LAPORAN SUKU PERTAMA KUTIPAN DAN AGIHAN WAKAF ILMU DAN ZAKAT UPM 2026
Laporan Kutipan Dan Agihan Zakat UPM
Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melaksanakan amanah dalam mengurus dan mengagih dana zakat. Suku pertama 2026 (Jan-Mac), WAZAN mencatatkan jumlah kutipan zakat sebanyak RM2.71 juta. Kutipan ini merangkumi kutipan melalui Skim Potongan Gaji (SPG) zakat dengan jumlah RM1.53 juta dan kutipan melalui kaunter zakat WAZAN dengan jumlah RM1.15 juta.
Kutipan ini dipengaruhi oleh pembayaran zakat dilaksanakan pada bulan Ramadhan (Februari 2026) yang sedia maklum menjadi bulan mengejar rahmat Allah SWT kepada umat Islam menyemak kewajiban rukun keempat Islam, dengan menunaikan ibadah zakat seperti zakat pendapatan dan harta di dalam bulan yang mulia tersebut. Data ini jelas menunjukkan tahap keprihatinan yang tinggi dalam kalangan warga UPM dan masyarakat umum terhadap kewajiban berzakat serta keyakinan mereka terhadap sistem pengurusan yang dilaksanakan oleh WAZAN.
Melalui jumlah yang berjaya dikutip, sejumlah RM362,873.10 telah disalurkan kepada lima kategori utama asnaf dalam kalangan warga UPM. Pelajar merupakan penerima bantuan tertinggi dengan jumlah RM278,015.50 (76.62%), diikuti dengan bantuan program sebanyak RM67,857.60 (18.70%) staf sebanyak RM17,000.00 (4.68%).
Agihan ini juga melibatkan kategori asnaf seperti fakir RM102,386.50 (28.22%), miskin RM98,174.00 (27.05%), fisabilillah RM143,362.60 (39.51%), dan muallaf RM2,800.00 (0.77%) membuktikan bahawa bantuan disalurkan secara menyeluruh dan tepat kepada golongan asnaf yang benar-benar layak.
Agihan Bantuan zakat ini turut diperincikan kepada permohonan bantuan menerusi Portal eWAZAN yang mana melibatkan 695 permohonan termasuklah 15 permohonan pelajar PhD/Master, 637 permohonan pelajar Ijazah Sarjana Muda (Bacelor), 35 permohonan pelajar Diploma dan 8 permohonan pelajar Asasi. Disamping itu juga, agihan bantuan ini diperincikan kepada bilangan pelajar dari fakulti dan institut (rujuk data: Kategori Fakulti).
Pada suku pertama tahun 2026 juga, WAZAN telah memperluaskan agihan zakat kepada warga anak-anak syarikat UPM (UPM Holding & Putra Business School) dan Koperasi UPM Berhad (KUPUTRA) sebagai penerima dana zakat.
Disamping medium kutipan dan agihan zakat Lembaga Zakat Selangor, pihak WAZAN UPM juga bertanggungjawab untuk mengutip dan mengagihkan dana-dana yang melibatkan wakalah zakat yang diberikan oleh syarikat-syarikat korporat dan juga individu. Pada suku pertama tahun 2026, kutipan yang diperoleh melalui dana wakalah zakat korporat ialah berjumlah RM1.6 juta.
Melalui dana zakat korporat ini, jumlah agihan yang telah dilaksanakan adalah sebanyak RM616,115.00 yang diagihkan kepada para pelajar yang merangkumi bantuan sara diri, yuran pengajian, program pelajar kepada para pelajar UPM.
Laporan Kutipan Dan Agihan Dana Wakaf Ilmu UPM
Bagi pengurusan Dana Wakaf Ilmu UPM, WAZAN UPM telah berjaya mengumpul saiz semasa Dana Wakaf Ilmu UPM secara kumulatif sejak tahun 2012 sehingga kini dengan jumlah sebanyak RM18.96 juta. Saiz dana kumulatif ini melibatkan wakaf tunai (prinsipal), manfaat wakaf dan wakaf bukan tunai yang diperoleh sejak dari tahun 2012 lagi.
