QADA’ ZAKAT: KEWAJIBAN YANG SERING DIABAIKAN
Ramai yang tidak menyedari bahawa apabila seseorang telah memenuhi syarat wajib zakat tetapi tidak menunaikannya pada tahun sepatutnya, maka zakat tersebut tetap wajib ditunaikan sebagai qada’. Dalam hal ini, zakat tersebut menjadi hutang kepada Allah SWT yang wajib dilunaskan, walaupun ia telah tertangguh bertahun-tahun. Mengabaikan zakat tanpa alasan yang sah adalah satu dosa besar dalam Islam.
Hukum menqada’ zakat yang tertinggal adalah wajib, dan berdosa jika ia terus diabaikan tanpa sebarang usaha untuk melunaskannya. Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW daripada Ibnu ‘Abbas RA:
"Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan."
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini jelas menunjukkan betapa pentingnya menunaikan tanggungjawab zakat, walaupun ia telah lama tertinggal.
Menunaikan qada’ zakat juga merupakan satu usaha untuk membersihkan harta, di samping memberikan ketenangan jiwa kepada pemiliknya. Ia turut memastikan harta yang diwariskan berada dalam keadaan bersih dan diberkati, terutamanya apabila pemilik meninggal dunia dalam keadaan zakat belum ditunaikan. Justeru, pelaksanaan qada’ zakat ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
Pelaksanaan qada’ zakat hendaklah merujuk kepada nisab dan haul bagi tahun-tahun yang telah berlalu. Sekiranya jumlah zakat yang perlu dibayar agak besar dan membebankan, ia boleh diselesaikan secara ansuran mengikut kemampuan.
Pembayaran zakat kini lebih mudah dengan kemudahan yang disediakan melalui perkhidmatan kaunter zakat dan kemudahan bayaran dalam talian menggunakan FPX. YBhg. Dato’/Datin/Prof./Dr./Tuan/Puan hanya perlu mengimbas kod QR yang disediakan atau terus melayari portal rasmi zakat UPM di https://www.billplz.com/zakatupm
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak kami boleh dihubungi di talian 03-9769 8993 atau menerusi emel rasmi di wazan@upm.edu.my.
Semoga YBhg. Dato’/Datin/Prof./Dr./Tuan/Puan sentiasa dalam keberkatan dan rahmat Allah SWT, serta dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat.
MALAYSIA MADANI
BERILMU BERBAKTI
Saya yang menjalankan amanah,
MOHD RIZAL HELMI BIN A RAZAK
Ketua
Seksyen Dakwah dan Pemasaran
b/p: Pengarah
Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
Nota: Pemberian resit rasmi Lembaga Zakat Selangor akan diberikan pada hari yang sama melalui pembayaran di kaunter, manakala menerusi emel dalam tempoh (3) tiga hari bekerja untuk pembayaran secara dalam talian.
Date of Input: 31/05/2025 | Updated: 31/05/2025 | rizal_helmi

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN
Open: Monday - Friday.
Close: Saturday, Sunday and Public Holiday.