ZAKAT DAN WAKAF: PEMANGKIN KESEJAHTERAAN SOSIO-EKONOMI DAN TANGGUNGJAWAB DI IPT | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND INFAQ (WAZAN) wazan
» ARTICLE » ZAKAT DAN WAKAF: PEMANGKIN KESEJAHTERAAN SOSIO-EKONOMI DAN TANGGUNGJAWAB DI IPT

ZAKAT DAN WAKAF: PEMANGKIN KESEJAHTERAAN SOSIO-EKONOMI DAN TANGGUNGJAWAB DI IPT

ZAKAT DAN WAKAF: PEMANGKIN KESEJAHTERAAN SOSIO-EKONOMI DAN TANGGUNGJAWAB DI IPT

 

Oleh: 

Hj. Haris bin Dahlan

Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN)

Universiti Putra Malaysia

 

Zakat dan wakaf merupakan dua instrumen kewangan Islam yang memainkan peranan amat strategik dalam pembangunan sosio ekonomi sesebuah negara. Kedua-duanya bukan sekadar amalan ibadah individu, malah berfungsi sebagai mekanisme pengagihan semula kekayaan yang berupaya merapatkan jurang kemiskinan, memperkasa pendidikan, serta menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia khususnya di negeri Selangor.

 

Melalui pengurusan yang sistematik, dana zakat dan wakaf telah terbukti menjadi jawapan kepada pelbagai isu kebolehupayaan ekonomi dan sosial masyarakat masa kini.

 

  1. Merapatkan Jurang Kemiskinan dan Memperkasa Komuniti Selangor

 

Di Selangor, keberkesanan pengurusan zakat dapat dilihat menerusi penyediaan bantuan keperluan asas, sokongan ekonomi, dan perlindungan sosial kepada golongan asnaf. Zakat bertindak sebagai jaring keselamatan (social safety net) yang memastikan tiada isi rumah terpinggir daripada arus pembangunan.

 

Manakala, peranan wakaf pula melengkapi usaha ini menerusi konsep sadaqah jariyah iaitu pembangunan aset dan fasiliti awam yang memberi manfaat secara berterusan kepada komuniti setempat. Gabungan kedua-dua instrumen ini membolehkan bantuan kewangan tidak hanya bersifat sementara, malah berupaya membangunkan kapasiti ekonomi masyarakat secara jangka panjang.

 

  1. WAZAN UPM selaku model penggerak di Institusi Pengajian Tinggi 

 

Bagi memastikan potensi zakat dan wakaf ini dapat dimanfaatkan secara optimum di peringkat akar umbi dan menara ilmu, penglibatan institusi khusus amat diperlukan. Di sinilah lahirnya peranan institusi seperti Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM.

 

Sebagai institusi yang berperanan sebagai penolong amil yang bekerjasama erat dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan menjalankan fungsi mutawalli Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), WAZAN berfungsi sebagai pelaksana yang menterjemahkan konsep zakat dan wakaf kepada impak nyata:

 

Wakaf ilmu dan manfaatnya: Menguruskan dana wakaf tunai bagi membiayai biasiswa, dermasiswa, dan penambahbaikan kemudahan pembelajaran agar akses pendidikan berkualiti terus terbuka kepada semua.

Kebajikan menerusi agihan Zakat: Mengagihkan dana zakat secara telus dan berfokus untuk membantu pelajar asnaf, menyediakan bantuan sara hidup, serta menjalankan program kebajikan seperti bantuan zero hunger (pemberian makanan percuma) dan Program Ziarah Mahabbah bagi membantu para pelajar UPM yang datang dari seluruh pelusuk negara.

 

  1. Kepimpinan yang agresif mendepani keperluan IPT: Sebagai Pengerusi MAWEZ 

 

Kedudukan UPM sebagai model pentadbiran zakat dan wakaf di peringkat pendidikan tinggi diiktiraf secara meluas apabila UPM diberi kepercayaan untuk menerajui Majlis Wakaf, Endowmen dan Zakat Universiti Awam (MAWEZ) sejak tahun 2024.

 

Menerusi pimpinan ini, UPM menerusi WAZAN memainkan peranan sebagai pendorong utama dalam merangka hala tuju, menyelaraskan dasar, serta memperkasakan jaringan kerjasama antara Universiti Awam (UA) di seluruh Malaysia. Kepimpinan UPM dalam MAWEZ memastikan amalan terbaik (best practices) pengurusan zakat dan wakaf dapat dikongsi dan diperluaskan, seterusnya mengangkat institusi universiti sebagai hab filantropi Islam yang berimpak tinggi di peringkat nasional.

 

  1. Menelusuri Imbauan Sedekad Penubuhan WAZAN (2016–2026)

 

Menjelang sambutan WAZAN Sedekad 2026, perjalanan sepuluh tahun penubuhan WAZAN UPM menjadi cerminan keberkesanan model pengurusan zakat dan wakaf di peringkat universiti. Dalam tempoh sedekad ini, WAZAN telah berkembang daripada sebuah pejabat pengurusan dana kecil kepada sebuah institusi filantropi Islam yang diyakini oleh penyumbang, rakan korporat, dan warga UPM.

 

Sepanjang sepuluh tahun ini, WAZAN telah melahirkan pelbagai inisiatif impak tinggi seperti Biasiswa Wakaf Ilmu, Klinik Zakat dan Wakaf, serta kerjasama strategik bersama badan perbankan seperti Bank Rakyat yang secara konsisten membantu ribuan pelajar dan warga komuniti yang memerlukan.

 

Kesimpulannya, zakat dan wakaf bukan lagi sekadar instrumen tradisi, sebaliknya merupakan pemangkin moden kepada kemajuan sosioekonomi rakyat Malaysia. Keberhasilan yang ditunjukkan menerusi WAZAN Sedekad serta kepimpinan UPM meneraju MAWEZ membuktikan bahawa apabila dana zakat dan wakaf diurus dengan telus, profesional, dan berfokus, ia mampu mengubah kehidupan insan dan memartabatkan taraf pendidikan negara.

 

Sokongan berterusan daripada para pembayar zakat, penyumbang wakaf, dan rakan strategik amat diperlukan agar agenda pembangunan ummah ini dapat diteruskan demi kesejahteraan generasi akan datang.

Date of Input: 30/07/2026 | Updated: 30/07/2026 | rizal_helmi

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND INFAQ (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155
+603 9769 2048
X, (02:33:27am-02:38:27am, 17 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]