Malaikat Kenal Orang Suka Bersedekah | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Malaikat Kenal Orang Suka Bersedekah

Malaikat Kenal Orang Suka Bersedekah

BOLEH atau tidak memahat nama di langit. Apabila nama terpahat di langit, kita akan dicintai para penghuninya.

Kenyataan ini seakan-akan mustahil dicapai kerana kita sebagai penghuni bumi tak mampu tinggal di langit. Bahkan langit terus kekal misteri kepada manusia. Sebenarnya tiada yang mustahil jika kita mendalami agama. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyebut kisah seorang hamba yang dicintai Allah dan makhluk langit.

Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Apabila Allah SWT cintakan seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril dan berkata sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka hendaklah kamu mencintainya. Maka Jibril cintakan si fulan itu. Kemudian Jibril menyeru malaikat di langit dengan katanya ‘sesungguhnya Allah mencintai si fulan itu, maka hendaklah kamu semua mencintainya. Maka seluruh penghuni langit akan mencintainya. Lalu dijadikan rasa penerimaan (cinta kepada si fulan itu) kepada penghuni bumi,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Inilah yang disebut Allah dalam firman-Nya: “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai (termasuk makhluk langit) perasaan kasih sayang,” (Maryam [19:96]).

Subhanallah! Jika dikhabarkan ada orang besar lagi hebat bertanya khabar, pasti anda tersenyum bangga. Kembang kuncup hidung. Tidur malam dengan senyum simpul membawa mimpi indah. Itu baru pertanyaan seorang manusia. Bayangkan bagaimana pula perasaan jika Allah dan makhluk langit yang bertanya khabar atau menyebut nama anda!

 

HEBATNYA AMALAN BERSEDEKAH

Kisah nama manusia di bumi disanjung makhluk langit pernah diceritakan Rasulullah SAW dalam sabdanya:

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Nabi SAW pernah bersabda: “(Pada suatu hari) ketika seorang lelaki berada di sebuah tanah lapang yang sunyi, dia terdengar satu suara dari awan, “Siramlah air (hujan) kepada kebun si fulan itu!” Awan itu pun bergerak lalu mencurahkan airnya pada sebidang tanah yang berbatu hitam. Saluran air pada tanah tersebut kemudiannya menampung semua curahan air hujan (dan mengalirkannya ke suatu arah). Lelaki itu pun mengikuti air itu dan menemui seorang petani yang berdiri di kebunnya sedang mengubah aliran air dengan cangkulnya. Lelaki itu bertanya, “Wahai hamba Allah, siapa namamu?” Petani itu menjawab, “Nama saya fulan” iaitu nama yang baru didengarnya dari angkasa. Si petani bertanya kepadanya, “Wahai hamba Allah, mengapa anda tanyakan nama saya?”

Kata lelaki itu, “Sebenarnya, sekejap tadi saya dengar satu suara dari awan yang baru menurunkan air ini. Suara itu berkata, “Siramilah air pada kebun si fulan!” menyebut nama anda. Apa yang anda buat dengan kebun ini?” Petani itu berkata, “Baiklah, kalau anda katakan begitu. Sebenarnya, saya selalu perhatikan apa yang keluar dari kebun ini, lalu saya sedekahkan 1/3 daripadanya, 1/3 berikutnya saya makan bersama keluarga saya, dan 1/3 lagi saya kembalikan (untuk modal cucuk tanam),” - Sahih Muslim.

Berdasarkan hadis itu, amalan yang disukai malaikat di langit adalah sedekah! Pemilik kebun itu dikenali para malaikat kerana sedekahnya.

 

Dalam hadis lain, orang yang kuat sedekah turut mendapat doa para malaikat. Sabda Rasulullah SAW:

Abu Hurairah r.a. menyebut bahawa Nabi SAW bersabda: “Tiada suatu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa “Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi berdoa “Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut) kemusnahan,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

 

Bahkan pada Ramadan, Jibril lebih banyak menemui Rasulullah SAW. Berikutan lawatan lebih masa Jibril itu, Baginda menjadi seorang yang sangat pemurah bersedekah pada bulan berkenaan, seolah-olah Baginda mahu menggembirakan Jibril yang sangat suka kepada sifat suka bersedekah:

“Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah (melakukan kebaikan). Baginda jadi tambah pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril datang bertemu dengannya pada setiap malam. Jibril mengulang kaji al-Quran dengan Nabi pada Ramadan. Baginda benar-benar pemurah (pada bulan Ramadan) seperti angin yang bertiup kencang,” - Sahih Bukhari.

 

Selain dicintai para malaikat, faedah sedekah tak terkira banyaknya. Dalam satu ayat Allah menyebut ia menjadi sesalan sesetengah orang setelah mereka mati kelak sehingga ada yang mahu ditangguhkan mati agar diberi peluang kedua untuk lebih banyak bersedekah:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku jadi daripada orang yang soleh,” (al-Munafiqun [63.10]).

 

Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki,” (Saba’ [34:39]).

Benar sekali firman Allah ini, sedekah pasti berganti dan gantiannya pula sangat luas. Ada pahala, ada syurga, ada limpahan rezeki, ada kesihatan, ada keberkatan hidup, ada nama yang harum pada manusia dan ada pula rasa cinta para malaikat kepada kita. Apabila kita dicintai para malaikat, hidup kita semakin indah dan berkat kerana doa mereka.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menyemarakkan budaya sedekah agar kita sentiasa mendapat rahmat Allah dan dikenali oleh para malaikat. Amin!

 

Sedekah pasti berganti dan gantiannya pula sangat luas.

  • Ada pahala, ada syurga, ada limpahan rezeki, ada kesihatan, ada keberkatan hidup, ada nama yang harum pada manusia dan ada pula rasa cinta para malaikat kepada kita.
  • Apabila dicintai para malaikat, hidup kita semakin indah dan berkat kerana doa mereka.
  • Oleh itu, marilah bersama-sama menyemarakkan budaya sedekah agar sentiasa mendapat rahmat Allah dan dikenali para malaikat. Amin!


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tarikh Input: 01/10/2018 | Kemaskini: 18/01/2021 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdHAo~