REBUT PAHALA WAKAF BERPANJANGAN | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » REBUT PAHALA WAKAF BERPANJANGAN

REBUT PAHALA WAKAF BERPANJANGAN

Adakah wakaf sama dengan sedekah atau ia ada keistimewaan yang khusus?

 

WAKAF dari segi bahasa bermaksud berhenti, menegah dan menahan. Dari segi istilah, wakaf adalah menahan benda agar tidak dimiliki serta supaya manfaatnya boleh disedekahkan.

Maka, jadilah pemilikan harta itu beralih kepada pemilikan Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/85)

 

Dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.”

Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadis itu dengan maksud wakaf, sepertimana kata Imam al-Rafi’i.

Pahala sedekah jariah akan terus mengalir kepada orang yang melakukannya sedangkan sedekah lain, pahalanya tidak berterusan mengalir seperti sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87)

Golongan ulama mengemukakan pengertian wakaf dengan jelas antaranya:

Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf sebagai: “Menahan harta yang mungkin boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak pemilikan atas harta tersebut dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan yang dibolehkan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Min-haj, 25/307)

Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkan buah (hasil).” (Lihat al-Mughni, 12/175)

Sayyid Sabiq menyebut wakaf ialah menahan benda yang menjadi milik pewakaf dan menyedekahkan manfaatnya di jalan Allah SWT. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/515)

Wahbah al-Zuhayli menyatakan, wakaf ialah menahan harta benda yang kekal zatnya serta boleh dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan dan ia diserahkan kepada pihak yang ditentukan dengan harapan dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 8/155)

Dapat difahami, wakaf diertikan sebagai amalan menyerahkan sebahagian harta dimiliki untuk dimanfaatkan masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Wakaf memutuskan segala bentuk hak dan penguasaan pewakaf ke atas harta yang diwakafkan. Orang yang mewakafkan hartanya akan diganjarkan pahala berkekalan selama mana harta wakaf itu masih ada dan terus dimanfaatkan serta tidak musnah.

Sudah tentu ia berbeza dengan sedekah lain. Contohnya, seseorang mewakafkan wang RM10 untuk pembinaan masjid. Selagi masjid itu kekal, selagi itu pahala akan mengalir kepada pewakafnya.

 

Sedekah pula seperti seseorang menyedekahkan RM10 kepada peminta sedekah. Duit RM10 itu digunakan untuk membeli makanan bagi menghilangkan kelaparan.

Setelah makanan itu habis, pahala sedekah hanya setakat itu saja. Oleh itu, di samping melakukan sedekah, rebutlah peluang untuk berwakaf sama ada dalam bentuk wang tunai, aset dan sebagainya.

 

Semoga Allah SWT memberikan ilmu dan kefahaman supaya kita dapat membuat persiapan sebaik-baiknya demi keuntungan kehidupan di akhirat yang kekal abadi.

 

Sumber: Al-Kafi li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, baca  di https://www.hmetro.com.my/addin/2019/01/414330/rebut-pahala-wakaf-berpanjangan

Tarikh Input: 30/01/2020 | Kemaskini: 11/05/2022 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdNAi~