Kepentingan Zakat Kepada Umat Islam | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Kepentingan Zakat Kepada Umat Islam

Kepentingan Zakat Kepada Umat Islam

“Aku tak nak bayar zakat, aku tak tahu ke mana duit aku dibahagikan,”.

“Aku dah bayar zakat masa bulan Ramadan,”.

“Aku pun hidup susah, macam mana nak bayar zakat,”.

Ayat-ayat di atas mungkin merupakan alasan-alasan klise yang sering disuarakan oleh masyarakat kita yang mencari seribu satu helah untuk melarikan diri daripada menyempurnakan kewajipan dalam menunaikan zakat.

Tidakkah kita sedar bahawa menunaikan zakat itu merupakan salah satu daripada rukun Islam yang kelima malah zakat juga adalah manifestasi kesyukuran kita terhadap rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Bijak pandai ada mengatakan harta itu diumpamakan seperti air mengalir. Selagi air mengalir, selagi itulah ia bersih dan jernih. Jika air bertakung, maka ia kotor dan membusuk. Oleh itu, zakat merupakan salah satu cara untuk menyucikan harta selain sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah.

Kepentingan zakat dapat dilihat melalui firman Allah di dalam surah At-Taubah, ayat 103 yang bermaksud : “Ambillah sebahagian dari harta mereka sebagai sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Selain menyucikan harta zakat juga berperanan untuk membangunkan ekonomi umat Islam dengan merapatkan jurang antara golongan kaya serta miskin dengan matlamat mengeluarkan golongan asnaf daripada kepompong kemiskinan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd. Ali mendedahkan seramai 513 penerima zakat di Selangor telah berjaya keluar daripada senarai golongan asnaf melalui pelbagai bantuan yang diberikan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bagaimanapun menurutnya, matlamat LZS untuk menjadikan lebih ramai penerima zakat sebagai pembayar zakat tidak akan berhasil tanpa sokongan daripada umat Islam di Selangor.

Katanya, walaupun jumlah pembayar zakat semakin meningkat setiap tahun dan menunjukkan pertambahan yang positif namun jumlah kutipan zakat harta masih belum mencukupi.

“Jumlah kutipan tahun lalu ialah RM627.2 juta manakala jumlah agihan zakat ialah RM676 juta.

“Jumlah agihan pada tahun lalu melebihi kutipan memandangkan selalunya pada bulan Disember merupakan hari yang sibuk kerana orang ramai berpusu-pusu untuk membayar zakat harta mereka dan kita akan mengagihkan terus zakat kepada yang layak,” jelasnya ketika ditemui selepas perbincangan mengenai isu zakat Selangor bersama Majlis Perundingan Melayu (MPM) baru-baru ini.

Husin memberitahu, keperluan asnaf dan fakir miskin di Selangor semakin meningkat setiap tahun dan kini jumlah keperluan asnaf mencapai RM1 bilion setahun.

“Melalui data yang dibanci lebih 40,000 keluarga termasuk dalam senarai golongan yang perlu dibantu.

“Jumlah mereka yang berjaya keluar daripada senarai asnaf masih lagi kurang jika dibandingkan dengan jumlah mereka yang tersenarai.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tarikh Input: 28/09/2018 | Kemaskini: 18/01/2021 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdUAo~