Siapakah Yang Dimaksudkan Fi Sabilillah Dalam Golongan Asnaf Zakat? | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND INFAQ (WAZAN) wazan
» ARTICLE » Siapakah yang dimaksudkan Fi Sabilillah dalam golongan asnaf zakat?

Siapakah yang dimaksudkan Fi Sabilillah dalam golongan asnaf zakat?

Umumnya seperti masa diketahui zakat mempunyai beberapa pecahan bagi golongan asnaf zakat. Ianya bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Taubah ayat 60:
 
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
 
Maksudnya:
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
 
Berdasarkan dalil berkaitan asnaf zakat di atas, Ibn Abbas RA menyatakan bahawa ayat Quran diatas menerangkan beberapa ciri asnaf zakat. Menerusi beberapa ciri asnaf zakat ini, maka inilah ciri-ciri mutlak bagi asnaf zakat seperti mana perintah Allah SWT kepada umat Islam supaya kiblat umat Islam hanya Kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat. Begitu jualah asnaf zakat, sekiranya tiada ciri-ciri yang dinyatakan maka tidak tergolong dalam golongan asnaf zakat.
 
Fi sabilillah adalah jalan Allah atau petunjuk. Menurut istilah pula, menurut Yusuf Al-Qaradawi, perkataan sabil didefinisikan secara mutlak kepada berperang dengan musuh Allah, manakala Sabilillah pula adalah semua perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Terdapat dua jenis pandangan daripada ulama fuqaha’ terdahulu berkaitan dengan Makna Fi Sabilillah iaitu pandangan ulama dahulu dan ulama kontemporari. 
 
Pandangan ulama dahulu adalah pandangan daripada ulama empat mazbah muktabar iaitu, Abu Hanifah, Maliki, Syafie dan Hanbali. Menurut pandangan ini Fi Sabilillah adalah mereka yang pergi berjihad dan berperang di jalan Allah SWT. Selain itu, pandangan ini juga menyatakan agihan zakat tidak harus diberikan pada perkara-perkara yang berbentuk kebajikan dan maslahat umum seperti mendirikan sekolah, masjid, membina kubu, tembok, membaiki jalan, mengkafankan jenazah dan sebagainya. Sebaliknya perkara yang berbentuk kebajikan dan maslahat umum itu ditanggung di bawah baitulmal seperti kharaj, al-fai dan selainnya.
 
Pandangan kontemporari pula memberikan tafsiran yang lebih luas berbanding pandangan ulama dahulu. Antara ulama kontemporari yang memberikan pandangan berkaitan makna Fi Sabilillah adalah Ahmad Mustafa Al-Maraghi, Muhammad Rasyid Bin Ali Ridha, Dr Yusuf Qaradawi dan sebagainya. Pendapat ini merumuskan Fi Sabilillah adalah perbuatan yang menuju mendapat redha Allah SWT. Ianya tidak hanya menghadkan kepada berperang di medan peperangan sahaja.  
 
Secara rumusannya, pentafsiran Fi Sabilillah pada zaman sekarang merangkumi semua aspek kehidupan iaitu jihad dalam bidang agama, ekonomi, pendidikan, politik, budaya yang bertujuan untuk memelihara agama Islam. Di sini dapat dilihat, pusat zakat menumpukan kepada aktiviti-aktiviti pendidikan, dakwah, bentuk kemahiran dan sebagainya.
 

Date of Input: 30/10/2024 | Updated: 13/11/2024 | rizal_helmi

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND INFAQ (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155
+603 9769 2048
X, (11:46:24pm-11:51:24pm, 08 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]