat, samada menerusi kaedah wakaf, zakat, endowmen ataupun infak.  Sumbangan secara sukarela ini disalurkan terus kepada warga UPM yang memerlukan bantuan. Dalam waktu yang sama, para penyumbang akan mendapat ganjaran pahala di hari akhirat. Dengan kata lain, penubuhan WAZAN ini memenuhi prinsip tanggungjawab manusia di bumi Allah SWT, iaitu melakukan kebaikan terhadap makhluk (Hablulminnanas), dan mendekatkan diri dengan Allah SWT (Hablulminallah).

Pengurusan WAZAN diletakkan terus di bawah Pejabat Naib Canselor, UPM dengan visi untuk menjadi pusat kecemerlangan pengurusan wakaf, zakat dan endowmen yang unggul serta bereputasi antarabangsa. Visi ini pula disokong oleh misi WAZAN yang jelas, iaitu untuk menyediakan perkhidmatan kepada seluruh masyarakat dengan penuh integriti dan profesional dalam pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen. Ringkasnya, penubuhan WAZAN adalah sangat signifikan dalam memperkasakan potensi dan momentum yang berterusan keseluruhan aktiviti pendanaan yang berasaskan kedermawanan, merangkumi pengurusan wakaf, zakat, endowmen dan infaq. Ini amat diperlukan bagi meletakkan transformasi tadbir urus filantropi UPM pada landasan yang tepat. Dalam waktu yang sama, penubuhan WAZAN juga adalah selari sebagaimana yang dihasratkan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi dalam Buku Ungu Pelan Transformasi Pendidikan Tinggi bagi menjana pendapatan universiti yang mampan dan lestari.

 

2.1       TADBIR URUS PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN), UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM)

WAZAN diberikan status sebagai Penolong Amil oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS). Sebagai Penolong Amil yang sah, maka WAZAN diberikan kebenaran oleh LZS untuk mengutip dan mengagihkan dana zakat dalam kalangan warga UPM dan masyarakat setempat. Pihak LZS akan mengembalikan sebanyak 43.75% bagi setiap ringgit yang dikutip oleh WAZAN untuk diagihkan semula kepada lima golongan asnaf di UPM, iaitu fakir, miskin, muallaf, fisabilillah dan ibnu sabil (Perjanjian MOU antara UPM dan LZS, 2011). Sementara 6.25% atau 1/16 bahagian lagi akan diserahkan kepada WAZAN sebagai upah Penolong Amil untuk menguruskan hal ehwal berkaitan kutipan dan agihan dana zakat di UPM.

 

                        Rajah I: Hala Tuju WAZAN 2016-2025 (WARM’25)

                        Sumber: WAZAN, UPM (2019)

 

 

Hala Tuju WAZAN 2016-2025 (WARM25) telah dibangunkan sebagai panduan untuk menguruskan pengurusan kutipan dan agihan dana zakat di UPM seperti yang dapat dilihat dalam Rajah I di atas. Berdasarkan Model WARM’25 di atas, WAZAN berhasrat untuk menjadi “The Little Harvard” dan The Little al-Azhar” menjelang tahun 2025. Namun begitu, terdapat empat fasa yang perlu dilalui oleh WAZAN, iaitu fasa penubuhan (2016), fasa pertumbuhan (2019), fasa pengukuhan (2022) dan seterusnya fasa kecemerlangan pada tahun 2025. Perubahan mengikut fasa ini diukur melalui lima teras strategi yang dipantau pada setiap tahun. Lima teras tersebut termasuk pembangunan insan, kualiti penyampaian perkhidmatan, pemasaran perhubungan, kualiti infrastruktur dan tugas yang dilakukan dengan mudah dan tepat. Kelima-lima teras strategi ini pula dibuat dengan berteraskan empat nilai yang bersifat “tauhidi”, iaitu kecemerlangan, kepelbagaian, kelangsungan dan integriti. Menariknya, lima teras strategi dan empat nilai yang dibangunkan ini dibangunkan berdasarkan tiga objektif utama penubuhan WAZAN. Pertama, mendidik dan menyemai budaya menyumbang dalam kalangan warga UPM dan masyarakat setempat. Kedua, mewujudkan dan mempromosi nilai keseronokan menyumbang menerusi program-program yang dijalankan. Ketiga, memperkukuhkan kelangsungan sumber kewangan UPM.

Pendekatan pemasaran bersepadu telah dibangunkan bagi menyokong usaha yang dibangunkan menerusi Model WARM’25 seperti yang ditunjukkan dalam Rajah II di bawah. Menerusi model ini, semua mesej berkaitan zakat di WAZAN akan disalurkan melalui enam alat komunikasi iaitu pengiklanan, promosi jualan/perkhidmatan, acara, perhubungan awam, jualan persendirian dan pemasdaran langsung. Mesej yang disampai secara konsisten ini dibuat dengan matlamat untuk membina serta mengukuhkan lagi posisi strategi berkaitan zakat di UPM. Tag perkataan wazandihati menjadi terma dalam mempromosikan WAZAN kepada masyarakat. Berdasarkan kepada model di atas, semua aktiviti dan promosi zakat di WAZAN menggunakan pendekatan yang holistik dipanggil Multiple Stage Communication Campaign dan setiap kempen yang dibuat menggunakan belanjawan tersendiri yang juga dikenali sebagai Objective & Task Method.

 

            Rajah II : Model Komuunikasi Pemasaran Bersepadu WAZAN

            Sumber : WAZAN (2019)

 

Tiga jawatankuasa utama telah dibentuk bagi memastikan setiap aktiviti dibuat dan dipantau secara ketat. Pertama, Jawatankuasa Tabung Amanah Zakat UPM – LZS yang bertanggungjawab memastikan pembentukan dan pematuhan polisi berkaitan zakat. Kedua, Jawatankuasa Agihan Zakat yang bertanggungjawab memastikan setiap ringgit dana zakat diagih mengikut golongan asnaf yang ditetapkan.  Ketiga, Jawatankuasa Pengurusan WAZAN yang bertanggungjawab memastikan semua urusan zakat dipantau diperingkat pembentukan polisi.

WAZAN juga telah membangunkan prosedur kutipan zakat mengikut dokumentasi ISO QMS 9001 yang diaudit oleh Audit Kualiti UPM dan Lembaga Audit SIRIM pada setiap tahun. Sementara itu, audit dalaman oleh Unit Audit Dalaman UPM dan audit luar oleh Audit Luar Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga akan membuat audit pengurusan WAZAN setiap tahun bagi memastikan semua tadbir urus zakat dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan. Berdasarkan pemantauan yang terancang dan berkala ini membolehkan semua urusan tadbir urus zakat di WAZAN dibuat dengan betul seperti yang ditetapkan mengikut kaedah masing-masing.

 

3.0       PENDEKATAN AGIHAN DANA ZAKAT DI WAZAN, UPM

Pendekatan agihan dana zakat di UPM dibuat dan dipantau secara berkala oleh dua Jawatankuasa seperti dibincangkan di atas. Pertama, Jawatankuasa Tabung Amanah Zakat UPM dan Kedua Jawatankuasa Agihan Zakat UPM. Pengurusan agihan dana zakat oleh Jawatankuasa Agihan Zakat UPM dibuat berdasarkan polisi yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Zakat UPM. Secara umumnya, terdapat dua bentuk agihan dana zakat di UPM. Pertama, agihan secara langsung. Kedua, Agihan Tidak Secara Langsung.

 

3.1       AGIHAN SECARA LANGSUNG

Agihan dana zakat secara langsung ialah agihan yang dibuat dalam bentuk bantuan wang ringgit atau peralatan terus kepada penerima. Terdapat 15 bentuk agihan dana zakat yang disediakan kepada lima golongan asnaf seperti yang dibincangkan sebelum ini, iaitu

  1. Bantuan Sara Diri                                          Bantuan Keperluan IPT;
  2. Bantuan Yuran Pengajian ;                                Bantuan Kecemasan;                            
  • Bantuan Sewa Rumah;    Bantuan Kursus/Latihan;
  1. Bantuan Perubatan;     Bantuan Makanan Bulanan
  2. Bantuan Pendidikan Mualaf                              xiii. Bantuan Keperluan IPT                           
  3.   Bantuan Program Nilai Islam                            xiv. Bantuan Ramadan dan Hari Raya        
  4. Bantuan Saguhati Galakan Saudara Baharu      xv. Bantuan Pendidikan Sekolah

xii.    Bantuan Keperluan IPT

 

Sejumlah RM9,479,128.47 telah diagihkan kepada 25,000 orang warga UPM sebagai penerima manfaat dana zakat sepanjang tahun 2015 – 2018 seperti dalam Graf I di bawah. Jumlah agihan dana zakat ini dilihat meningkat secara purata sebanyak antara 8% ke 15%  setiap tahun. Sementara jumlah sebenar penerima manfaat melebihi 25,000 sekiranya agihan dalam bentuk program serta aktiviti diambilkira dalam pengiraan ini. Sebagai contoh, seramai 500 orang menerima manfaat dalam program Balik Kampung Bersama WAZAN 2019.

                        Graf I: Agihan Dana Zakat UPM bagi Tahun 2016-2018

                        Sumber : WAZAN (2019)

 

Keunikan Dana Agihan Zakat Pendidikan Tinggi UPM ini ialah tidak mengambilkira tempat kelahiran (negeri) pelajar. Semua pelajar yang berdaftar UPM adalah layak untuk memohon dan dipertimbangkan untuk menerima mana-mana bentuk bantuan agihan zakat yang disebutkan di atas. Dalam Graf II di bawah umpamanya menunjukkan bahawa penerima agihan zakat di UPM terdiri dalam kalangan pelajar yang berasal daripada 14 buah negeri di Malaysia, dan juga pelajar luar negara. Malah, menariknya penerima agihan zakat tertinggi di UPM adalah pelajar yang berasal daripada negeri Kelantan, bukannya negeri Selangor.

 

Graf II: Agihan Dana Zakat Mengikut Negeri Bagi Tahun 2017-2019

Sumber: WAZAN (2019)

 

              Graf III: Agihan Dana Zakat Mengikut Pelajar Asnaf di UPM Bagi Tahun 2016-2018

              Sumber: WAZAN (2019)

 

Sementara itu, Graf III di atas pula menunjukkan bilangan pelajar yang menerima bantuan agihan dana zakat mengikut kategori fakir, miskin, fisabillah, mualaf dan ibnu sabil. Secara keseluruhannya penerima manfaat tertinggi adalah daripaga golongan miskin, fakir, fisabililah, ibnu sabil dan seterusnya ialah mualaf.

 

 

 

3.2       AGIHAN SECARA TIDAK SECARA LANGSUNG

Agihan dana zakat secara tidak langsung pula ialah agihan yang diberikan mengikut program dan aktiviti pelajar. Agihan ini dibuat dengan hasrat untuk membangunkan sahsiah dan pencapaian akademik pelajar, khususnya selepas mereka bergraduat nanti. Di antara program utama dalam agihan ini ialah:

 

  • Program Ziarah Ihsan Ramadan

Program Ziarah Ihsan Ramadan dibuat pada setiap bulan Ramadan dengan manyasarkan 150 orang pelajar asnaf (fakir dan miskin) yang berada di seluruh negara. Di dalam program ini, pihak WAZAN akan membuat lawatan dan ziarah terus ke rumah keluarga pelajar-pelajar asnaf terpilih dengan tiga tujuan. Pertama, membuat ziarah dan tinjauan bagi memastikan maklumat yang pelajar berikan semasa permohonan zakat di WAZAN adalah betul. Kedua, menentukan bantuan semula berdasarkan ziarah dan tinjuan sebenar rumah pelajar. Ketiga, membantu menambahbaik rumah-rumah keluarga pelajar asnaf yang daif. Pada setiap lawatan, para pelajar asnaf akan diberikan bantuan Ramadan sebanyak RM1500.00, dan bantuan barangan keperluan harian seperti beras, gula dan kopi.

 

  • Program Melahirkan Asnaf Kelas Pertama

Program Melahirkan Asnaf Kelas Pertama ini dibuat dengan menyasarkan para pelajar asnaf yang memperolehi Purata Mata Markah Keseluruhan (PMK), 3.5 dan ke atas. Pelajar asnaf yang terpilih akan diwajibkan mengikuti program khusus yang dibuat secara tersusun, berkala dan berasaskan semester. Model Neuro-Linguistic Programming (NLP) dengan menggunakan pendekatan “coaching” diaplikasikan bagi melahirkan pelajar cemerlang bergraduat dengan Kelas Pertama. Seramai sembilan pelajar asnaf telah bergraduat sengan Kelas Pertama sepanjang hampir setahun program ini dilancarkan.

 

  • Program Mobiliti Asnaf

Program Mobiliti Asnaf ialah program yang dibuat bagi membantu para pelajar asnaf mengikuti program pengajian (mobiliti) di luar negara. Menerusi program ini, para pelajar bukan sahaja mendapat pendedahan terus di luar negara berkaitan bidang pengajian mereka, tetapi juga dapat mempraktikan pengurusan terbaik seperti yang dipraktik oleh industri yang sama di luar negara. Sebagai contoh, seramai lima orang pelajar asnaf UPM telah diberi bantuan mobiliti untuk mengikuti program pengajian pertanian selama dua minggu di sebuah ladang pertanian terbaik di Kyoto, Jepun. Selepas menamatkan program moboliti tersebut, pelajar-pelajar berkenaan dikehendaki menulis sebuah buku berkaitan pengalaman mereka dan juga berkongsi pengalaman dalam sesi perkongsian sebagai syarat kelulusan tajaan tersebut.

 

 

  • Program Kursus Profesional Asnaf

Program Kursus Profesional Asnaf ini disediakan bagi membantu para pelajar asnaf untuk mengikuti kursus-kursus profesional yang diperlukan selain daripada kursus wajib yang mereka ambil di Fakulti masing-masing. Di antara tujuan bantuan program ini ialah untuk memberi peluang kepada pelajar prasiswazah mempelajari, memahami serta mengaplikasikan bidang kemahiran berkaitan. Di samping itu, para pelajar akan memperolehi persijilan tambahan yang akan dapat meningkatkan peluang mereka berkerja selepas bergraduat nanti. Sebagai contoh, seramai 15 orang pelajar Fakulti Sains Teknologi dan Makanan telah menerima bantuan dana zakat untuk mengikuti program Persijilan MS 1514:2009 GMP Internal Auditing, MS 1480:2007 HACCP Internal Auditing dan MS 1500:2009 Halal Internal Auditing.

 

  • Program Pemantapan Sahsiah dan Kemimpinan Asnaf

Program pemantapan sahsiah dan kepimpinan asnaf dibuat dengan matlamat untuk membentuk akhlak yang baik dan melahirkan pelajar yang berjiwa pemimpin dalam kalangan pelajar asnaf. Pelajar-pelajar terpilih dalam kalangan mereka yang memperolehi PMK 3.0 ke atas akan dilatih dan didedahkan dalam pelbagai aspek kemahiran hidup dan kempimpinan berdasarkan sistem semester.

 

4.0       IMPLIKASI AGIHAN DANA ZAKAT TERHADAP PENINGKATAN JUMLAH KUTIPAN DAN BILANGAN PEMBAYAR ZAKAT

Agihan dana zakat yang efisen dan menyeluruh dilihat telah menampakkan tiga kesan positif terhadap jumlah kutipan dana zakat keseluruhan, bilangan pembayar zakat keseluruhan dan pencapaian penerima zakat dalam kalangan pelajar asnaf di UPM.

 

4.1       KUTIPAN DANA ZAKAT KESELURUAN 2015-2018

Terdapat dua bentuk medium kutipan dana zakat di WAZAN. Pertama, kutipan menerusi medium kaunter dan kedua menerusi medium Skim Potongan Gaji Bulanan. Sepanjang penubuhan WAZAN, kutipan dana zakat menerusi kedua-dua medium di atas telah menunjukkan peningkatan yang ketara seperti yang dapat dilihat dalam Graf IV. Bermula daripada RM5,634,558.79 (sebelum penubuhan WAZAN) pada tahun 2015 kepada RM5,734,783.05 pada tahun 2016. Kutipan ini terus meningkat kepada RM6,440,883.21 pada tahun 2016, dan seterusnya kepada RM6,968,721.05 pada tahun 2018. Menariknya, kutipan dana zakat menerusi medium kaunter WAZAN berjaya dikutip melebihi RM1 juta selepas dua tahun penubuhan WAZAN, iaitu pada tahun 2018 seperti yang dapat dilihat di Graf V di bawah. Pada tahun 2017, misalnya kutipan di kaunter WAZAN adalah sebanyak RM894,835.22, dan seterusnya meningkat kepada RM1,128,288.78 pada tahun 2018.

           

Graf IV: Kutipan Dana Zakat di UPM Bagi Tahun 2015-2018

Sumber: WAZAN (2019)

 

            Graf V: Prestasi Kutipan Di Kaunter WAZAN Bagi Tahun 2015-2018

            Sumber: WAZAN (2019)

 

 

4.2       BILANGAN PEMBAYAR ZAKAT KESELURUHAN 2016-2018

Bilangan pembayar zakat bagi kedua-dua medium di atas juga telah menunjukkan peningkatan yang ketara. Pada tahun 2015 misalnya, seramai 2602 orang pembayar zakat telah menunaikan tanggungjawab mereka di WAZAN. Angka ini telah meningkat kepada 2828 orang pembayar zakat pada tahun 2016, dan terus meningkat kepada 3752 orang pada tahun 2018 seperti yang ditunjukkan dalam Graf VI di bawah. Data ini juga menunjukkan bahawa peningkatan pembayar zakat lebih banyak di medium kaunter berbanding dengan medium Skim Potongan Gaji. Angka ini adalah munasabah kerana pada setiap tahun seramai antara 150 orang ke 200 orang pembayar zakat menerusi medium Skim Potongan Gaji bersara daripada perkhidmatan mereka di UPM. Mereka adalah antara penyumbang besar dalam Skim Potongan Gaji. Sementara terdapat pelbagai jabatan kerajaan seperti Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), Institut Latihan Pertanian (ILP), Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dan kariah Serdang yang menyumbang kepada peningkatan di medium kaunter WAZAN.

 

    Graf VI: Bilangan Pembayar Zakat di Medium Kaunter WAZAN Bagi Tahun 2015-2018

    Sumber: WAZAN (2019)  

 

4.3       IMPLIKASI KEPADA PENERIMA ZAKAT

Selain daripada berlakunya peningkatan dalam jumlah kutipan dana zakat dan pembayar zakat di UPM setiap tahun, pendekatan yang bersifat terancang dan tersusun ini telah memberi kesan yang jelas kepada penerima agihan dana zakat di UPM sendiri. Pada tahun 2016 sejumlah RM2,372,160.69 diagihkan berbanding dengan RM1,968,694.47 pada tahun 2015.  Seterusnya jumlah agihan ini meningkat kepada RM2,264,771.11 pada tahun 2017 kepada RM2,873,502.20 pada tahun 2018. Secara keseluruhan agihan sepanjang tempoh tersebut ialah sebanyak RM9,479,128.47. Jumlah agihan ini tidak mengambilkira agihan kepada staf UPM yang berjumlah RM197,958.10 seperti yang dapat dilihat dalam Graf VII di bawah.

 

Sementara itu, bilangan penerima agihan manfaat dana zakat juga dilihat bertambah dengan ketara. Pada tahun 2015 seramai 3659 menerima manfaat agihan zakat ini. Jumlah ini meningkat kepada kepada 4846 orang (2016), 4939 orang (2017), dan seterusnya 5500 orang pada tahun 2018. Secara keseluruhannya, seramai 18,944 orang menerima manfaat agihan dana zakat sepanjang tempoh tersebut. Bilangan ini akan bertambah kepada lebih 25,000 orang sekiranya penerima agihan mengikut program diambilkira dalam pengiraan ini.

 

                        Rajah VII: Penerima Agihan Dana Zakat bagi Tahun 2015-2018

                        Sumber : WAZAN (2019)

 

 

 

Rajah VIII: Bilangan Penerima Agihan Manfaat Dana Zakat Bagi Tahun 2015-2018

Sumber: WAZAN (2019)

 

Implikasi yang ketara juga dapat dilihat daripada kejayaan program-program di bawah agihan secara tidak langsung. Seramai sembilan orang pelajar asnaf telah bergraduat dengan Kelas Pertama di bawah program “Melahirkan Asnaf Kelas Pertama”. Di bawah program “Ziarah Ihsan Ramadan” pula, seramai 11 orang pelajar asnaf diberikan bantuan tambahan dan lima buah rumah keluarga mereka yang daif akan diperbaiki oleh pihak WAZAN. Sementara program-program yang lain seperti program “Kursus Profesional Asnaf”, “Mobiliti Pelajar” dan “Pemantapan Sahsiah dan Kemimpinan Asnaf” dijangka akan menampakkan impaknya selepas pelajar bergraduat daripada UPM.

 

 

                                    Gambar I: Program “Melahirkan Asnaf Pertama”

                                    Sumber: WAZAN (2019)

 

                                    Gambar II: Program Ziarah Ihsan Ramadan

                                    Sumber: WAZAN (2019)

 

5.0       SARANAN DAN KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa dengan membangunkan pendekatan agihan manfaat dana zakat yang baik, teratur dan terancang, sekali gus akan membawa kepada peningkatan tahap kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat. Tahap kepercayaan masyarakat ini dijelmakan dalam kencenderungan mereka untuk menunaikan zakat di institusi zakat berkenaan. Ini dibuktikan menerusi penelitian yang dibuat di WAZAN, UPM.

Sepanjang hampir tiga tahun penubuhannya, WAZAN menerusi pendekatan agihan yang inovatif dan kreatif telah dapat meyakinkan warga UPM dan masyarakat sekitar untuk menunaikan zakat samada menerusi medium Skim Potongan Gaji ataupun di Kaunter WAZAN. Kutipan dikedua-dua medium ini telah meningkat dengan ketara. Malah, selepas dua tahun penubuhannya, kaunter WAZAN berjaya mengutip dana zakat melebihi RM1 juta pada bulan Disember 2018. Bilangan pembayar zakat di kedua-dua medium kutipan WAZAN juga telah meningkat walaupun dikekang dengan palbagai cabaran. Antaranya, bilangan staf UPM yang bersara mencecah 150 orang ke 200 orang setiap tahun. Pesara ini adalah merupakan pembayar zakat tegar di UPM menerusi Skim Potongan Gaji. Sementara itu, agihan dana zakat ini juga jelas memberi manfaat yang sangat besar kepada warga UPM, termasuk pelajar daripada luar negara. Sepanjang tiga tahun penubuhannya, sebanyak RM9,479,128.47 dana zakat telah diagihkan kepada lebih 25,000 orang penerima dalam kategori fakir, miskin, fisabilillah, mualaf dan ibnu sabil. Pelbagai program telah dibangunkan di bawah agihan secara tidak langsung yang memberi manfaat kepada pembentukan sahsiah, kepimpinan serta akademik kepada para pelajar di UPM. Malah, sembilan orang pelajar asnaf berjaya bergraduat dengan Kelas Pertama menerusi program “Melahirkan Asnaf kelas Pertama”. Program-program lain seperti yang dibahaskan di atas dijangka memberi nilai tambah kepada para pelajar apablila mereka bergraduat nanti. Program-program yang dibincangkan di atas tidak lagi mengambilkira program lain yang dijalankan oleh WAZAN seperti program “Balik Raya Bersama WAZAN” yang melibatkan 450 orang pelajar balik beraya secara percuma dengan disediakan 9 buah bas, program “Kelas Mengaji al-Bagdadi” yang melibatkan 200 orang staf UPM, program “Tetamu Ramadan” yang melibatkan hampir 1000 staf UPM dan program “Usahawan Asnaf WAZAN’ yang turut melibatkan pelajar dan staf UPM.

Oleh itu, adalah disarankan agar MAIN memberi tauliah sebagai Penolong Amil kepada semua  institusi pengajian tinggi samada awam (IPTA) atau swasta (IPTS) di negeri masing-masing. Tauliah ini membolehkan IPTA dan IPTS menjalankan urusan memungut dan mengagihkan dana zakat dalam kalangan warga mereka. Kepakaran dan kemahiran yang sediada di IPTA dan IPTS memberi ruang kepada mereka untuk mewujudkan tadbir urus zakat dengan efektif dan efisen. Dana zakat yang dikutip bukan sahaja boleh diagihkan kepada para pelajar dalam pelbagai bentuk aktiviti serta program, tetapi dalam waktu yang sama dapat menyediakan mereka untuk lebih bersedia menjadi pemimpin negara. Pelajar asnaf yang bergraduat dengan cemerlang dan mendapat perkerjaan akan memendekkan putaran kemiskinan keluarga. Dengan kata lain, mereka yang berkerja mampu untuk membantu mengurangkan bebanan kemiskinan keluarga mereka.

Secara kesimpulannya, pendekatan agihan dana zakat pendidikan tinggi di WAZAN adalah contoh serta model transformasi agihan yang boleh diguna pakai oleh MAIN untuk memperkasakan agihan mereka, khususnya di IPT dan IPTS di negeri masing-masing. Pengurusan agihan dana zakat yang cekap akan membawa kepada keyakinan orang ramai untuk berzakat. Semakin ramai orang yang berzakat, maka semakin tinggi jumlah kutipan dana zakat yang terkumpul. Jumlah dana zakat yang banyak pula akan menyediakan sumber pembiayaan yang besar kepada MAIN untuk menyusun serta membangunkan semula kehidupan masyarakat selari dengan tujuan zakat difardukan oleh Allah SWT.

 

 

Date of Input: 19/08/2019 | Updated: 19/08/2019 | nuruliman

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 8993/6156
+603 9769 2048
C1573987770