Kutipan dana wakaf bagi suku pertama (Jan-Mac) tahun 2026 adalah sebanyak RM338,905.34 yang merangkumi pelbagai saluran kutipan iaitu melalui Skim Potongan Gaji (SPG), peti besi, kaunter, perbankan, gerbang pembayaran atas talian (paygate) dan e-claims. Hasil sumbangan daripada pelbagai saluran kutipan yang disediakan bagi memudahkan pewakaf menunaikan wakaf mereka. Daripada jumlah tersebut, kutipan tertinggi adalah melalui Skim Potongan Gaji (SPG) wakaf yang merekodkan sebanyak RM99,788.00, iaitu (29.4%) daripada keseluruhan kutipan. Seterusnya, kutipan melalui perbankan, termasuk pindahan wang dan deposit terus ke akaun rasmi wakaf, berjumlah sebanyak RM39,333.72, iaitu bersamaan (11.6%) daripada jumlah keseluruhan kutipan.
Selain itu, peti besi wakaf yang ditempatkan di lokasi-lokasi strategik sekitar kampus berjaya mengumpulkan sebanyak RM43,102.00 (12.7%), manakala kutipan secara bersemuka di kaunter fizikal mencatatkan jumlah sebanyak RM155,587.00 (45.9%). Kedua-dua saluran ini terus relevan dan berkesan dalam menggalakkan sumbangan secara terus, terutamanya semasa program dan aktiviti yang melibatkan interaksi langsung bersama warga kampus serta masyarakat luar. Walaupun kutipan melalui saluran digital masih kecil berbanding saluran lain, gerbang pembayaran atas talian (Paygate) tetap memainkan peranan dengan jumlah kutipan sebanyak RM190.00 (0.01%), pulangan manakala e-claims menyumbang sebanyak RM904.62 (0.3%). Pulangan Keuntungan Dana Wakaf Ilmu UPM 2025 berjumlah RM325,391.20.
Kutipan keseluruhan ini merupakan petunjuk positif terhadap kesedaran dan sokongan masyarakat terhadap inisiatif wakaf pendidikan yang digerakkan oleh UPM. Dana yang dikumpulkan ini akan terus digunakan bagi menyokong pembangunan ilmu, penyediaan kemudahan pengajaran dan pembelajaran, serta pelbagai inisiatif kebajikan dan keilmuan di universiti, selaras dengan matlamat Dana Wakaf Ilmu UPM dalam membina ekosistem pendidikan yang lestari, inklusif dan berimpak tinggi.
Bantuan projek fasiliti adalah bentuk bantuan yang paling utama dalam semua jenis bantuan yang melibatkan dana wakaf, antara projek fasiliti yang melibatkan Wakaf Ilmu UPM (Jan-Mac) ialah pembinaan Surau Wakaf Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) UPM yang bernilai RM50,000.00, Musolla Hamzah Fansuri - Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) bernilai RM 115,687.38, projek naik taraf fasiliti Al-Khawarizmi, Pusat Islam Universiti dengan kos sebanyak RM 100,000.00 , Projek Agrofusion “Integrasi Fertigasi Meja dan Akuakultur Pintar Berkuasa Solar” dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) berjumlah RM 20,000.00. Dalam memberikan impak Dana Wakaf Ilmu kepada pembangunan ummah, WAZAN telah memberikan bantuan komuniti setempat kepada Masjid Jamek Kompleks Pertanian Serdang sebanyak RM36,000.00 bagi peruntukan makanan iftar harian sempena bulan Ramadan.
Secara kesimpulan, pencapaian WAZAN UPM pada suku pertama tahun 2026 lebih membuktikan keberkesanan pelaksanaan strategi pengurusan yang terancang, menyeluruh, berimpak tinggi serta cakna dengan keperluan warga UPM. Keupayaan WAZAN untuk mengurus kutipan serta menyalurkan agihan zakat dan manfaat wakaf secara telus turut mencerminkan komitmen warga kerja WAZAN yang berterusan dalam
memenuhi keperluan semasa warga kampus. Kejayaan ini juga menjadi bukti kepercayaan berterusan warga kampus dan masyarakat terhadap sistem pengurusan zakat dan wakaf di UPM, selain menggambarkan peranan aktif WAZAN dalam memastikan bantuan dan sokongan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang memerlukan. WAZAN akan terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pengurusan yang profesional, berintegriti dan prihatin terhadap keperluan asnaf dan masyarakat secara keseluruhan.
Disediakan oleh
Seksyen Dakwah dan Pemasaran
Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
Date of Input: 30/07/2026 | Updated: 30/07/2026 | rizal_helmi
MEDIA SHARING